Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pada 23 Januari yang lalu bersamaan hari Isnin, PSS KB telah mengadakan aktiviti gotong-royong di Masjid Jamek Kampung Penampang, Kota Belud pada sebelah siang. Sementara itu, Forum “Rumahku Syurgaku” telah diadakan pada sebelah malam selepas solak isyak.
*******************************************
Baitul Muslim ataupun rumahtangga Islam memberikan kesan terhadap institusi keluarga yang akan dibina oleh seseorang individu.
Memetik nukilan kata-kata As Syahid Imam Hassan Al Banna ketika berbicara tentang pernikahan dan kehidupan rumahtangga, As Syahid mengatakan “Kehidupan rumahtangga adalah ‘hayatul amal’. Ia diwarnai oleh beban-beban dan kewajiban.”
Landasan kehidupan rumahtangga bukan setakat kesenangan dan romantik semata-mata, bahkan tolong-menolong dalam memikul beban kehidupan dan beban dakwah.
Masyarakat Islam bagaikan bangunan kukuh. Keluarga bukan sahaja sebagai sendi dalam bangunan tersebut tetapi juga menjadi unsur pokok bagi umat Islam secara keseluruhan. Oleh itu, agama Islam memberikan perhatian khusus berkaitan masalah pembentukan rumahtangga.
Perhatian isitimewa ini tercermin di dalam dua hal iaitu:
Pertama, Al Quran cukup memperincikan pembentukan keluarga ini. Ayat-ayat tentang pembentukan rumahtangga termasuk ayat paling banyak jumlahnya berbanding ayat-ayat yang menjelaskan masalah lain. Al Quran menjelaskan tentang perihal menikah, perintah menikah, pergaulan suami isteri, menyusui anak dan sebagainya.
Kedua, sejak Rasulullah saw mengajarkan takwim keluarga yang sakinah dengan cara memilih calon mempelai yang soleh dan solehah. Rasulullah saw bersabda, “Pilihlah tempat menyemai benihmu kerana sesungguhnya tabiat seseorang menurun kepada anak.”
Sewajibnya rumahtangga seorang muslim itu didasari mencintai Allah semata-mata.
Ciri-Ciri Rumahtangga Islam:
- Sendi bangunannya ialah ketakwaan kepada Allah. Memilih calon suami atau isteri harus sesuai dengan arahan Rasulullah iaitu mengutamakan agamanya.
- Kebahagiaan rumahtangga bukanlah diukur melalui kekayaan harta benda tetapi ia muncul dari dalam jiwa yang punya ketakwaan terhadap Allah. Ketakwaan yang ada dalam di dada pasangan suami isteri akan menimbulkan rasa saling percaya dan melahirkan ketenteraman serta ketenteraman di dalam hubungan suami isteri. Hubungan antara anggota keluarga akan terasa indah kerana semua sedar akan tanggungjawab dan hak-haknya.
- Rumah yang dibangun untuk keluarga seharusnya sederhana danmengutamakan skala terpenting sahaja dengan mengurangkan segala bentuk pembaziran.
- Dalam bab makanan dan berpakaian, seorang muslim amat bersederhana, menekankan aspek kebersihan dan menghindari dari yang haram dan berlebih-lebihan. Hindari syubhat dan jauhi yang haram. Semua anggota keluarga dipacu untuk banyak menginfak dan bersedekah.
- Anggaran isi rumahtangga dipenuhi dengan rezeki yang halal dan baik. Hal ini demikian kerana daging yang terbentuk dari daging yang haram akan dibakar oleh api neraka. Secara teknikalnya, perlu adakesepakatan antara suami isteri dalam menentukan perbelanjaan rumahtangga.
- Kita perlu perhatikan hak-hak Allah. Tunaikan zakat, menabung untuk pergi haji, sediakan kotak khusus untuk bersedekah bagi kemaslahatan ummah dan banyak lagi.
Intihanya, rumahtangga Islam akan mewujudkan masyarakat yang sentiasa mengharapkan rahmat Allah. Semoga kita semua mendapat keredhaan Allah dari acuan rumahtangga muslim ini. Insha-Allah!
Sumber : http://psskb.blogspot.com/2012/02/forum-rumahku-syurgaku.html
0 comments:
Post a Comment