PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016
Showing posts with label fikrah. Show all posts
Showing posts with label fikrah. Show all posts

Wednesday, December 22, 2010

Catatan: Hijrah Langit Kita


ARTIKEL ASAL: www.kembarasanghamba.com

Usrah malam ini ustaz masih menyentuh tentang Hijrah.

Antara hijrah Rasulullah dan sahabatnya yang ‘besar’ Saidina Abu Bakar RA dengan Hijrah Di Langit Kita. Maksud saya, hijrah ‘kita’ sekarang…

Apakah benar-benar kita sudah mengambil ‘ibrah (pengajaran) dari hijrah Rasulullah SAW?

Berapa kali kita telah bertemu tanggal hijrah. Berapa kali sudah kita mengimbau sirah hijrahnya Rasulullah… Bukan empat kali atau lima kali tapi sudah berkali-kali!

Lagi persoalannya apakah kita sudah benar-benar berhijrah?

Kata ustaz, marilah kita sama-sama muhasabah…

Antara Muslim yang Berperanan vs Muslim yang tidak ada Peranan.

Jika kita orang yang mahu menyedut ‘kuasa’ dari hijrah Rasulullah, tidak wajar sama sekali kita membuat pilihan yang kedua. Bahkan, suka atau pun tidak, kita tetap mahu menjadi muslim yang berperanan. Kerana sejarah sudah membuktikan bagaimana setiap makhluk yang ada menjayakan sebuah hijrah yang diimpikan.

Hijrah Rasulullah dari Kota Makkah ke Kota Madinah, mendirikan Daulah Islamiyyah yang pertama…

Apakah kita sudah lupa peranan Labah-labah? Membuat sawang di pintu gua.

Pada sang merpati yang bersarang lalu bertelur pada tempat yang sama.

Ianya mukjizat.

Tapi pada masa yang sama Allah mahu manusia mengambil pelajaran dan teladan. Jika haiwan yang tidak punya akal sekalipun mengambil peranan untuk menjayakan hijrah Rasulullah, maka dimana letaknya manusia berakal yang tidak mahu berperanan??

Amilin mencipta 1001 satu alasan.

Penyakit yang sering melambatkan kemenangan.

Tidakkah kita ‘cemburu’ dengan semangat Jihad Asma’ Binti Abu Bakar? Beliau yang sarat mengandung tujuh bulan berulang-alik ke bukit Thur untuk menghantar bekalan makanan. Bukan setakat berjalan ke kaki bukit, bahkan mendaki ke Gua Thur yang jalannya dipenuhi cerun berbatu tajam!

Ajaibnya muslimah seperti Asma’ ketika itu, tidak pernah terlontar walau sepatah alasan. Demi Allah, tidak pernah!

Saidina Ali Bin Abi Talib RA. Pemuda ‘bujang’ yang perkasa dan berhati waja. Sanggup ‘menebus’ nyawa Rasulullah SAW. Menggantikan tempat tidur baginda walhal Saidina Ali tahu, jika bukan Rasulullah yang dibunuh malam itu, sudah pasti beliau yang akan menerima nasib amukan Kafir Quraisy.

Ada Saidina Ali berikan alasan?? Demi Allah, juga tidak ada walaupun sepatah alasan!

Muslimin seperti Saidina Ali ABi Talib RA seperti inilah yang kita nak. Begitu juga, Muslimah seperti Asma’ Abu Bakar macam inilah yang kita mahu…

Jika begini pemuda kita, jika begini pemudi kita, bukan setakat Daulah bahkan Khilafah Islamiyyah mampu kita tegakkan insya Allah!

Mahu menjadi Muslimin itu!

Mahu menjadi Muslimah itu!

~Salam Hijrah…….. 1432hijri.

Muhasabah dan muhasibah untuk bekal hijrah di Langit Kita…

Friday, July 9, 2010

Piala Dunia Songsang


Setiap kali menyampaikan usrah, tazkirah atau mengisi mana-mana ruang dalam program seminggu dua ini saya akan memulakan dengan lagak serius..

'Kita hidup pada hari ini dalam dunia yang sangat songsang. Perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita tidak lagi mengikut fitrah kejadian yang sebenar. Yang kecik tidak lagi di bawah dan yang kuat tidak semestinya di atas. Malah, baru-baru ini kita digemparkan dengan dua peristiwa yang sangat menghairankan dan memeranjatkan seluruh umat manusia. Peristiwa tersebut ialah....' saya menghela nafas panjang bagi menimbulkan suasana dramatik, 'kekalahan 'Brazil kepada Belanda 2-1 dan kekalahan Argentina 4-0 kepada Jerman'. Ketawa audiens berderai. Kemudian saya menyambung, 'Mujur sahaja ego Jerman dapat ditundukkan oleh Sepanyol yang pasti akan menjadi juara Piala Dunia pada tahun ini.' Deklarasi yang tidak di'syura'kan bahawa Persatuan Siswazah Sabah menyokong pasukan Sepanyol di pusingan akhir.

Tujuan saya bukan itu. Perkongsian saya sebenarnya dipimpin ke arah keajaiban yang lebih besar yang berlaku pada bulan Rejab, bulan Piala Dunia ini iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj. Saya biasanya hanya menyebut sekilas peristiwa-peristiwa yang berlaku, daripada Rasulullah S.A.W dibawa ke Masjidil Haram, dibedah dan dibersihkan hatinya, sampailah baginda ke Masjidil Aqsa mengimamkan sekalian anbiya' dan mursalin di sana seterusnya diangkat ke Sidratul Muntaha bertemu dengan Allah dan diamanahkan dengan ibadah solat.

I'brah haraki yang terkandung dalam peristiwa Isra' Mi'raj meruntun penggerak-penggerak dakwah menilai intipati tersirat di sebalik peristiwa tersebut:

1. Pensyariatan solat secara terus oleh Allah kepada Nabi Muhammad menggambarkan betapa besar ibadah tersebut sebagai amalan tunjang yang menjadi kayu ukur keimanan dan benteng kekuatan umat Islam. Justeru sebagai da'ie solat tidak boleh dilengahkan dan pemahaman terhadap solat haruslah dipupuk dengan bersungguh-sungguh agar mesej besar di sebalik solat dapat disampaikan kepada madhu'u.

2. Tujuan Isra' Mi'raj antaranya ialah mengubat hati Rasulullah S.A.W yang berdukacita selepas kewafatan isterinya Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib, dua orang yang paling gigih mendukung perjuangan baginda, selain kegagalan usaha dakwah yang dibawa ke Taif. Ia meyakinkan kita bahawa setiap kesusahan dan kerumitan yang dilanda oleh penggerak dakwah, pasti akan dituruti dengan kesenangan dan kegembiraan. Persoalannya bila? Tentu sekali apabila kita sudah cukup berusaha. Malangnya kita pada hari ini, belum pun berhadapan kematian orang-orang tersayang secara berturutan, belum pun berdarah-darah dilontar batu oleh penentang, sudah mengeluh dan mengadu susah berjuang.

3. Rasulullah tetap menyampaikan kebenaran peristiwa yang dialaminya walaupun baginda tahu bahawa mustahil untuk kafir Quraisy menerima berita tersebut dengan rasional akal. Hari ini pendokong dakwah merasa goyah dan takut-takut dengan apa yang mahu disampaikan. Susah bercakap meyakinkan orang dengan hukum hudud yang kalau mengikut logik akal sukar diterima, susah menasihatkan orang terdekat dan ahli keluarga yang jelas melakukan maksiat membuka aurat dan tidak bersolat, berkira-kira untuk mempamerkan akhlaq yang baik kerana takut dituduh 'temberang' dan sebagainya.

Kita optimis sebagaimana tumpasnya pasukan gergasi Brazil dan Argentina oleh pasukan 'underdog', gergasi nifaq, syirik dan batil turut akan rebah mengikut putaran alam, selagi mana usaha-usaha 'underdog' duta-duta kecil Islam daripada kalangan ahli KRU dan PSS khususnya, tidak mengenal erti jemu dan putus asa.

Selamat berjaya Sepanyol.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons