PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Friday, March 12, 2010

Iklaneka : Kem Anak Soleh Taman Kuala Menggatal

Kem Anak Soleh Taman Kuala Menggatal akan diadakan pada 13 – 14 Mac 2010 di Surau Al-Ikhwan, Taman Kuala Menggatal. Semua ahli KRU dan PSS dijemput memeriahkannya bersama remaja setempat. Tentatif program adalah seperti berikut;


13 Mac 2010 ( Sabtu )

6.30 petang :

Solat Maghrib

Pendaftaran

Kuliah Maghrib

Solat Isya’


8.00 malam :

Makan malam

Pembahagian Kumpulan

Sesi Suaikenal (Modul : Ku Mengenalimu Lebih Daripada Yang Kau Tahu)

Latihan Dai’e Kecil 1 – ‘Kami Terhebat!’


8.45 malam :

Perkongsian 1 – ‘5 Cinta’


9.30 malam :

Slot Muhasabah – ‘Mencari Jalan Pulang’


10.30 malam :

Taklimat Adab-Adab Tidur

Bahtera Mimpi



14 Mac 2010 ( Ahad )


3.30 pagi :

Qiamullail dan Zikir Munajat


5.00 pagi :

Solat Subuh

Kuliah Subuh


6.00 pagi :

Riadah (Modul : Ukhwah Islamiyyah)

Senaman / Jogging Zikir


7.15 pagi :

Sarapan Pagi dan Khidmat Diri


8.00 pagi :

Perkongsian 2 – ‘Remaja Hari Ini’

Latihan Dai’e Kecil 2 - ‘Graf Kehidupan’


10.00 pagi :

Minum Pagi


10.30 pagi :

Perkongsian 3 – ‘Cemerlang Dengan Islam’


12.00 tengahari :

Solat Zuhur

Makan Tengahari dan Bersurai


Untuk maklumat lanjut hubungi Syafiq - 0148750783

Thursday, March 11, 2010

Program Cuti Sekolah PSS-KRU

1. Program Kem Induksi Pelajar 2010 (KIP 2010)

Tarikh : 15-16 Mac 2010
Tempat : Kampung Kobuni, Inanam
Penyertaan : Terbuka
Pengisian : Ceramah Kecemerlangan, Explorace, Kembara Kionsom, Barbeku dll
Yuran : RM15 sahaja

Download borang online atau hubungi 0198110964

2. Bengkel Wakil Rakyat

Tarikh : 17-19 Mac 2010
Penyertaan : Tertutup
Pengisian : Kemahiran Berucap, Kemahiran Pengurusan Organisasi, Pengenalan Asas
Undang-Undang, Pengenalan Struktur Pentadbiran Kerajaan Negeri, Slot Bersama
Rakyat dll
PIC : Saudara Nadir Al-Nuri

3. Mesyuarat Agung PSS

Tarikh : 20 Mac 2010
Penyertaan : Terbuka
PIC : Saudara Renifezri Mohd


Sebarang maklumat / pendaftaran hubungi 0198110964 atau PIC program. Syukran.

Saturday, February 27, 2010

Aura Maulidur Rasul

Salam Rabiu'l Awal 1431H buat semua. AlhamduliLlah,Aura Maulidur Rasul diizinkan dipaparkan untuk renungan semua. Kemungkinan agak terlewat dengan tarikh 12 Rabi'ul Awal, namun tidak sesekali terlewat untuk bercerita tentang Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Lahirnya Nabi Muhammad , Mengenalkan kita akan lahirnya syariat Allah
Wafatnya Baginda , Menandakan telah sempurnanya Syariat dan Agama Allah

Menyinggah di minda, terngiang di telinga, berlegar di benak fikiran kuliah Maghrib yang disampaikan Oleh Ustaz Farid Ravi di Masjid Bandaraya pada malam menjelangnya 12 Rabi'ul Awal. Betapa besarnya amanah yang dipikul Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan Risalah Allah. Bermula dengan mengajak manusia agar meninggalkan menyembah Tuhan selain daripada Allah, Nabi mengajar kita Al-Quran, Nabi juga mengajar kita akan kebijaksanaan. Nabi juga turut serta dalam peperangan. Hati Nabi sedih bila dilontar dengan batu dan najis. Hati Nabi sayu dengan fitnah dan cercaan. Tetapi Nabi tidak pernah putus asa untuk MENDIDIK manusia. Nabi tidak pernah mengeluh, meskipun perut Nabi tidak diisi berhari-hari. Nabi tidak tidak pernah mengutamakan dirinya,demi maruah ISLAM yang dibawa. Malah Nabi amat menyintai dan risaukan kita, UMMAT BAGINDA. Hingga ke akhir nyawa Nabi, hanya yang terukir di bibir Nabi, UMMATI,UMMATI,UMMATI.

Sahabat sahabiah, adik-adik dan seluruh yang mendokong kerja Da'wah yang ditinggalkan Nabi Muhammad kepada kita, jadikanlah Sejarah Nabi sebagai pembakar semangat. Semangat yang terbina atas dasar faham bukan perasaan semata-mata. Belajar untuk mengenali perjuangan dan keperitan Nabi Muhammad dan Nabi-Nabi sebelumnya. Kerana kita adalah mata rantai perjuangan itu. Meskipun bukan pemula ataupun pengakhir, namun kita punyai tanggungjawab meneruskan kesinambungannya.

Semoga Allah merahmati Baginda, Sahabat, Ahli keluarga Baginda, Para Syuhada'. Mohonkan pada Allah agar rahmatNya juga bersama mengiringi setiap ayunan langkah perjuangan kita.

Belajar untuk menyampaikan mesej ISLAM kepada manusia. Jika kita hanya pandai bekerja sahaja, maka perlu melangkah selangkah ke hadapan, latih diri untuk menyampaikan dari lisan dan penulisan. ISLAM ADALAH PRODUK YANG TERBAIK, MAKA ISLAM ITU PERLU DISAMPAIKAN OLEH JURU JUAL YANG JUGA TERBAIK. Belajarlah, Aplikasilah, Sampaikanlah. Semoga ia lahir dari hati, dan akan sampai kepada hati.

WaLlahu a'lam


Friday, February 26, 2010

Risalah Maulidurrasul PSS

Dialu-alukan untuk dicetak dan diedar. Risalah dalam bentuk publisher boleh diperolehi di kotak 'Berkongsi Ilmu Illahi' (sebelah kiri blog Kelab Remaja Ukhuwwah) di ruang Tinta Remaja. Syukran.

Tuesday, February 23, 2010

Kalangadan Kundasang

Hujung minggu lepas team 'tahun akhir' PSS mencuri masa untuk bersama dengan masyarakat Dusun Kundasang, melakukan survey di beberapa kampung terpilih selain membincangkan halatuju dakwah di bumi Kundasang bersama beberapa orang anak tempatan di kalangan ahli-ahli KRU Kundasang.

Antara isu yang sempat diteliti ialah pembangunan pekan Kundasang yang tidak seimbang dan semakin bersifat komersial. Bukit ditarah dan kehijauan bumi digondolkan untuk memeberi laluan kepada projek tauke-tauke resort dan gerai baru peniaga kecil Kundasang. PSS bimbang suatu hari nanti bukan sahaja tradisi jual beli dan bersosial masyarakat Dusun sahaja semakin terkikis, malah udara nyaman dan keindahan alam semulajadi akan turut terhakis. Yang kenyang, tentulah yang empunya projek, selain ahli politik yang turut mendapat saham. Masyarakat pribumi Kundasang? Lihat sahaja keadaan jalan di pekan ini untuk menjadi jawapan. Besi jalan yang terkeluar di sana-sini ibarat corak batik yang menghiasi jalan.

Sesi pertemuan dengan KRU Kundasang melibatkan sesi usrah, perbincangan program KRIS Kundasang, sesi Sukan Bersama Bro Arif dan penyampaian sumbangan kepada adik KRU, saudara Fazrey di Kampung Dumpiring Bawah. Beliau seorang anak yatim piatu yang mempunyai lapan beradik, tinggal bersama nenek yang sangat uzur dan kakak yang memainkan peranan sebagai ibu. Pertemuan ditutup dengan sarapan di restoran 'kaling'. KRU Kundasang telah disertai oleh seorang lagi ahli baru, adik Arsyad dari Kampung Lembah Permai. Sebagai ahli termuda, beliau digelar 'baby' dan diberi tugas untuk mencari ahli yang lebih muda untuk bersama KRU supaya gelaran tersebut tidak menjadi hak mutlak beliau.

Bro Arif dan Bro Ding memimpin sesi sukan

Dari kiri - Arsyad, Fazrey dan Jabry Juhinin.

Bercerita bersama nenek Fazrey. Beliau hanya pandai bercakap Dusun jadi selepas bertanya 'nakakan ko no?' kami membiarkan yang pakar meneruskan.

Akhir sekali kami mengambil ruang menjejak beberapa destinasi baru untuk berprogram, antaranya kami bertemu dengan Pengerusi JKKK Kg. Kauluan, Encik Lausin dan menziarahi rumah tokoh berpengaruh, Haji Salman di Kg. Dumpiring Atas. Alhamdulillah sambutan yang diberikan sangat menggalakkan.

Bro Fadlan tidak dapat meninggalkan tabiat kurang baiknya -
mengorat setiap 'sumandak' yang ditemui.

Langadon oku Kundasang. Kami akan kembali.

Saturday, February 20, 2010

Siapakah PSSKB dan KRUKB?

Muqaddimah
Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayangNya Persatuan Siswazah Sabah Caw. Kota Belud (PSSKB) kini semakin dewasa dan berusaha untuk melahirkan pelapis-pelapis di medan dakwah ini. Rentetan dari artikel bulan Februari lalu yang bertajuk 'Sejarah Awal Perjuangan PSS' yang ditulis oleh Jannah04, kali ini saya akan menulis mengenai visi, misi dan objektif PSS khususnya PSSKB.

Pengenalan PSSKB & KRUKB
Persatuan Siswazah Sabah (PSS) merupakan satu badan NGO yang berdaftar secara sah dengan kerajaan dan PSSKB merupakan salah satu cawangan daripada PSS ini. PSSKB mempunyai visi yang sama sejak awal penubuhannya iaitu menjadikan PSS sebagai entiti terpenting di Kota Belud. Manakala misinya dipinda sedikit daripada misi awalnya iaitu melahirkan ahli PSS dan remaja (KRU) yang berketrampilan melalui aktiviti yang berbentuk ilmiah bagi mewujudkan bi'ah solehah di Daerah Kota Belud. Antara objektifnya pula adalah memperkenalkan PSS diperingkat sekolah-sekolah di Daerah Kota Belud, melahirkan remaja Islam yang mempunyai aqidah Islamiyah yang kukuh, membentuk remaja Islam yang berperibadi mulia berlandaskan ajaran Islam yang syumul dan memberi galakan kepada remaja Islam untuk suka mengikuti program yang berbentuk pemantapan peribadi, komunikasi dan sahsiah.

PSS (termasuklah PSSKB) mempunyai satu kelab yang khas untuk para remaja yakni para pelajar peringkat menengah iaitu Kelab Remaja Ukhwah (KRU). Ianya mempunyai matlamat tersendiri untuk melahirkan para remaja yang berakhlak mulia yang bebas dari gejala sosial yang kian parah melanda masyarakat kini.Untuk keterangan lanjut berkaitan kelab ini bolehlah layari http://d-kru.blogspot.com.

Risaukan keselamatan anak-anak?
Mungkin ramai ibu-bapa dan guru-guru risau jika membenarkan anak-anak mereka keluar pada waktu malam mengikuti program-program atau aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Itu adalah perkara baik yang perlu ada pada seorang ibu, bapa atau guru. Tetapi... haruslah difikirkan secara matang kebaikan-kebaikan yang diperolehi apabila membenarkan anak-anak keluar berprogram. Seandainya ia membawa kearah kebaikan apa salahnya jika mereka dibenarkan membentuk identiti mereka sendiri demi keselamatan mereka di akhirat. Ataupun kita sudah yakin keselamatan mereka di akhirat terjamin dengan hanya duduk di rumah menonton TV, tidur 24 jam dan makan bila rasa nak makan tanpa menghiraukan suruhan agama yang langsung tidak diperingatkan?

Harapan kepada masyarakat
Kami dari warga PSSKB dan KRUKB ingin menyatakan harapan kami agar masyarakat dapat menerima kami dengan sebaiknya demi Islam tercinta. Kami membawa Islam berlandaskan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan bukanlah membawa mana-mana ajaran sesat yang terdetik dalam kotak fikiran masyarakat Islam zaman moden ini. Adakah mengajak supaya bersolat 5 waktu, berpakaian menutup aurat yang dikatakan ketinggalan zaman, menghadiri majlis-majlis ilmu itu merupakan ajaran sesat? Atau menonton TV berbentuk hiburan di rumah, meninggalkan solat walau satu waktu, berpakaian yang tidak cukup kain mengikut acuan Barat itu perkara baik dan bermanfaat? Fikirkan sendiri... Ingatlah kata-kata kumpulan Devotees, "tiada bahagia tanpa iman..tiada kebahagiaan tanpa Islam di jiwa."

P/S:
- Mohon kemaafan andai ada kata-kata yang mengguris perasaan pembaca.
- Sebarang komen/ respon amat dialu-alukan dan bolehlah dihantar ke pss_kb@yahoo.com

Sejarah Awal Penubuhan PSSKB

Awal penubuhan UPI

Unit Pelajar Islam (UPI) Daerah Kota Belud telah ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah naungan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) yang juga baru ditubuhkan pada tahun itu. UPI ini menghimpunkan pelajar-pelajar Islam dari semua sekolah menengah sekitar daerah Kota Belud yang mempunyai kesedaran Islam dan berpotensi untuk meneruskan dakwah Islam. Penasihat UPI ini didokong oleh senior-senior graduan IPT dan ustaz ustazah dari sekolah-sekolah tertentu. Sepanjang penubuhan UPI banyak program luar sekolah yang telah dijalankan untuk mentarbiyah dan membentuk para pelajar yang akan menyambung rantai perjuangan dalam membawa dakwah Islam ini. Antaranya program tetap yang dijalankan ialah qiamullail bulanan, rehlah dan lain-lain. Memang sebelum ini dan ketika ini kawasan ini gah dengan pelbagai program Islamik.


Malap? Terkubur?

Pada pertengahan tahun 2005, UPI kian malap dalam gerak kerjanya. Ianya disebabkan oleh kebanyakan ahli-ahlinya yang merupakan lepasan SPM dan STPM pergi membawa diri untuk meneruskan jihad akademik di tempat lain. Ada yang menyambung pelajaran di matrikulasi, tingkatan 6 di tempat lain, Nilam Puri dan sebagainya. Tidak kurang juga yang membawa diri mencari pekerjaan. Maka, tinggallah beberapa orang ahli untuk meneruskan gerak kerja dakwah UPI. Lebih menyedihkan apabila UPI hampir terkubur disebabkan tiada penggerak lagi yang akan menyambung perjuangan ini. Mungkin juga disebabkan penggerak-penggerak UPI yang masih mentah dan tiada pengalaman dalam menyusun gerak kerja dan pantauan dari senior-senior yang malap. Perkembangan UPI juga semakin lama semakin malap disebabkan perhubungan yang terputus sesama ahli kerana ramai ahli menukar nombor telefon.


Adakah ianya akan bersinar kembali?

Pada pertengahan tahun 2006, ahli-ahli yang baru tamat manyambung pelajaran dari matrikulasi pulang ke kampung halaman dengan perasaan tertanya-tanya, adakah UPI masih wujud? Tiada khabar berita diterima melainkan negatif. Dalam tempoh masa terdekat, semakin ramailah generasi-generasi baru yang kembali ke kawasan. Bahkan semuanya hebat-hebat dan mantap-mantap belaka. Apa tidaknya, mahasiswa/si pelajar IPT berdarah muda yang mempunyai semangat baru untuk meneruskan berjuangan menegakkan Islam. Dengan pengalaman yang dikutip dari kampus, alhamdulillah gerakan Islam yang membawa syiar Islam ini bersinar kembali. Tetapi kali ini bukan lagi diberi nama UPI tetapi Persatuan Siswazah Sabah Cawangan Kota Belud. Program-program kerohanian dan pentarbiyahan diaktifkan semula terutamanya ketika cuti semester IPT dimana ramai ahli-ahli pulang ke kawasan.


Semakin matang

Pada saat ini, keahlian PSSKB semakin mencapai peningkatan dan Kelab Remaja Ukhwah (KRU) yang ditubuhkan oleh PSS Pusat pada Disember 2007 mendapat sambutan yang baik dikalangan pelajar. Ya, program-program keagamaan kini semakin dicari oleh masyarakat. Cuma memerlukan penggerak yang sanggup berkorban. Semoga perjuangan ini dapat diteruskan hingga ke akhirnya kerana bukan kita yang memulakannya dan bukan pula pengakhirnya tetapi hanyalah penyambungnya.


Catatan:

Assalamualaikum sahabat-sahabat, abang-abang, kakak-kakak, adik-adik sekalian. Kenapa sejarah ringkas ini ditulis dan dilakarkan disini bukanlah untuk mengungkit atau sekadar mengenang masa silam tetapi hanyalah untuk memuhasabah, mengambil iktibar dan pengajaran agar dapat memperbaiki lompang-lompang yang boleh membawa tenggelamnya dan karamnya kapal perjuangan. Mengapa pada saat ini? Ketahuilah wahai sahabat-sahabat sekalian...saat ini sangat sukar bagi sesetengah orang. Tidak mustahil sejarah lama kembali berulang. Walaupun keahlian penggerak semakin ramai tetapi pada hakikatnya penggeraknya hanya segelintir sahaja. Ramainya pergi membawa diri meneruskan perjuangan yang belum selesai. Ya, perjuangan itu tidak akan selesai melainkan tibanya hari qiamat. Buat sahabat-sahabat yang berasa keseorangan, janganlah bersedih kerana bukan kita keseorangan. Tetapi ilmu didada itu teman dan perjuangan itu rakan. Buat sahabat-sahabat yang merasa lemah, ingatlah kita tidak dijadikan melainkan untuk beribadah, menjadi hambah dan khalifahNya. Dan buat semua...renunglah, fikirlah...apa sumbangan kita terhadap gerak kerja dan perjuangan kita. Kukuhkan ukhwah mantapkan gerak kerja. SYAHID ATAU MENANG!


p/s: Sebarang komen atau respon terhadap tulisan ini boleh diutarakan kepada penulis.


Insan yang lemah

Jannah04

Saturday, February 6, 2010

Pusat Operasi PSS

Saya pernah berhasrat menghidupkan dakwah di bumi Sabah dengan mewujudkan puluhan pusat operasi persatuan di serata pelosok negeri dan menjadikannya pusat pembelajaran Al-Quran, Fardhu Ain, membaca dan mengira selain tempat lepak remaja sambil dihiburkan dengan bahan-bahan ilmiah dan bermanfaat. Ideanya mudah, tetapi untuk melaksanakannya agak susah. Yang paling susah ialah untuk mencari penghuni tetap pusat operasi yang mampu mengorbankan kalau pun tidak sepenuhnya masa untuk dakwah, separuh pun jadilah. Saya memasang cita-cita membuka operasi antara lainnya di Kg. Kobuni dan Kg. Kionsom Kecil, Inanam, di Bundu Tuhan, di Kg. Tinuhan, Tuaran selain di Kg. Likas. Semuanya berpijak di bumi nyata. Kerana di semua tempat telah saya kenalpasti tapak yang boleh digunakan dan 'kaki-kaki' yang dapat membantu. Yang membantutkan ialah masalah yang satu itu-tiada tenaga penggerak tetap.

Walaubagaimanapun, sekelumit hasrat saya tercapai bilamana PSS berjaya membuka satu pusat operasi di Kg. Likas sejak awal bulan Februari ini. Setakat ini ia belum dapat dioperasikan sepenuhnya memandangkan ia agak lengang selain bilik yang digunakan untuk menginap. Justeru kami memohon jasa baik pembaca mengisi kekosongan tersebut dengan memberikan sumbangan kelengkapan dan perabot terpakai, atau sekurangnya menjualkannya kepada kami dengan harga berpatutan. Kelengkapan yang diperlukan adalah seperti berikut:

Rak buku untuk Bilik Sumber (Perpustakaan Mini)
Filing cabinet untuk pejabat
Meja pejabat

Meja komputer
Komputer meja (PC) untuk kegunaan pejabat
Kerusi terpakai, dan meja
foldable
Kipas angin (kipas meja/kipas lantai)
Peralatan memasak
Mesin basuh (kegunaan penginap dan pelajar tuisyen)

TV 24" untuk tayangan pendidikan dan sebagai alat bantu mengajar

Lain-lain yang difikirkan sesuai


Kelengkapan akan digunakan untuk memenuhi fungsi pejabat seperti berikut:

1. Pusat operasi dan pengurusan pejabat PSS
2. Bilik mesyuarat PSS dan KRU
3. Kelas tuisyen dengan konsep pusat tuisyen sebagai rumah kedua
4. Tempat rekreasi dan belajar anak-anak tempatan Kg. Likas
5. Kuliah dhuha berkala di dataran pusat operasi
6. Kelas Al-Quran dan Asas Bahasa Arab
7. Restoran gulai kawah setiap hari Jumaat selepas solat Jumaat





Ya ALLAH jadikan pejabat kami tempat berehat para musafir di jalanMu serta tempat berlindung orang susah.

Untuk menyumbang/maklumat lanjut hubungi Nadir-0198110964.


Monday, January 18, 2010

PSS dan Allah

Isu penggunaan nama Allah oleh Kristian bukanlah isu yang baru. Malah, salah seorang Exco Pembangunan Pelajar PSS, saudara Fairuz Bend telah mendahului zamannya apabila menulis berhubung isu tersebut di dalam blog perbandingan agamanya, yang boleh diakses di sini dan sini.

Antara lain beliau memetik ayat Al-Quran daripada Surah At-Taubah, ayat 90 :

“Dan Yahudi berkata bahawa Uzair adalah anak Allah, dan Nasrani pula berkata Isa Al-Masih adalah anak Allah” (Surah At-Taubah 9 : 30)

Ayat tersebut jelas menunjukkan betapa agama-agama samawi telah lama menggunakan perkataan Allah di dalam agama mereka. Di Sabah, isu tersebut menjadi semakin hangat apabila seorang kolumnis terkenal di Sabah, Raymond Tombung mengecam pimpinan yang mahu terus menggunakan perkataan 'Allah' sedangkan tuhan-tuhan Kristian sepatutnya dipanggil dengan nama-nama yang tersendiri. Artikel beliau boleh dibaca di sini. Selain itu, banyak pihak juga bersuara menentang hasrat Presiden Jaksa Pendamai(JP), Datuk Clarence Bongkos Malakun supaya orang Krsitian menggugurkan sahaja penggunaan 'Allah' untuk perpaduan[baca di sini].

Apapun, insiden serangan ke atas beberapa buah gereja di semenanjung, termasuk gereja tertua All Saints di Taiping jelas sekali adalah salah dan bertentangan dengan Islam. PSS sehaluan dengan organisasi Islam lain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan mengecam pihak yang bertanggungjawab mengeruhkan keadaan di dalam negara.

Justeru PSS, yang telah lama mendekati masyarakat samada masyarakat Islam atau Kristian di Sabah melalui pelbagai kegiatan kebajikan dan pembangunan masyarakat, berbesar hati menjadi orang tengah menghubung dan mendamaikan kedua-dua pihak dan menyampaikan penjelasan akan pendirian Islam berhubung isu tersebut. Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) akan mengadakan forum bagi menerangkan isu tersebut dalam masa terdekat, insyaAllah.

Monday, January 4, 2010

Kempen 'Memburu Ilmu Dengan Baju Baru PSS'

Dilancarkan dengan kerjasama Ikatan Sahabat EKSAH UMS (ISEUMS) sebermula cuti sekolah yang lalu, PSS telah berjaya menyampaikan sumbangan baju baru dan peralatan sekolah kepada sekitar 50 orang pelajar daripada kalangan anak yatim, fakir dan muallaf bersempena dengan sesi baru persekolahan yang bermula hari ini. Berikut sebahagian gambar yang sempat dirakamkan;

Dr. Umar yang membantu melayan kerenah anak-anak ini
sebagai suatu bentuk latihan 'parenting'

Yeaaaa! Dapat baju baru...! Sebahagian anak-anak ini yang kini berada di sekolah rendah tidak pernah pergi ke pekan sejak dilahirkan. Mereka mengalami kejutan budaya khususnya bila menaiki 'escalator'..."Uih,gerak sendiri owh!"

Majlis perpisahan pelajar sekolah yang diadakan di Kg. Binuwou Tengah, Sook turut dihadiri wakil PSS yang menyampaikan sumbangan dan nasihat. Tahniah Ketua Kampung dan JKKK Kg Binuwou Tengah.

Dua beradik mencuba baju baru yang dibawa ke rumah mereka di Sook.

Kempen akan diteruskan sehingga hujung bulan Januari. PSS mengalukan sebarang bentuk sumbangan dan menghargai usaha individu untuk melakukan pungutan di tempat kerja, belajar etc. Semoaga Allah membalas segalanya.




Sekitar Program Kerjasama PSS

1. Ziarah Saudara Kita di Kg. Tambalaong

Kisahnya bermula apabila Aufia (18 tahun) dari Kg Tambalaong Tuaran memeluk Islam pada hari raya Eidul Fitri lalu. Saya dijemput oleh Ust Rafihi di rumahnya di Tuaran untuk majlis pengislaman itu.

Pada 26 Dis. lalu, Ust Rafihi sekali lagi menjemput saya, tetapi saya berhalangan kerana bercuti di kampung. Beberapa ahli keluarga Aufia pula seramai 5 orang memeluk Islam. Antaranya ialah makciknya dan saudara maranya yang lain.

Kebetulan, sebelum itu JAKIM Sabah ada mencadangkan kepada Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah untuk menghoskan satu program ziarah sempena tahun baru 2010.

Sebagaimana 1 Januari 2009, kami berziarah ke Kiulu. Satu Januari 2010, kami memutuskan untuk ke Kg Tambalaong menziarahi saudara kita di sana, termasuk yang baru memeluk Islam seminggu sebelumnya.

Kg Tambalaong, masuknya melalui jalan Kg Kauluan, melalui kawasan Pusat Khidmat Latihan Negara (PLKN); kami dengan sejumlah 6 buah kenderaan bertemu di sana sekitar jam 10.30 pagi.

Selain JAKIM Sabah diketuai oleh Ust Shamsuri dan orang-orang kuatnya, turut serta aktivis-aktivis daripada Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) selain PUM Sabah sendiri.

Baca selanjutnya di sini.

2. Sumbangan 'Graviti Water Supply Pump' di Kg. Mustika, Sook

Pada hari Ahad (3hb Januari) baru-baru ini saya dan rombongan Yayasan Amal Malaysia cawangan Sabah telah berkesempatan ke Keningau bagi menyempurnakan majlis penyerahan 'gravity water supply' kepada sebuah kampung di daerah Sook. Sepenuh kesyukuran saya panjatkan kepada Allah s.w.t kerana diberi peluang kepada saya untuk menyempurnakan apa yang telah dirancang sebelum ini. Untuk makluman para pembaca, duit bagi menyiapkan 'gravity water supply' ini merupakan sumbangan dan hasil dari kutipan jamuan Makan Malam Amal yang diadakan pada bulan Julai tempoh hari (rujuk disini).


Majlis diadakan di sebuah bangsal yang dibuat sendiri oleh masyarakat yang juga dijadikan kelas KAFA.

Kg. Mustika, Sook merupakan kampung pilihan pertama untuk projek ini. Kampung yang terdiri daripada 20 keluarga ini hanya bergantung semata-mata dengan sumber air hujan. Mereka terpaksa meredah perjalanan berkilometer untuk mencari sumber air sekiranya hujan tidak turun lebih dari seminggu. Keperitan ini diluahkan oleh ketua kampung mereka iaitu Ust Sufian Abdullah, yang menyatakan bahawa sejak kampung ini dibuka dengan rasmi pada tahun 2003 dan sebenarnya telah diterokai dari tahun 70an lagi, tidak pernah mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau NGO yang hadir mendengar rintihan dan keluhan mereka.

Baca selanjutnya di sini.

Friday, December 25, 2009

KRU KM ; Islam di Hatiku

KRU KM bersama barisan fasilitator

Kota Marudu mempunyai 13 masjid dan 32 surau berbanding 90 gereja, belum di ambil kira masjid dan surau yang berfungsi atau mati. Islam menyusup masuk ke pelusuk desa dan pedalaman, tidak sempat melekat roh dan izzahnya sebelum direnjat semula oleh kelompok sebelah sana. Gemilang sejarah perjuangan Shariff Osman sekitar tahun 1900 membebaskan 'Bandau' dari cengkaman penjajah tidak diwarisi semangatnya oleh penduduk Islam tempatan. Hanya di sini-sana, kedengaran kisah-kisah tokoh yang berhempas-pulas di tempat sendiri memastikan Islam terus mendapat tempat biarpun yang menjadi inspirasi hanyalah pahala yang tidak kelihatan oleh mata kasar insani.

Keadaan tersebut akan berubah. Dan masanya bukan esok atau lusa, jauh sekali tahun hadapan atau seabad yang akan datang. Masanya ialah sekarang, hari ini. 2 hari berkampung di Kota Marudu ditemani oleh pejuang-pejuang dari kalangan anak muda, PSS berjaya menubuhkan Kelab Remaja Ukhuwwah Kota Marudu (KRUKM) generasi yang pertama. Mereka menanam keazaman seteguh berdirinya kota pertahanan Shariff Osman, bahawa Islam akan kembali dipasakkan id ginawo tulun-tulun Kota Marudu ngawi, insyaAllah!

Murabbi dua zaman - Ustaz Abdul Mutalib dan Saudara Zulhilmey Makmud

Ziarah ukhwah oleh peserta muslimat


Ziarah ke rumah muallaf yang cacat penglihatan

Friday, December 18, 2009

KRU Kundasang - Alasu Mengganti Lesu

Semangat tanganak Kg. Himbaan

15-16 Disember lepas mengukir kenangan terindah sepanjang berdakwah mendekati masyarakat Dusun, apabila lemah-lembut dan baik budi mereka diadun dengan semangat pahlawan yang sedia menyusur urat nadi untuk menggantikan sogit dakwah di bumi Kundasang dengan kealasuan cahaya Islam. Program bertumpu 'Islam Id Ginawo 09' yang dilaksanakan di Masjid Kundasang seusai menziarahi adik-adik yang bersunat di Rumah Putera Harapan, Ranau dan mengajar penduduk Kg. Himbaan di Bundu Tuhan membelek Bible berjaya melahirkan sekumpulan tanganak wagu sebagai penggerak saf hadapan memulakan aksi di bumi Kundasang.

Dalam masa sehari semalam, dibekali dengan keperluan dakwah dan dihalakan ke arah matlamat yang betul, serta diterjunkan ke lapangan sebenar dakwah, anak-anak muda ini menanamkan tekad menghapuskan logop (kaki botol) sedaya mungkin, menyantuni golongan fakir dan yatim, selain mengatasi masalah generasi muda yang kada ma'an (tiada kerja/menganggur) dan direncam oleh 1001 budaya kuning lain.

Berdoa sebelum turun ke lapangan

Menyampaikan sumbangan dan tazkirah kepada yang memerlukan

Mempromosi Istak sebagai alternatif muntokou di pekan Kundasang.
Hasilnya 4 kedai bersetuju menjual Istak sebagai alternatif arak.

Hasil perbincangan - masalah dan cara penyelesaian

Dengan semangat Maal Hijrah lahirnya KRU Kundasang, yang diberi julukan Kesatria Dakwah 01 (KD 01), untuk bersama-sama dengan ketumbukan remaja yang sedar di tempat-tempat lain, menjunjung Islam dan memimpin hari esok.

Selamat maju jaya, wahai kesatria!

Monday, December 14, 2009

Konsert Tour De Tahfiz Nazrey

Insya' Allah sepanjang bulan Disember dan masa terdekat ini PSS menganjurkan Konsert Tour De Tahfiz Nazrey Johani di semua kawasan-kawasan sekitar Sabah. Konsert ini bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membangunkan pusat tahfiz di Ranau.
Bagi yang belum menjumpai kotak dana bolehlah mencarinya di tempat-tempat berlangsungnya konsert ini atau terus berhubung dengan AJK pelaksana atau terus mem bank in ke akaun PSS.Semoga usaha murni yang ikhlas semata kerana Allah ini memberi kesedaran kepada masyarakat dan mendapat ganjaran disisiNya. Insya' Allah...

Monday, December 7, 2009

Ratusan Dapat Manfaat Kempen Beras PSS

Sejak sebulan Kempen 1 Keluarga 1 Kampit Beras PSS dilancarkan, ratusan individu kurang berkemampuan, golongan muallaf dan fakir miskin telah mendapat manfaat daripadanya. Program kemuncak Korban Sayang telah dilaksanakan meliputi daerah daerah Tambunan, Keningau dan Ranau sepanjang Hari Raya Aidil Adha selain sumbangan awal beras di kawasan Kota Kinabalu, Inanam dan Tuaran,

Keluarga Afendi Raihan di Kg. Log Poring, Sepanggar

Keluarga Azmi 13 beradik di Kg. Poring-Poring, Inanam

4 Keluarga Muallaf di Kg. Monsok, Tambunan

Keluarga Rizi di Kg. Binuwou Tengah, Sook

Keluarga Biah di Kg. Kemburongoh, Ranau


Sempat bertemu adik-adik di Rumah Putera Harapan, Ranau

Terima kasih kepada semua penyumbang dan penggerak persatuan. Selagi kalian semua ada untuk mereka sentiasa ada pelangi pada esok hari. Semoga kalian dimurahkan rezeki dan hidup kalian diberkati. Amin.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons