PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Monday, June 15, 2009

Gambar Sekitar PPS

















Sumber : psstuaran.blogspot.com

Thursday, June 11, 2009

Program Pengukuhan Solat (PPS)

Tuaran – Pada 6 Jun 2009 yang lepas, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) cawangan Tuaran telah menjalankan Program Pengukuhan Solat (PPS) bertempat di Surau Skim Penempatan Getah Kg. Sungai Damit, Tuaran. Program ini merupakan progam yang julung-julung kalinya diadakan di surau dan kawasan perumahan tersebut. Dianggarkan seramai 27 orang peserta hadir dan 9 orang ahli PSS serta KRU Tuaran yang terlibat dalam menguruskan program tersebut.

Pendaftaran peserta program bermula seawal jam 8.30 pagi lagi dan sementara menunggu ketibaan peserta yang lain, sidang hadirin disajikan dengan hidangan tayangan-tayangan yang berkaitan dengan solat, dunia Islam serta sedikit taklimat tentang program. Kemudian, tepat jam 9.20 pagi ceramah I disampaikan oleh Ust Abdul Sattar, Pensyarah dari IPG Kent Tuaran yang membawa tajuk “Solat dan azab meninggalkannya”. Kemudian, pada jam 10.45 pagi peserta diberi minum pagi. Selepas itu, pada jam 11.15 pagi program disambung lagi dengan ceramah II yang bertajuk “Sekitar Teori dan Praktikal Wudhu’ serta Solat”. Setelah tamat sesi soal jawab, semua Ajk dan peserta menunaikan solat fardhu Zohor secara berjemaah sebelum menjamah makan tengahari. Program tamat tepat jam 1.30 petang.

Program yang diadakan ini merupakan Program Pengukuhan Solat (PPS) Siri I. InsyaAllah, PPS Siri II akan menyusul selepas ini. Dari pihak penganjur mendoakan agar program ini dapat memberikan kesedaran berkaitan dengan kewajipan solat dalam diri peserta dan berharap agar program seperti ini dapat diperbanyakkan lagi di sekitar kawasan Tuaran.

Thursday, May 28, 2009

Program 'Mipanau-Panau hiti Ranau 1'


Maaf kerana artikel Program 'Mipanau-Panau hiti Ranau' tidak dapat dipindahkan ke blog PSS disebabkan error pada kod html. Artikel penuh boleh dibaca di [klik]. Terima kasih!

Friday, May 22, 2009

PSS: 'Islam Akan Bersinar Semula Di Kionsom Kecil'

Setelah merancang dengan panjang lebar dan mencari ruang waktu untuk diisi, akhirnya pasukan penyelamat aqidah daripada Persatuan Siswazah Sabah berjaya juga memulakan kelas Fardhu Ain dan asas Islam di Kampung Kionsom Kecil. Dua biji motor yang membawa empat orang ahli persatuan membelah pekat malam, mendaki curam tajam, meredah semak-samun dan melintas babi jinak di dalam kandang akhirnya tiba di hujung persimpangan, tempat berdiri kukuh Kampung Kionsom Kecil, sekukuh dan seteguh pegangan Islam penduduknya biarpun belum terisi oleh manisnya iman dan lazatnya ibadah. Seperti kelaziman, kehadiran kami disambut oleh kanak-kanak yang muncul entah dari mana, membingitkan suasana malam. Kami dibawa ke rumah Ismail, yang dalam perbincangan awal telah dicadangkan untuk menjadi pusat pembelajaran sementara.

Surau dan pusat pembelajaran sementara di
Kampung Kionsom Kecil

Sekitar 20 orang penduduk tua dan muda yang berkumpul dihidangkan dahulu dengan cambah minda tentang keperluan mengamalkan Islam dan memastikan ahli keluarga turut hidup dalam Islam, seterusnya diadakan sesi suaikenal ringkas dan kelas pengenalan asas Islam. Walaubagaimanapun, kumpulan kanak-kanak kecil telah melangkah lebih cepat sehinggakan mampu mempelajari pergerakan solat dan mengenali huruf dalam satu malam. Sungguh anak-anak kecil ini punya potensi besar, cuma yang menjadi persoalan adalah samada peluang dibuka atau tidak untuk mereka. Malam itu ahli-ahli PSS berkampung di rumah tersebut, menanti mentari terbit buat menyuluh jalan pulang.

Kesungguhan dan keinginan anak-anak kampung mempelajari tentang Islam.
Seluar pendek bukan faktor penghalang!

Seorang ahli PSS mengambil tugas memperkenalkan
huruf kepada kanak-kanak perempuan.

PSS sangat mengharapkan perhatian dan keprihatinan pihak-pihak berwajib seperti JHEAINS, USIA dan lain-lain organisasi Islam, selain menyeru umat Islam lainnya untuk sama-sama membantu anak-anak kecil ini, selain generasi remaja dan tua kampung untuk mencari erti kehidupan beragama yang sebenar.

Semoga kehadiran 2 rais dan pimpinan ini akan lebih membuka mata ahli kampus
untuk menyantuni masalah masyarakat
selain menghimpit diri dengan permasalahan di kampus.

Untuk permulaan ini, kami memerlukan sumbangan berbentuk kewangan atau bahan untuk beberapa kelengkapan P&P seperti berikut:

15 buah Iqra' (RM4.50 x 15) = RM 67.50
10 buah buku asas Fardhu Ain (RM10.00 x 10) = RM 100.00
20 buah buku asas kaedah solat (RM5.00 x 20) = RM 100.00
15 helai telekung (RM25.00 x 15) = RM 375.00
10 helai sejadah (RM10.00 x 10) = RM 100.00

JUMLAH = RM 742.50

Jumlah yang tidak besar tetapi sukar dicari tanpa sumbangan 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit' semua pihak. Syukran jazilan.

PSS Labuan Kesat Air Mata Rakyat; Siri 3

15 Mei 2009 Tragedi Kampung Muslim; Menyiram Hati Yang Terbakar

Ahli-ahli PSSL dikejutkan dengan berita kebakaran besar yang menimpa Kampung Muslim. Punca asap yang mula menebal sejak semalam lagi diketahui. Api yang dikatakan berpunca daripada litar pintas, dan mula marak sejak jam 12 tengahari semalam, menjadikan hampir 400 buah rumah sebagai korban, dan meninggalkan sekitar 3000 orang sehelai sepinggang. Tempoh ia berlaku hanya sekitar dua jam setengah. Api tidak dapat dipadamkan oleh pihak bomba walaupun 10 trak datang mengerah tenaga. Api padam sendiri oleh air payau yang semulajadi menjadi tapak berdirinya rumah-rumah di kampung air itu. Mujur sahaja tidak ada nyawa yang turut terkorban.


Kampung Muslim punya sejarah yang panjang. Di zaman Datuk Suhaili mentadbir, kampung itu dianggap 'black area', pusat pengumpulan penjenayah, gaduh dan dadah. Lalu kampung itu tidak dipandang walaupun dengan sebelah mata. Jatuh sang tupai yang kurang pandai melompat, digantikan pula oleh Datuk Yussof Mahal, yang membuktikan dirinya sebagai politikus yang lebih bijak, menambat hati beberapa ratus pengundi di kampung tersebut, beramahmesra dan menganjurkan keramaian bersama mereka.

Kehadiran ahli PSSL seramai 4 muslimin dan 3 muslimat menambahkan bilangan sukarelawan, pemerhati dan pengulas bebas sedia ada. Mereka terdiri daripada masyarakat berhampiran, ahli keluarga mangsa, penderma perseorangan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, MISC, TLDM dan lain-lain badan kerajaan dan bukan kerajaan. Apa yang terhidang di depan mata jauh lebih dahsyat daripada yang sampai ke telinga. Kampung tersebut seolah-olah ditimpa meteorit, kawasan yang asalnya dipenuhi rumah-rumah kayu hancur, musnah, ranap dan hangus. Saiznya sekitar saiz 4 padang bola. Di sana-sini kelihatan kanak-kanak, remaja dan ahli keluarga mangsa menguis-nguis bekas rumah mereka dengan selipar dan kayu, mencari-cari sisa harta yang mungkin terselamat daripada kerakusan jilatan api dunia.

Sebahagian daripada mereka berteduh di Kompleks Sukan Labuan, Kompleks Sukan Air Labuan dan segelintir lagi ke penempatan sementara di Kiamsam. Kebanyakan daripada mereka tidak mahu berganjak jauh dari tempat kejadian, walaupun terpaksa tinggal di bawah kanvas yang bertongkatkan tiang-tiang sementara. Ini tempat mereka. Di sini mereka mencari rezeki sehari-harian, dan di sini mereka pulang berteduh di sebelah malamnya. Di sini mereka berlindung daripada lebat hujan dan bahang panas, dan di sinilah mereka akan membina semula kehidupan daripada sifar.

PSSL berjanji akan kembali menemui mangsa kebakaran untuk menghulurkan sumbangan dan derma sekadar termampu. Semoga Allah menggantikan kehilangan mangsa kebakaran Kampung Muslim dengan sesuatu yang lebih baik, insyaAllah.

PSS Labuan Kesat Air Mata Rakyat; Siri 2

Ziarah Ihsan ke Hospital Labuan

Selesai menziarahi mangsa taufan di Kampung Bebuloh Laut tanggal 13 Mei itu, pada sebelah petangnya pasukan Persatuan Siswazah Sabah Labuan bergegas pula ke Hospital Labuan dengan tujuan mengadakan Ziarah Ihsan. Kehadiran kali pertama di Wad Melor, atau Wad kanak-Kanak disambut dengan seribu satu persoalan oleh jururawat yang bertugas. Walaubagaimanapun, ahli PSSL cekap mengatur helah sambil mengengsot memasuki wad terdekat, seterusnya menghampiri seorang pesakit seolah-olah telah lama kenal. Kanak-kanak comel yang dijenguk tersenyum dan menyambut bila mahu didukung. Kasihan Saudara Firdaus yang belum berkahwin, kempunan mahu memperoleh anak comel, sedang Saudara Johan tersengih-sengih mengenangkan akan bergelar bapa tidak lama lagi. Adik Nabil kemudiannya dikunjungi oleh beberapa orang saudara-mara dan keluarga terdekat, lalu kami bergerak ke arah pesakit lain.

Adik Nabil bersama makcik kesayangannya

Abang kepada Nabil, Azam (berbaju biru) dan sepupu beliau, Hilmi

Memandangkan hanya ada tiga pesakit di situ termasuk Adik Nabil, seorang pesakit menangis ketika didekati dan seorang lagi adalah bayi kecil yang belum mampu berkata-kata (dan beribu muda yang mungkin menimbulkan curiga jika disoal-selidik terlalu lama), sesi lawatan itu menjadi pendek. Yang paling gembira tentulah para jururawat yang mendapat cenderamata yang banyak sebagai usaha penghabisan stok dan memujuk mereka yang di'helah' ketika kami sampai tadi. Apapun, ini adalah permulaan yang baik dan PSSL optimis akan mampu menyusun program seumpamanya pada masa hadapan, InsyaAllah.

Ahli PSSL mengambil jalan selamat dan bebas fitnah dengan berborak
bersama pakcik saudara Nabil

Pertama bukan terakhir. Kami akan kembali!

Saturday, May 16, 2009

PSS Labuan Kesat Airmata Rakyat; Siri 1



Dalam kesibukan membantu menguruskan Minggu Orientasi Kolej Matrikulasi Labuan, atau MPPB KML, Persatuan Siswazah Sabah Labuan (PSSL) bergerak cemerlang berkongsi cerita dan mengesat derita marhaen yang dilanda musibah tanpa henti selama seminggu ini. Mereka bermula dengan melawat mangsa taufan di Kampung Bebuloh pada 13 Mei 2009, seterusnya menziarahi pesakit di wad pedriatik Hospital Labuan, melawat mangsa kebakaran di Kampung Muslim, menganjurkan program qiyamullail bulanan dan seterusnya akan membuat lawatan susulan menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Muslim. Untuk siri pertama ini, kita merakyat dahulu di Kampung Bebuluh;

Kampung Bebuluh terletak di selatan Pulau Labuan, didiami oleh sekitar 1000 orang menempati hampir 200 buah rumah. Terletak di tepi laut, Kampung Bebuloh sentiasa terdedah kepada ancaman ribut dan taufan. Biasanya, angin yang melanda tidak sampai memusnahkan, tetapi 5 Mac itu, alam mengamuk dengan lebih dahsyat daripada kebiasaannya.

Taufan Chan-Hom yang menjengah dari perairan Vietnam menerbangkan atap beberapa buah rumah penduduk, meranapkan dinding segelintir yang lain serta menghiris perasaan keseluruhan penduduk. Sekitar 16 buah rumah mengalami kerosakan melibatkan ratusan ribu ringgit, dengan 3 mengalami kerosakan paling kritikal. Cerita seorang penduduk kampung,

''Saya sedang tidur di ruang depan rumah bila tiba-tiba bunyi seperti sebuah kapal terbang telah menghempap atap rumah kami. Kami membawa anak-anak keluar dari rumah meredah hujan ke rumah sebelah, tetapi apabila kami sudah masuk ke dapur rumah jiran, hujan masih menitis. Rupa-rupanya atap rumah jiran kami turut tercabut,''

Seorang penduduk veteran kampung, Haji Wali bin Dullah yang turut ditemuramah Setiausaha PSSL, Saudara Firdaus dan ahli PSSL, Saudara Hafiz Jumat, bersyukur kerana kejadian tersebut tidak meragut nyawa penduduk.

Penduduk telah menerima bantuan daripada Ahli Parlimen Labuan, Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. PSSL bertekad untuk terus bersama rakyat Labuan dalam menghadapi sebarang permasalahan walaupun hanya mampu menyumbangkan motivasi, tenaga, masa dan bahu untuk bersandar dan meluah masalah.

Akn datang:
Siri 2; PSS Sentuh Hati Pesakit, Jururawat di Hospital Labuan

Tuesday, May 12, 2009

Surau Sementara Kionsom Kecil

Tapak surau sementara Kg. Kionsom Kecil. (maaf, gambar diambil pada waktu malam)

Ruang beranda yang boleh berfungsi untuk kelas Iqra' kanak-kanak.

Ruang tamu yang luas memadai untuk memuatkan sekitar 30 orang. Cuma ia kosong minta diisi.

10 Mei 2009 yang lepas, 4 orang ahli PSS mengadakan lawatan susulan ke Kampung Kionsom Kecil, Inanam untuk mengatur kelas fardhu ain yang telah lama dirancang. Alhamdulillah, bekas ketua kampung, Encik Muhsin telah mengusulkan supaya kelas dibuat di rumah seorang penduduk kampung yang tinggal seorang diri, malah menawarkan supaya ahli PSS yang berkhidmat sebagai pengajar bermalam di situ pada setiap kali selesai kelas pengajian. PSS bersetuju dengan saranan tersebut dan dibawa meninjau tapak rumah. Ternyata rumah tersebut sangat sesuai untuk dijadikan pusat kelas fardhu ain dan surau sementara. Justeru PSS berhasrat memulakan kelas fardhu ain pada hari Ahad ini, dan menjemput mana-mana individu yang berminat untuk turut serta dalam usaha tersebut. PSS juga mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan derma, sejadah, telekung dan peralatan solat atau buku yang berkaitan untuk diwakafkan kepada penduduk kampung tersebut. Di Kionsom Kecil, hanya 9 daripada 46 keluarga yang ada beragama Islam. Kionsom Kecil menanti anda..

Monday, May 11, 2009

Puteriku Sayang : 'Semakin Hari Semakin Rindu'

Puteriku-Puteriku Sayang bergambar bersama kakak-kakak fasilitator

Tukang masak, tukang potong kayu api, tukang basuh pinggan dan tukang tenyeh bontot kuali menghilangkan peluh-peluh perjuangan.

Antara menu yang ditiup, dihembus dan dijampi dengan ayat pelembut hati, ayat pengasih dan ayat penerang hati.

Puteriku Sayang: 'Semakin Hari Semakin Rindu', begitulah bunyi nama dan tema program yang berjaya dilaksanakan hujung minggu yang lepas. Melibatkan 10 orang puteri, dan 18 orang AJK, program pembangunan remaja yang bertumpu ini menyentuh hulu jantung dan pangkal hati mereka, sehingga ada yang tidak mahu berpisah dengan kakak kesayangan. PSS tidak berhajat mendedahkan modus operandi program, tetapi cukuplah kalau dikatakan semua pihak berpuas-hati dengan program yang dilaksanakan, dan tidak ada apa-apa masalah besar yang dihadapi. Kesannya? Kita tunggu dan lihat. Terima kasih pada semua yang membantu menjayakan program, daripada pemotong kayu api, penemuramah peserta hinggalah ke kakak-kakak kasih. Sentuhan dua orang murabbi PSS, Abg Bun yang telah lama tidak beraksi dan Kak Jannah, 'ulat bulu yang menjadi rama-rama' nyata memberi kesan kepada peserta, selain senda-sindir orang lama, Abg Fairuz. Lebih-lebih lagi apabila makanan yang dikacau banyak ditiupkan dengan ayat 'guna-guna'. Mesej yang diterima daripada Ustaz Zaki di penghabisan program cukup untuk menjadi kayu ukur dunia,

"Salam, tahniah n syukran jazakallah khairan kathira..semua pelajar rasa xpuas program 1 hari. Klu boleh diorg mau ikut lagi dan lama lg..mereka bg markah program ni 10/10..diorng begitu merekemenkan program ini kpda kwn2 yg lain.."

Pesan daripada pihak penaja rancangan, janganlah jadikan titik pertemuan ini permulaan yang tergantung. Pengorbanan yang tinggi oleh pembimbing, baik dari segi masa, tenaga dan wang ringgit yang akan meresapi hati adik-adik dan menjadikan mereka muslimah yang bertaqwa, insyaAllah..Amin.

Tuesday, May 5, 2009

Bantulah Si Gadis Semut!

Teratak usang yang akan merobah adik-adik yang kami sayangi, insyaAllah.

Program Puteriku Sayang adalah inisiatif awal ke arah pembentukan Rumah perlindungan Kekal Mawaddah Wa Rahmah (MaWaR). Buat sementara waktu, ia menumpang di sebuah sekolah rendah agama di Kampung Kobuni, Inanam, iaitu Sekolah Rendah Agama Insaniyyah. Ukuran bangunan yang hanyalah 15x30 kaki, dan berada dalam keadaan sangat usang memaksa kami menghadkan pengambilan peserta kepada 10 orang remaja bermasalah sahaja daripada 25 yang menawarkan diri secara sukarela untuk mengikuti program. Serba sedikit maklumat program adalah seperti berikut:

Tarikh :
9-10 Mei 2009
(diharapkan untuk dapat dilaksanakan secara berterusan setiap minggu, bergantung kepada kekangan kewangan dan tenaga)

Tempat :
Sekolah Rendah Agama Al-Insaniyyah, Kampung Kobuni, Inanam

Sasaran Peserta:
10 orang remaja perempuan yang datang dari keluarga bermasalah dan pernah terlibat dengan clubbing, merokok, arak, judi dan lain-lain. Kelompok ini juga terdedah kepada ancaman Kristianisasi. Pemilihan peserta dipusatkan kepada mereka yang cenderung untuk lari daripada rumah dan membunuh diri.

Keperluan Kewangan:

Penyelenggaraan -
Cat bangunan (putih dan ungu) : RM250.00
Baikpulih tandas : RM 200.00

Mingguan -
Alatulis / Bahan keperluan program : RM 100.00
Makanan Peserta/AJK (RM 12 x 2 hari x 20 orang) : RM 480.00
Cenderamata peserta (RM 5 x 10) : RM 50.00

JUMLAH : RM 1080.00

Persatuan Siswazah Sabah mempunyai track record yang baik dalam program pemulihan akhlak dan pembentukan remaja, hasil pendekatan yang bersifat-abang-kakak-adik dan 100% bertunjangkan tarbiyyah Islam. Pelajar Islam yang mengikuti KRIS PITAS tanggal 10-12 April 2009 yang lepas, dan bermula dari kosong kini telah mewujudkan Kelab Remaja Ukhuwwah di sekolah atas inisiatif sendiri dan kini menjadi barisan hadapan menentang Kristianisasi yang berlaku dalam pagar sekolah mereka sendiri. 40% daripada 50% para peserta muslimat KRIS PAPAR, 24-26 April 2009, mengisytiharkan putus couple dan mengenakan stokin kaki dan tangan.

Persatuan Siswazah Sabah juga mempunyai track record yang baik berhubung kemampuan melaksanakan program dalam kekangan kewangan yang tinggi. Tidak boleh tidak, program 'Puteriku Sayang' tetap akan dijalankan biarpun peserta perlu dilatih berpuasa, peserta perlu membuang air dalam gelap dan tanpa air serta berprogram dalam bangunan usang dan hampir roboh. Mereka boleh pulang dengan berbekalkan cenderamata senyuman kaka fasilitator semata-mata. Tetapi kami merasakan bahawa peserta yang memilih untuk berubah ini tidak patut bergelap dan beristinja' dengan batu bila ramai lagi insan yang tidak pernah menutup lampu bilik air dan membiarkan pili terbuka. Kami tidak merasakan makanan mereka patut disekat-sekat bila ramai lagi umat yang membuang dan membazir makanan tanpa mengeluh. Kami tidak merasakan mereka hanya mampu dihadiahkan sekuntum senyuman bilamana mereka tidak pernah merasai indahnya mendapat hadiah dan penghargaan daripada orang yang boleh mereka panggil sayang. Anda mampu membantu Gadis Semut? Kerana kami memerlukan sumbangan anda.

p/s : Kami juga mengalu-alukan sebarang maklumat berhubung remaja bermasalah di tahap kritikal sekitar Kota Kinabalu, atau maklumat berhubung mana-mana organisasi atau pertubuhan yang dapat membantu di dalam usaha ini. Sebarang sumbangan atau maklumat hubungi Nadir - 0198110964. Syukran jazilan.

Akaun Maybank : Saudara Muhammad Ruslan Azahari
: 162263156276

Akaun CIMB : Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman
: 12180099132527



Kisah Kerajaan Semut



Kisah Kerajaan Semut


Ianya bermula dengan satu kematian dan dihadapkan ke hadapan Tuhan
Semut.

"Apakah yang engkau telah lakukan didunia dahulu wahai Gadis Semut" tanya Malaikat Pendakwa di kamar Mahkamah Akhirat Tuhan Semut.

"Errr! Saya melakukan zina sehingga melahirkan seekor anak semut yang comel" jawab Gadis Semut kembali. Matanya berlinangan air mata mengenangkan peristiwa itu. Kepalanya tertunduk dan tidak mampu diangkat untuk memandang wajah Malaikat Pendakwa tersebut.

"Tidakkah engkau tahu bahawa zina ini berdosa dilakukan? Tidakkah ibu-bapamu ada mengajar kepadamu tentang ilmu agama?" soal balas Malaikat Pendakwa yang mukanya teramat bengis.

"Saya tidak diajar langsung tentang ilmu agama, Tuan" jawab Gadis Semut.

"Panggil bicara kedua-dua orang tua Gadis Semut ini sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa kepada Malaikat Pembantu yang lain.

"Wahai ibubapa kepada Gadis Semut, tidakkah kamu tahu bahawa kamu wajib memberikan pendidikan agama kepada anak gadismu itu" tanya Malaikat Pendakwa dengan tegasnya.

"Kami lalai tuan, Kami sibuk dengan urusan pekerjaan kami sehari-hari. Walaupun begitu kamu ada menghantar anak gadis kami ke sekolah. Sepatutnya Ustaz dan Ustazah disekolah mengajarnya ilmu agama" jawab ibubapa Gadis Semut tersebut.

"Panggil Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa.

"Adakah kamu ada mengajar Gadis Semut ini tentang ilmu agama?" tanya Malaikat Pendakwa kepada Ustaz dan Ustazah sekolah Gadis Semut tersebut.

"Kami ada mengajarnya mengenai imu agama namun ianya terbatas kepada waktu yang dibenarkan dalam sistem pendidikan negara. Dalam seminggu kami cuma dapat mengajarkan ilmu agama cuma 5 waktu sahaja. 5 waktu ini cuma 225 minit sahaja tuan" jawab Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.

"Siapakah yang menetapkan waktu-waktu ini" tanya Malaikat Pendakwa.

"Kementerian Pendidikan tuan, yang diketuai oleh Menteri Pendidikan." dakwa Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.

"Panggil kekamar bicara Menteri Pendidikan" bentak Malaikat Pendakwa lalu ditanya pula.

"Adakah kamu yang memimpin Kementerian Pendidikan yang mentetapkan cuma 225 minit sahaja seminggu Pendidikan ilmu agama diajar kepada penuntut sekolah?"

"Ya tuan, memang saya yang memimpin Kementerian Pendidikan. Saya cuma menjalan tugasan saya seperti yang diarahkan oleh Kabinet, tuan" terketar-ketar Menteri Pendidikan tersebut menjawab soalan Malaikat Pendakwa tersebut.

"Siapa yang mengetuai Kabinet Kerajaan kamu itu" tegas soalan dari Malaikat Pendakwa.

"Perdana Menteri kami, tuan" lemah balasan Menteri Pendidikan yang kini tidak mampu mengangkat muka.

"Panggil ke kamar bicara Menteri Besar Kerajaan Semut ini sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa kepada pembantu-pembantunya.

Lemah longlai Menteri Besar diheret ke kamar bicara oleh Malaikat Pembantu.. Kakinya tampak lemah tidak dapat mengatur langkah. Wajahnya nampak pucat lesi.

"Benarkah kamu yang memimpin kabinet Kerajaan Semut ini." tanya Malaikat Pendakwa dengan tegas kepada Menteri Besar.

"Ya tuan, Memang saya. Memang saya yang membuat semua keputusan yang diputuskan oleh kabinet. Malah memang saya yang mengarahkannya. " jawab Menteri Besar lemah.

"Jadi memang kamu mengaku bahawa kamu tahu apa akibatnya atas arahan dan keputusan yang kamu lakukan" tanya Malaikat Pendakwa.

"Ya memang saya tahu tuan, Namun saya melakukannya mengikut mandat yang diberikan kepada saya oleh rakyat negara saya yang memilih saya menjadi pemimpin mereka melalui satu pilihanraya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar apa yang diharapkan oleh rakyat negara saya" lemah jawapan Menteri Besar tersebut.

"Baiklah, sekarang saya serahkan kepada Tuhan Semut untuk membuat keputusan perbicaraan ini" lontar Malaikat Pendakwa.

"Tuhanku, Menteri Besar ini mengaku bahawa atas mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat semut melalui pilihanraya, maka beliau mengarahkan kabinet negaranya yang seterusnya menetapkan bahawa Pendidikan ilmu agama cuma 225 minit sahaja seminggu yang mana diberitakan tidak mencukupi sehinggakan Gadis Semut ini telah melakukan satu dosa besar iaitu zina." bentang Malaikat Pendakwa kepada Tuhan Semut dengan lengkap dan tertibnya.

"Barang siapa yang memilih (mengundi) Menteri Besar dan Kerajaan yang memerintah tersebut dalam pilihanraya hendaklah dimasukkan kedalam neraka keseluruhannya atas sebab dosa zina yang dilakukan oleh Gadis Semut tersebut. Ini termasuklah semua yang terlibat membiarkan Gadis Semut melakukan dosa zina" titah Tuhan Semut kepada Malaikat Pendakwa dan semua Malaikat seluruhnya.

Jika anda seorang yang berakal, tentunya anda dapat menangkap maksud petikan ringkas cerpen diatas. Semoga Allah tidak melaknat kita dan memasukkan kita keseluruhannya kedalam neraka atas sikap sambil lewa dan cuai kita dalam memilih pemimpin dan pimpinan negara. Walaupun ada satu dosa kecil yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka kita pun akan dimasukkan kedalam neraka jika kita membiarkan dosa ini dilakukan walaupun tanpa kita sedar. Jika ditafsir dengan lebih mendalam, kita bukan sahaja berdosa apabila mengangkat pen membuat pilihan yang salah, tapi turut dicampakkan ke dalam golongan yang sama apabila mempunyai kemampuan tetapi tidak mengangkat tangan untuk bertindak membantu golongan si Gadis Semut.

Saya dedikasikan kisah ini khas untuk Program Puteriku Sayang, dan merayu sumbangan tenaga, masa dan wang ringgit. Mereka mengharapkan anda. Adakah anda punya kemampuan membantu Gadis Semut?


Disunting dari : iluvislam.com

Monday, May 4, 2009

Alhamdulillah, 'Basikal Si Pesakit Jantung'

Selesai Kem Remaja Islam Papar, sekitar 30 orang ahli Persatuan Siswazah Sabah dan Kelab Remaja Ukhuwwah bergerak ke Pekan Papar. Awalnya rombongan bercadang untuk menyampaikan sumbangan basikla terus ke rumah 'Si Pesakit Jantung', Adik Elfion tetapi beliau mengikut ibunya ke kedai tempat beliau bekerja. Lalu berbondong-bondonglah kami ke sana dengan menaiki 6 biji kereta dan sebuah motosikal.

Ibu Elfion sedang sibuk melayan pelanggan. Elfion yang berada di bahagian belakang kedai bosan tidak melakukan apa-apa. Dia tersenyum melihat kedatangan kami. Sementara menunggu basikal yang dibawa dari Kota Kinabalu dengan menaiki D-Max Dr Umar, Saudari Suzanna Saman, atau Kak Jannah, Timbalan Pengerusi PSS menyampaikan hamper kepada Elfion. Tidak lama kemudian, basikal yang dinantikan pun sampai, dan upacara penyerahan disempurnakan oleh Setiausaha Persatuan Siswazah Sabah, Saudara Fairuz Bend.

Kaunseling oleh Kak Jannah sementara menunggu basikal.

Sekitar 30 orang ahli PSS menyampaikan sumbangan basikal.

Senyummu cukup untuk membalas basah peluh dan pengorbanan kami yang tidak seberapa.

Terima kasih kepada semua ahli PSS-KRU yang terlibat menjayakan program.

Thursday, April 30, 2009

Aku Penagih Da....Dakwah!

"Kenapa kau datang program pun merokok?" Abang fasi yang marah bertanya kepada salah seorang peserta.

"Tak boleh tahan bang. Gula-gula habis." Peserta menjawab sambil tertunduk.

Abang fasi mengeluh. Penagih rokok. Nak dimarah hilang peluang mentarbiyyah. Nak dibiar takut makin parah. Akhirnya terpaksa mengalah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Bang, saya ada satu masalah. Saya tak boleh tunduk kalau tengok perempuan cun. Lagi-lagi kalau seksi, mesti nak pandang. Kalau limpas naik motor, konfem saya akan hon..Tak boleh buat apa bang, mesti nak buat jugak.." seorang lagi peserta mengadu. Zass..kes lain pula. Penagih perempuan cun.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Kenapa kau datang program qiam ni, tak bosan ke tiap-tiap bulan datang qiam? Pastu bulan depan pergi program Kem Remaja Islam pula, tiap-tiap malam ikut abang pergi bagi kuliah, tak pandai boring ke?" Abang lain pula mengacah madhu'unya.

"Tak pula bang. Seronok. Kalau tak pergi program-program ni rasa macam ada yang tak kena. Ni kan jihad bang!" Adik yang baru 3 bulan mengenali Islam menjawab lancar. Alhamdulillah. Penagih dakwah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hendak mencari orang untuk dibentuk tidak susah. Ramai yang ingin mengenali Islam. Ramai yang ingin menjadi baik. Ramai yang suka berprogram. Tetapi untuk mencari orang yang mampu istiqamah menjadi generasi penerus dakwah agak sukar. Kerana gilakan program sahaja tidak cukup. Mahukan perubahan sahaja tidak memadai. Hendakkan keseronokan semata-mata lebih jauh lagi. Tetapi sifat ini hanya boleh dipupuk dalam diri, generasi ini hanya boleh berterusan dibentuk dengan melahirkan ketagihan. Ketagih dakwah.

Kecenderungan untuk menjadi penagih memerlukan beberapa perkara, samada yang perlu diletakkan dalam diri atau yang diserap ke dalam mata rantai perjuangan;

1. Mempunyai matlamat yang benar
Generasi pendakwah perlu difahamkan yang perjuangan ini adalah atas dasar aqidah Islam, kerana itu ia tidak boleh ditidakkan. Ia mesti diteruskan sampai Islam kembali ke tempat asalnya, biar berdepan mehnah dan cabaran, di waktu sukar dan senang. Bentuk kefahaman melaui slogan yang biasa dilaungkan, Allah Matlamat Kami, Quran Panduan Kami, Rasulullah Ikutan Kami, Syahid Cita-Cita Tertinggi Kami.

Salah seorang dai'e projek PSS, Saudara Misran (berbaju biru). Bila difahamkan tentang perjuangan Islam, kesungguhan anak muda ini belajar menakjubkan. Daripada tidak kenal huruf, beliau mengambil masa tiga bulan dengan diajar sebanyak tiga kali sahaja, selebihnya beliau berusaha untuk belajar sendiri untuk menghabiskan kesemua Iqra' dan tamat 30 juzu' Al-Quran! Daripada seorang yang 'bisu', beliau kini boleh menjadi pengacara majlis sehebat murabbinya, Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS. Ini contoh potensi anak Sabah, yang tidak pernah diajar solat dan syahadah, malah hidup dalam persekitaran arak dan judi!

2. Mempunyai guru dan sahabat-sahabat yang baik
Penulis dikelilingi oleh ramai pendidik dakwah tempatan yang mengajar kaedah dan cara menagih di tempat orang secara berkesan dan agresif. Samada yang berbangsa Bugis 1 & 2, Bajau 1 & 2, dan Dusun, samada secara langsung atau telah membentuk rangka kerja dan emosi untuk bergerak di dalam masyarakat, membangunkan kecelikan agama dan ilmu. Sahabat-sahabat yang baik juga amatlah perlu, yang berfungsi sebagai teman sejati perjuangan, dan sekaligus memainkan peranan sebagai guru-guru jurudakwah. Selain itu, penagih perlu banyak belajar daripada alam dan pengalaman, melalui daya pemerhatian, penganalisaan dan penyerapan yang tinggi.

3. Mempunyai landasan atau platform untuk bergerak
Bergerak seorang diri mudah mematikan perjuangan, samada mengalami halangan kewangan, tenaga, masa atau motivasi. Justeru bergerak dalam gerakan Islam atau organisasi sangat penting, samada dalam persatuan bukan kerajaan seperti Persatuan Siswazah Sabah, JIM, ABIM dan sebagainya atau parti politik seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

4. Jadualkan gerakerja anda
Orang yang bersistem perlu mempunyai jadual. Jadual melahirkan rasa tanggungjawab dan membolehkan masa diurus dengan lebih baik. Buat jadual berkala mingguan, susun perancangan kuliah, tazkirah, program secara tetap dan masukkan aktiviti atau program khusus di selang masa yang ada. Nah, tak ikut dosa!

5. Letakkan diri anda dalam posisi penting
Menjadi ahli biasa dalam persatuan melahirkan 'mindset' ambil ringan dan tidak kisah. Kita tidak mengajar pejuang Islam mengejar jawatan, tetapi kita mahukan ahli yang 'segak macam Presiden, bekerja macam Setiausaha Agung dan bergaya macam Bendahari Kehormat.' Dan yang paling penting, berfikiran seperti wakil rakyat dan Perdana Menteri.


Di Masjid Kampung Likas, terdapat seorang pakcik Pakistan yang telah menjadikan kerja menyusun selipar ahli jamaah masjid dan 'memusingkan'nya supaya jamaah mudah menyarungkannya dan bergerak pulang sebagai agenda kecil yang dimasukkan ke dalam jadual hariannya, sekaligus melantik dirinya sebagai 'penyusun selipar rasmi masjid'. Agenda kecilnya pasti dipandang mulia oleh Allah dan dihitung sebagai pahala free yang diperolehi setiap hari.
Pakcik ini penagih pahala!


6. Wujudkan 'networking' yang baik
Rangkaian dan hubungan yang baik dengan banyak pihak di pelbagai lapangan dan status jawatan memberi banyak kelebihan. Antaranya ia dapat memudahkan gerakerja dan memudahkan pengurusan program, selain menjadi saluran dana yang baik. Selain itu, banyak gerakerja seperti pelaksanaan program, menguruskan kes-kes khidmat masyarakat dan sebagainya datang daripada rangkaian tersebut, justeru memastikan langkah dan pergerakan tidak terhenti.

Seberapa banyak pun panduan yang diberikan, yang paling penting pada seorang pejuang ialah rasa kebersamaan dan keterikatan dengan Allah melalui amalan rohani, keikhlasan dan niat yang suci murni, kerana dengan usaha apapun, akhirnya yang menentukan jatuh bangun dan penerusan ketagihan dakwah, ialah Allah Ta'ala.

Wednesday, April 22, 2009

Destinasi Cinta Yang Satu

Kalam ini ditujukan KHAS buat Abang, kakak dan sahabat-sahabatku dalam PSS.. Juga buat adik-adikku yang tercinta dalam oragnisasi KRU.. Bacalah..

Refleksi kisah BENAR:

Malam semakin larut..

Jus epal yang diminta sejak tadi tak tersentuh.. Dah hilang aura sejuknya dek kerana pemintanya terlalu khusyuk ber’perang’.. Entah apa yang terlalu penting sangat sehingga air sesedap itu tidak tersentuh. Ligat akal yang memikir membunuh nafsu minum seketika..

Saya masih tercongok.. Sekejap mengalih punggung ke kiri sekejap ke kanan mencari keselesaan.. Hmmm.. Bilalah meeting budak-budak nie nak habis??—mungkin Pakcik empunya restoran bermonolog seperti itu. Sabar ye Pakcik..

Dalam kesuraman malam dan cahaya limpah restoran pekan T**ran, saya amati wajah manis Abang Pai yang menahan kepenatan dan serangan mengantuk.. Pening barangkali dengan soalan-soalan Amin yang masih galak sejak tadi..

Menyoal supaya brainstorming yang dibuat betul-betul matang.. Agar rencana tidak lari dari matlamat asal!

Ana cadang.. Lepas KRIS nie kita tubuhkan satu skuad pelajar.. Biar adik-adik boleh bekerja ‘as a team’ dalam tue.. Then, kita pula senang nak atur dan bimbing.—Saya mencadang..

Iye?? Sejauh mana praktikalnya?—Amin memprotes. Amin memang macam nie.. Asyik-asyik jadi pembangklang dalam syura.. huuu.. Tapi memang perlu jadi pembangkang.. Check and balance!

Abang rasa.. Abang setuju denagan cadangan Zul tue.. Kita cuba dulu. Kalau tak cuba, mana mungkin nak tahu praktikal atau tidak. Kalau kita tengok PERPPIS, diorang ‘kuat’ sebab ada stand..—Yess.. Abang Pai bagi sokongan.

Haa Min.. Macam mana?? Dah 2-1 sekarang nie.. Kire enta kalah dah..—Sengaja saya memprovok Amin. Saya seronok “BERGADUH” dengan Amin..

Mana boleh.. Enta main ‘rasuah’ abang Pai.. Tak fair la..

Tapi. Ana setuju juga.. Cumanya kena fahamkan sahabat-sahabat lain.. Takut ramai yang membangkang.. So, automatik enta dan abang Pai kalah!—“BERGADUH” kerana mencari jalan yang terbaik dialu-alukan.. Bila dah jumpa jalan, terimalah.. Tiada kalah atau menang.. Macam Amin.. Dia tak rasa ‘kalah’.. Bahkan boleh terima cadangan dengan senang hati.

Itu “PERGADUHAN” yang sepatutnya.. Kita faham dan tahu kenapa perlu “bergaduh”.

Ok. Kalau semua orang dah setuju ‘jalan nie’.. Kita proceed ye.. So, ana cadangkan skuad pelajar tue kita panggil KELAB REMAJA UKHUWWAH (KRU)—Saya cuba menggulung supaya ketemu ending meeting.. Kalau tak, sampai pagi duduk sini. Kang Pakcik restoran halau guna penyapu, baru tahu..

KRU?? Macam apelah.. takde yang lebih sesuai ke?—Opss.. Sekali lagi Amin jadi pembangkang.. Kena “BERGADUH” lagi?

Ok.. Enta ada cadangan lain? Kalau ade yang lagi best.. Ana ok je.. Betul tak Abang Pai?—Kadang-kadang ada jalan untuk mengelak “bergaduh”.. So, pandai-pandailah faham.. Part mana yang perlu “bergaduh”.

Hehe.. Takdelah pula.. Ok je kot. KRU pun sedap ape..—See.. Bila kita raikan orang.. Semuanya jadi OK.

“Demi Allah! Kami bersaksi atas nama Allah dan Rasulnya Muhammad, ikatan CINTA ini sentiasa dipelihara sehingga akhir hayat!”!.. Terkedu saya dengan bai’ah (akur janji) yang dilafaz pada malam itu..

Dahlah di depan jus epal!

Destinasi Cinta

Dalam ‘rumah tangga’ dakwah, tidak dinafikan kadang-kadang badai datang menerpa.. Apatah lagi bila badai itu menjelma dari wajah dan rupa sahabat sendiri.. Sahabat yang sebelum ini punyalah cinta dan sayang kepada kita tiba-tiba bermasam muka tanpa memberi sebab musababnya..

Itu natural dalam ‘rumah tangga’. Kata orang, hujan renyai-renyai di kala mentari terik atas kepala! Di kala suatu ‘family’ membesar, maka semakin banyaklah karenah dan karakter orang yang ada dalamnya.. It is a law of the nature..

Cumanya.. Bila orang-orang yang hadir dalam ‘rumah tangga’ tadi tidak cuba MEMAHAMI mengapa mereka ‘bercinta’ itu yang menjadi masalah..

Cinta dalam ‘rumah tangga’ dakwah sebenarnya lebih KOMPLEKS dari cinta rumah tangga sepasang suami isteri.. Iya.. Kira sahaja berapa orang yang terlibat.. Bukan dua orang.. Kalau rumah tangga biasa—Suami dan isteri, 2 makhluk je.. Paling ramai pun, 5 orang.. Suami yang kahwin empat!

Bang.. Saya rasa sahabat-sahabat lain macam takde ukhuwwah la..—Getus seorang junior dalam program.

Kenapa pula?—Saya cuba melayani seperti biasa.. Nie mesti badi selepas ‘DIHENTAM’ habis-habisan time meeting semalam oleh beberapa orang AJK lain.. Dahlah AJK muslimat pula tue yang hentam.. Siapa yang tak rasa down..

Abang tengoklah semalam.. Ana kan PIC program nie.. Tetiba diorang tak boleh follow cadangan ana.. lain kali takyah la lantik ana jadi PIC!—Dah agak dah.

Hmmm..—Saya tersenyum seketika sambil melihat wajahnya yang suci dan kudus itu. Adik ini harapan! Jangan perkara sekecil macam nie boleh ‘mematikan’ semangat dia.. Macam mana nak jawab ye.. Saya pun dah ketandusan idea..

Nielah masalahnya bila “bergaduh” tapi tak sedar bergaduh untuk apa..

Enta sayang sahabat-sahabat lain tak?—Soal saya perlahan..

Sayang.. Mesti sayang..

Sayang sebab apa? Kenapa beria-ia sangat nak sayang?

Eh bang.. kan sahabat tue teman berjuang.. kalau tiada sahabat, masakan kita mampu berjuang seorang-seorang.. Nabi pun ada sahabat berjuang.—Alhamdulillah.. Teori ASAS bersahabat sebenarnya ramai yang dah faham..

Tapi, sayang sahaja tak cukup. Sayang kerana ‘berjuang perlukan sahabat’, itu sayang kerana KEPERLUAN semata.. Bila perlu semua orang boleh sayang.. Bila suami perlu isterinya, jangan kata sayang.. mati pun dia sanggup!

Tak faham..

Maksud abang.. Dalam kita ‘berumah tangga’.. Upgrade lah level sayang sesama sahabat.. Jangan sayang bila perlu sahaja.. Bila kita nak buat program barulah kita nak sayang. Contohnya dalam kes enta.. Bila enta PERLUKAN sokongan sahabat-sahabat lain, kemudian bila mereka tidak memberikan ‘keperluan’ itu.. Enta rasa apa??

Kalau sayang enta berkurang.. maka, betullah.. Enta sayang kerana hanya memenuhi tuntutan ‘berjuang itu PERLU sahabat’. BERUKHUWWAH atas dasar memenuhi tuntutan KEPERLUAN sahaja..

Hmmm...—Panjang keluhan dia.. Mungkin tengah berfikir dalam.. Sedalam maksud yang saya cuba sampaikan. Saya pun sebenarnya ‘berumah tangga’ tak sebaik seperti kata-kata yang diungkapkan dari mulut. Masih dalam proses upgrading!

Macam mana nak upgrade?—Soal dia setelah lama termenung..

Faham akan destinasi kita.. Destinasi kenapa kita ‘bercinta’ pada jalan ini..—Mungkin ayat saya terlalu sastera barangkali.. Tapi, menguntum bunga kata itu sebenarnya perlu. “Tarikan seri kuntum bunga itulah yang menyebabkan orang datang mencium bunga.. Lantas barulah wanginya dapat dirasa!”

Kita BERJALAN BERSAMA menuju Pencipta.. Dia “destinasi cinta” kita.. Alangkah indahnya kita dapat berjalan ‘beramai-ramai’ ke arahNya sambil berpegangan tangan.. Pasti Dia pun sukakannya..

Bila kita berfikir seperti ini.. Ia bukan lagi atas sebab keperluan.. Bahkan berukhuwwah itu menjadi kelazatan walau macam mana pun keadaanya.. ‘Lazat’ bagi mereka yang bercinta dan yang menerima cinta.. Allahlah yang menilai cinta kita.. Cinta ini juga kerana Dia.. Betul tak?

Hmmm—Sekali lagi dia mengeluh.. Harapnya keluhan itu menjanjikan inti kefahaman dan bukannya bebanan fikir atas sebab jawapan saya yang terlalu deep. Harapnya begitu..

Kunang-Kunang malam..

Kerdipan cahaya oleh si kunang-kunang malam seolah seperti kerlipan nyala discas elektrik dari satu mesin yang ada ‘rosak’nya.. Nampak macam api yang kecil sahaja.. tapi..

Tapi bila ia dibiar, kata para Jurutera Elektrik ia akan menghasilkan flashover yang dinamakan sebagai breakdown phenomena. Kilatan yang besar sehingga meranapkan mesin yang jutaan harganya!

Mula-mula tadi nampak kecil sahaja bukan.. Macam besar kerlipan kunang-kunang sahaja.. Tapi, jika tidak diatasi cepat-cepat, jangan menyesal perencanaan dakwah yang sebegitu baik selama ini akan musnah dan berantakan.. Atas sebab tangan-tangan kita sendiri! Na’uzubillah..

Semua anggota ‘rumah tangga’ sepatutnya faham akan posisi dan batasan masing-masing.. Ada yang jadi cucu-cucu, anak-anak, bapa-mama, pakcik-makcik, nenek ataupun datuk.. maka hormatilah kedudukan setiap ahli ‘rumah tangga’..

Saya selalau mengingatkan kepada diri dan adik-adik.. Memadailah dengan anda tidak memanggil senior itu sebagai ABANG atau pun KAKAK, anda sebenarnya sudah mencemari sentosa ‘rumah tangga’ ini!.. Fikir-fikirkanlah... Bukan bermaksud untuk membuat seolah sistem kasta dalam rumah, tapi nilaian hormat dan kasih itu WAJIB disanjung.—Bukalah kitab Sirah, bagaimana sifat ‘merendah dirinya’ Saidina Umar ke atas ‘seniornya’ Saidina Abu Bakar. Dan bagaimana pula sifat ‘bangga sahabat’ akan Saidina Abu Bakar atas ‘juniornya’ Saidina Umar..Renunglah!

Mengapa dikala kita berjalan bersama menuju Destinasi Cinta yang sama, ada lagi dikalangan kita yang cuba bermasam muka.. Mempersoal hasil tangan orang lain tanpa usaha meraih tangan itu untuk dipimpin lalu diajar?

Mengapa juga dikala keseronokan bersama dan ‘kesukaan’ Tuhan melihat kita berjalan bergandingan menujuNya.. Masih lagi ada nada sombong dan ego dalam diri lantas melepaskan pegangan tangan sahabat yang ada disisi?

Mengapa juga bilamana kita berlari-lari keanak-anakan mengejar Destinasi Cinta yang semakin menghampir tiba-tiba masih lagi ada prasangka buruk dalam hati lantas tidak segan-segan membentes sahabat di sebelah sehingga ia rebah mencium tanah! Mengapa?

Maksud di sebalik Refleksi kisah BENAR:

Saya sengaja mengingatkan..

Mengingatkan para jundiyy akan ‘kisah dulu-dulu’.. Betapa KESULITAN dan KEPAYAHAN akan namanya sebuah PERMULAAN.. Agar kisah dulu tidak dilupa, dan pengajarannya diambil.. Mungkin juga imbauan kenangan lama seperti ini bisa menyentuh hati kita semula.. lalu ikatan kita terupgrade.. Siapa sangka?

Saya juga ingin mengingatkan diri dan jundiyy yang lain..

Betapa setiap “pergaduhan” yang dibuat mestilah atas dasar mencari jalan yang terbaik tika menuju destinasi Cinta yang satu. Faham kenapa kita “bergaduh”.. Bukan bergaduh—HATI, tapi bergaduh—AKAL! Ada beza tue..

Saya turut memperingat akan diri sebagai senior mewakili para junior..

Berikanlah ruang percaya kepada adik-adik untuk meneroka jalan.. Mereka sedang memimpin zaman ini maka tidak salah jika ada cetusan idea-idea yang baru.. Masakan proses itu boleh berkembang jika hanya satu jalan sahaja yang diguna pakai.. Yang penting jalan tadi tidak melanggar prinsip!

Dan saya juga sebagai tradisinya selaku senior memberi ingat kepada adik-adiknya..

Peliharalah ‘lazat’ rabitah ukhuwwah ini.. Jangan ada sesiapa yang cuba mencemarnya.. Walaupun saya berada di kejauhan, tapi hati dan telinga saya sentiasa berada di sana.. Peliharalah bukan kerana saya, senior-senior lain atau kerana makhluk.. peliharalah atas dasar KITA berada atas DESTINASI CINTA yang satu! Itulah yang sepatutnya.. Ameen..

Mohon izin untuk saya ulang sekali lagi refleksi tadi..

“Demi Allah! Kami bersaksi atas nama Allah dan Rasulnya Muhammad, ikatan CINTA ini sentiasa dipelihara sehingga akhir hayat!”!.. Terkedu saya dengan bai’ah (akur janji) yang dilafaz pada malam itu..

~Baarakallahufiik.~

myikhwanfiideen

Sang Perantau yang nun di Jauhan.

sumber : http://www.kembarasanghamba.blogspot.com/

Monday, April 20, 2009

7 Remaja Islam Sifar

Selesai Qiyamullail Mingguan KRU Tuaran, saya bergegas ke Darau. Beberapa hari lepas, selepas perbincangan menggunakan premis SAR milik Ustaz Arshad UITM untuk program kaunseling Adik-Adikku Sayang PSS, beliau menceritakan perihal sebuah rumah kebajikan Kristian yang terletak di Darau. Katanya, walaupun rumah tersebut didirikan hasil sumbangan harta warisan RM15 000 oleh seorang wanita Serani budiman dan menekankan kehidupan Kristian, ia turut dihuni oleh 7 orang remaja Islam. Remaja yang mencari tempat berlindung dan berteduh tanpa hasil akhirnya terpaksa menumpang kasih di bawah bumbung agama lain. Yang mengagumkan ialah pihak pengurusan sendiri yang menghantar surat kepada Ustaz Arshad meminta beliau melakukan sesuatu untuk membantu golongan minoriti tersebut.

Sekitar sejam melilau mencari rumah kebajikan tersebut tanpa hasil, akhirnya seorang penduduk tempatan memberi panduan. Motor terus dipecut laju menuju ke tempat yang dikhabarkan. Jam sudah menunjukkan angka 9.30 pagi, lewat sejam daripada masa yang dijanjikan untuk bertemu dengan Ustaz Arshad. Petunjuk yang diberi ternyata betul. Nama rumah kebajikan tertera di pagar masuk. Sekolah Tunas Bakti. Melepasi pondok sekuriti, saya menuju ke pejabat dan menghubungi Ustaz Arshad bertanyakan lokasinya. Jawapan beliau,

"Eh, bukan di situ. Kita di Rumah Kebajikan Bukit Harapan. Ustaz pun dah balik dah ni, lama tunggu kat tepi jalan tadi,"

Kalau anda sampai ke sini..nyata anda telah tersesat

Waduh. Salah tempat pula. Tetapi tidak pelik. Ustaz Arshad memberitahu yang beliau telah mencari, bertanya dan merayau selama dua minggu berterusan mencari rumah tersebut, baru bertemu.

Ustaz Arshad telah melakukan perbincangan dengan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Bukit Harapan, dan mereka mengalu-alukan supaya diadakan kelas untuk penghuni Islam sekali seminggu. Beliau juga sempat bertemu dengan 6 orang daripada remaja Islam tersebut, sementara seorang lagi yang dikatakan menghadapi 'krisis identiti' tidak mahu terlibat dengan pertemuan. Nyata golongan ini bukan sahaja tidak tahu solat, tidak tahu berapa waktu solat, jumlah rakaat dan sebagainya, bahkan tidak pandai mengucap. Sedangkan setiap hari mereka terdedah dengan budaya hidup Kristian. Kalau mereka murtad siapakah agaknya yang akan masuk neraka?

Ustaz Arshad akan menyusun jadual penggiliran pengajar untuk remaja-remaja ini. Pengajar terdiri daripada mahasiswa UITM dan ahli PSS. Islam para remaja ini di tahap sifar. Berapa lama lagikah yang anda perlukan untuk bersifir-sifir sebelum turun ke lapangan membantu mereka?


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons