PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Wednesday, June 13, 2012

Kem Remaja Islam (KRIS) Sipitang 2012

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdullilah, Kem Remaja Islam (KRIS) Sipitang kali ke-5 telah berjaya dilaksanakan pada 4 – 7 Jun yang lalu. KRIS adalah sebuah program yang tidak asing lagi di Sipitang kerana telah diadakan berulang-ulang kali setiap tahun sejak 2008. Ramai pejuang dakwah yang telah dilahirkan sejak KRIS yang pertama lagi. Namun, sejak akhir-akhir ini para sahabat yang menjadi pejuang di bumi Sipitang ini kian hilang lantaran ramai ahli yang melanjutkan pelajaran dan bekerja di kawasan lain. Oleh itu, KRIS pada kali ini mempunyai objektif yang sangat penting iaitu mencari adik-adik yang mempunyai potensi untuk menjadi seorang daie di Sipitang.
                        
Masjid Imam Hj Ag Hashim menjadi tempat bertapaknya program untuk mentarbiyah adik-adik selama 4 hari 3 malam. Syukur ke hadrat Illahi kerana program pada kali ini ditaja sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak dan Pasukan Pelindung Kanak-kanak Daerah Sipitang. Buat pertama kali juga, pada program ini makanan telah disediakan secara katering yang secara tidak langsung mengurangkan masalah yang selalu timbul ketika program iaitu makanan. Ahli jawatankuasa KRIS Sipitang pada mulanya hanya mempunyai 3 orang PSS dan 3 orang KRU Sipitang di bawah naungan Ustazah Ferizah Abd Brahim dan suaminya, Ustaz Karim bin Abdul Rahim. Namun, sehari sebelum program bermula ramai sahabat PSS dan KRU yang sanggup berkorban untuk menyumbangkan tenaga dalam menjayakan program pada kali ini.
Luar daripada kebiasaan, KRIS pada kali ini bermula pada hari Isnin kerana mengambil kesempatan masa cuti sekolah yang ada untuk diisikan dengan program yang bermanfaat buat adik-adik. Peserta yang mengambil bahagian adalah seramai 34 orang muslimin dan 23 orang muslimat yang kurang daripada jangkaan yang diingini iaitu seramai 100 orang. Namun, angka ini tidak mematahkan semangat para AJK dan fasi untuk menjadikan program ini suatu yang bermakna buat mereka. Seperti biasa, pada hari pertama program, sesi taaruf dan Ice breaking diadakan untuk memberi mereka ruang untuk mengenali satu sama lain. Terdapat juga kuliah dasar yang pertama bertajuk kepentingan Akidah dalam kehidupan Muslim. Seterusnya, sesi pengenalan mento dan pembentukan kumpulan dilakukan. Kemudian, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) 1 diadakan selepas minum malam yang bertajuk            .


 Kem Kom Muslimin....... Akhi Asrul Samat

Kuliah Dasar 1 : Kepentingan Akidah Dalam Kehidupan Muslim

Gimik Pengenalan Fasilitator Muslimin

Gimik Pengenalan Fasi Muslimat

LDK 1 – Binaan Manusia

Menjelang hari yang kedua pula, selepas solat Subuh berjemaah peserta dibawa ke Esplanad Sipitang untuk melakukan sesi Riadah Pagi. Tepat jam 8.00 pagi, sesi forum bertajuk kemanisan beribadah  . Sesi ini dikendalikan oleh Zahariah Mastar dan disertai oleh Mohd Syahmi Afiq, Mohd Noor Syazwan Japlus, Hazimah Hanafiah dan Sahiedahtun selaku ahli panel. Acara diteruskan dengan Kuliah Dasar 2 “Akhlak Islamiah Peribadi Muslim” yang disampaikan oelh Ustaz Karim. Pada sebelah petangnya pula, LDK 2 dan LDK 3 diadakan. Pada LDK yang kedua dan LDK yang ketiga peserta diminta untuk keluar ke kawasan kampung yang berdekatan untuk melihat sendiri beberapa contoh akhlak yang bertentangan dengan akhlak yang dianjurkan oleh Islam. Setelah selesai solat Isyak, malam yang ditunggu-tunggu telahpun tiba iaitu kehadiran Imam Muda Ali dan Ustazah Suzana dalam sebuah bual bicara yang bertajuk Anak Derhaka yang dikendalikan oleh Mohd Fazreen selaku moderator. Acara yang berlangsung selama 2 jam lebih ini turut menarik minat warga Sipitang untuk sama-sama mengikuti bual bicara yang diadakan. 


Makan dalam talam – ikut sunnah

Sesi Forum bertajuk "Kemanisan Beribadah"

Akhi Fazreen dalam slot selingan

Kuliah Dasar 2 disampaikan oleh Us. Karim

Akhi Kholish tekun menyantuni adik-adik dalam LDK 2

Talk Show “Anak Derhaka” yang menampilkan Imam Muda Ali dan Kak Jannah


Acara pada hari ketiga dimulakan seawal 2 pagi iaitu aktiviti Kembara Malam. Aktiviti ini memerlukan peserta untuk berjalan secara berkumpulan dengan hanya berbekalkan lilin untuk pergi ke setiap stesen. Terdapat 5 stesen yang dibahagikan mengikut tema iaitu Matlamat Hidup, Asal kehidupan, Halangan, Wuduk dan Solat. Aktiviti ini menguji peserta daripada segi keberanian, mental dan fizikal dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Tepat jam 3.30 pagi, Kembara Malam berakhir dan peserta berehat sebelum memulakan acara Explorace pada paginya. Bagi aktiviti Explorace pula, terdapat 7 stesen diadakan yang meliputi akidah, ibadah dan akhlak seorang muslim. Usai sahaja solat Zohor dan makan tengah hari peserta diberikan taklimat mengenai Malam Kesenian Islam. Peserta muslimin akan mengadakan persembahan Islamik pada malam hari manakala peserta muslimat akan membuat persembahan islamik pada petang itu juga di Dewan Solat Muslimat. Malam Kesenian Islam disajikan oleh persembahan yang mantap dan menarik daripada kumpulan-kumpulan muslimin dan juga persembahan bonus daripada para Fasi dan AJK muslimin. Seterusnya diadakan pula Malam Penghayatan yang diberi tajuk Malam Memburu Cinta bertemakan Ibu Bapa yang dikendalikan oleh Ustaz Karim. Gimik dan penghayatan yang dilakukan cukup memberi kesan dan menyentuh hati para peserta apabila kedengaran esakan pilu yang menyayat hati di setiap pelusuk bilik kuliah. 

Steses "Asal Kehidupan" yang menginsafkan

Eksplorace.. (Stesen Akidah)

Acara Sukaneka

Malam Kesenian Islam

Persembahan istimewa daripada barisan fasi dan ajk

Hari menutup tirai KRIS Sipitang dimulakan dengan Resolusi Peserta daripada Hati ke Hati. Dalam sesi ini, peserta diminta untuk memberikan maklum balas mengenai KRIS yang mereka ikuti. Ada yang sedih, ada yang gembira, ada yang takut dan bermacam lagi perasaan dan cerita yang diluahkan oleh mereka. Namun, dapat disimpulkan daripada luahan hati para peserta bahawa mereka mendapat banyak input baru dan kesedaran mengenai Islam yang belum pernah mereka alami sebelum ini. Majlis Perasmian Penutupan diadakan pada pukul 11.30am yang dirasmikan oleh Tuan Haji Zainal bin Timbang selaku Pengerusi Masjid Haji Hashim Sipitang. Dalam ucapan beliau berharap agar para peserta yang mengikuti program akan mengamalkan segala apa yang telah diperolehi dalam program ini selepas tamatnya program ini. Beliau juga berharap agar program seumpama ini akan diadakan lagi di masa akan datang bagi membentuk para remaja yang seimbang daripada pelbagai aspek khususnya aspek rohaniah. Setelah Solat Zuhur berjemaah, slot khas diadakan iaitu sesi Pengenalan PSS dan KRU kepada para peserta. Seperti objektif yang telah digariskan, 10 orang peserta telah dipilih untuk menjadi ahli KRU Sipitang yang akan membantu dalam usaha menjalankan kerja-kerja dakwah di bumi Sipitang. Lambaian Ukhuwah di mulakan dengan doa Wehdah yang dibaca oleh Ustaz Karim dan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai memori terindah bagi KRIS pada kali ini.






Diharapkan keinsafan yang timbul dalam diri adik-adik ini akan berterusan dan mampu untuk menjadi pelapis yang seterusnya menjadi pejuang dakwah Islamiah di mana-mana jua mereka berada. Ribuan dan jutaan terima kasih kepada semua ahli PSS dan KRU dari PSS Pusat, Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort, Kota Belud, dan mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung yang sudi mengorbankan masa cuti, tenaga, duit, bersengkang mata mahupun memerah keringat sepanjang program ini. InsyaAllah, semoga amal yang dilakukan ini sedikit sebanyak akan membantu kita semua dalam perhitungan terakhir di akhirat kelak. Wallahualam.





Koleksi Gambar Tekan di sini :
1
2
3
4
5

1 comments:

Asrul Samat said...

alhamdulillah, pengalaman pertama berKRIS sangat memberi impak yang besar kepada diri ini..

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons