PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Monday, May 17, 2010

Sayonara, Jijul..

Penulis mengenali Saudara Azizul Julirin sejak diperkenalkan oleh Saudara Burhanuddin di Masjid UMS. Ketika itu dia diperkenalkan kepada penulis sebagai bekas Pengerusi Surau Al-Irfa'an Kolej Matrikulasi Labuan; posisi yang turun-temurun dipegang oleh pimpinan yang hebat dan berwawasan. Ketika itu penulis bersungguh-sungguh memujuknya mengikuti kursus Sains Marin, berbanding kursus Akuakultur yang menjadi idamannya. Tetapi pendirian beliau sukar dilunturkan. Tekad menjadi Tokei Ikan Bertaqwa (ToIB) dipasang sejak awal, justeru perjalanan hidup telah sedia diatur langkah demi langkah.

Azizul menjadi Setiausaha Kerja kepada penulis ketika dilantik sebagai Pengerusi Ikatan Sahabat EKSAH (ISEUMS) yang pertama. Kekuatannya ialah memotivasikan mereka yang berada di sekelilingnya, khususnya melalui perkongsian daripada hasil bacaan di laman SaifulIslam.Com, yang menjadi salah seoarang role modelnya. Kemudiannya Azizul meneruskan langkah kepimpinan sebagai Exco Kepimpinan dan Latihan MPP sesi 2009/2010, dan berjaya melakukan beberapa perubahan yang agak drastik khususnya di dalam cara pengendalian Minggu Suai Mesra (MSM), di mana beliau menjadi Ketua Pengarahnya. Disiplin masa membolehkan Azizul bukan sahaja diiktiraf sebagai salah seoarang ahli MPP yang terampil di zamannya, malah pada masa sama beliau banyak menyumbang dalam agenda pembangunan dakwah di UMS khususnya, dan Sabah amnya melalui penglibatan dengan Kelab Remaja Ukhuwwah dan Persatuan Siswazah Sabah.

13hb Mei yang lepas, Azizul berlepas ke Osaka bagi menjalani Latihan Industri selama 3 bulan; suatu pencapaian yang hampir mustahil bila ditimbang-timbang tahap kesibukannya. Apapun, ia mengukuhkan nilai yang penulis amati pada Azizul-'kalau aku kata ya, maka aku pasti akan mendapatkannya!'

Jijul di lapangan terbang sebelum berlepas ke Osaka, Jepun.

Semoga Jijul selamat pulang ke tanahair. Kami menantimu..

(Azizul Julirin ialah salah seorang pemantau KRUKK dan ahli think tank PSS)

Monday, April 26, 2010

Pelancaran Kempen Penggerak Tabung Harapan



PSS mengambil peluang melancarkan Kempen Penggerak Tabung Harapan kepada khalayak ahli-ahli baru KRU Tuaran yang mengikuti Kem Remaja Islam Tuaran pada 23-25 April 2010 yang lepas. Tabung Harapan yang membiayai persekolahan beberapa individu, membantu golongan miskin dan muallaf selain digunakan untuk menjalankan program kebajikan seperti Lawatan Kasih ke Hospital dan Kempen Satu Keluarga Satu Kampit Beras, sebelumnya hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai. Selepas ini, dengan pertambahan lebih kurang 80 Penggerak Tabung Harapan yang mendaftar di KRIS Tuaran, diharapkan usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh PSS khususnya untuk membantu ahlinya sendiri semakin maju.

Tabung yang diedarkan dengan sumbangan mula RM1, beroperasi dalam bentuk simpanan wang lebihan penggerak tabung dan ahli keluarga. Setiap kali mengikuti program qiamullail bulanan, penggerak akan membawa tabung untuk diserahkan hasil kutipannya kepada ahli PSS atau KRU yang terlibat. Walaupun Tabung Harapan dikendalikan di peringkat pusat, ahli-ahli PSS dan KRU digalakkan untuk memohon sumbangan bagi menyelesaikan kes-kes kemiskinan khususnya yang mengancam aqidah di tempat masing-masing. Penyelaras PSS dan KRU di setiap kawasan diminta melancarkan Kempen Penggerak Tabung Harapan di tempat masing-masing ketika KRIS dijalankan. Kempen akan mempertandingkan:

1. Jumlah penggerak paling ramai (kategori kawasan)
2. Jumlah kutipan bulanan paling banyak (kategori kawasan)
3. Jumlah kutipan bulanan paling banyak (kategori individu)

Setakat ini Tabung Harapan membiayai persekolahan dan kehidupan beberapa orang muallaf di daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Tambunan dan Sepanggar.

Untuk maklumat lanjut hubungi Timbalan Presiden PSS di 0198110964.

Monday, April 19, 2010

Afiq dan Afieqah

Selesai program Study Group dan Sambutan Hari Lahir KRU Penampang (KRUP), PSS meneruskan perjalanan menziarahi keluarga adik Afiq dan Afieqah di Kampung Kivatu. Ziarah tersebut adalah hasrat Cikgu Jamil, bekas setiausaha Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Urusetia Sabah yang pernah menguruskan kes keluarga Afiq. Turut serta ialah beberapa orang ahli KRUP, wakil Jawatankuasa KRU KK, Saudara Hannafi Muktah dan Haji Ahmad, orang lama Kampung Kivatu yang banyak membantu menghubungkan keluarga Afiq dengan pihak PUM sebelumnya. Adik Afiq tinggal bersama ibu, adik perempuan, datuk serta neneknya sejak ibunya diceraikan oleh bapa beliau pada tahun 2002. Ibunya, Puan Ruzana Abdullah@Rowena Chin, berbangsa Sino Kadazan, memeluk Islam sejak tahun 1996 apabila berkahwin dengan suaminya, seorang Muslim berbangsa Brunei.

Ahli KRU Penampang yang baru pertama kali dibawa menyelami
susah-payah kehidupan masyarakat di sekeliling mereka.

Tindakan suaminya melepaskan tanggungjawab memberikan nafkah kepada keluarga menyebabkan Puan Ruzana mengambil keputusan bekerja bagi menyara Afiq dan adiknya Afieqah, sehinggalah beliau disahkan menghidap penyakit Giant Cell Tumor pada tahun 2004. Pada tahun sama, beliau terpaksa diterbangkan ke Kuching bagi menjalani pembedahan di kaki kiri, sebelum kaki kirinya dipotong pada tahun 2006 kerana gagal diselamatkan.

Kini Puan Ruzana dan dua anaknya tinggal bersama-sama ibu dan bapanya yang beragama Kristian, dan bergantung kepada keduanya untuk menyara kehidupan mereka bertiga. Kedua ibubapanya yang telah uzur membanting tulang empat kerat mencari rezeki bagi memastikan mereka mendapat sesuap nasi setiap hari. Bekas suaminya yang dipercayai berada di Labuan, tidak dapat dihubungi sehingga kini. Dalam pertemuan ringkas tersebut, PSS sempat menyampaikan sedikit sumbangan untuk keluarga Puan Ruzana. Lebih mengharukan, Puan Ruzana sempat meluahkan hasrat supaya Afiq dan Afiqah dibawa mengikuti program keagamaan yang dianjurkan PSS, selain diajarkan cara solat dan membaca Al-Quran.

Puan Ruzana, Afiq dan Afiqah menerima sedikit sumbangan
yang disampaikan Saudara Hannafi Muktah.

Nenek Afiq (paling kanan) tumpang gembira dengan sumbangan yang disampaikan.
Beliau yang kini terpaksa bekerja menyara mereka semua.
"Ini anak bongsu saya," ujar beliau tidak mahu melepaskan tangan Saudara Hannafi.

Ini adalah kes kedua seumpamanya diuruskan PSS, di mana lelaki Muslim yang tidak bertanggungjawab mengambil isteri daripada kalangan non-Muslim, dibawa menganut Islam tetapi ditinggalkan di pertengahan jalan tanpa bimbingan dan rasa bersalah. PSS mendoakan supaya golongan ini dibuka pintu hatinya untuk kembali bertaubat, sebelum menemui pengadilan dan azab Allah di hari akhirat kelak. PSS mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan untuk keluarga Afiq dan ibunya yang sedang mencari biaya untuk kaki palsu berharga RM20,000.oo, dan mendoakan agar Puan Ruzana sekeluarga kekal di dalam agama Islam walaupun terpaksa bergantung harap kepada ahli keluarga yang belum beragama Islam , dan hidup dalam suasana bukan Islam demi meneruskan kehidupan.

Saturday, April 17, 2010

Risalah : Tips Study Last Minute



Wednesday, April 14, 2010

'Kg. Bakau - Sejarah Kg. Suluk Berulang Lagi'

Penulis bersama-sama beberapa orang rakan pernah turun menyantuni masyarakat Kg. Suluk di Likas kira-kira dua tahun dahulu apabila rumah mereka dirobohkan. Ketika itu penulis menjadi Exco Kerohanian dan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar UMS, sekaligus Pengerusi Ikatan Sahabat EKSAH UMS. Asalnya tinjauan yang dilakukan bertujuan untuk bertemu orang kampung dan bertanyakan khabar mereka, memandangkan 'kemusnahan' secara tiba-tiba terhadap tempat tinggal mereka dapat dilihat dengan jelas bilamana penulis melepasi bulatan Yayasan Sabah ke Kota Kinabalu. Tetapi apabila melihat keadaan penduduk yang terbiar, dan tiada pilihan selain bertahan di balik runtuhan rumah masing-masing untuk berlindung daripada panas dan hujan, penulis tidak sampai hati membiarkan mereka bersendirian. Justeru meskipun tanpa restu pihak universiti yang bimbangkan keselamatan kami, bantuan dan sumbangan dikumpulkan melalui semua saluran yang ada, dan syukur alhamdulillah, penduduk di sana sekurang-kurangnya mendapat bekalan makanan dan pakaian untuk beberapa hari.

Sejarah Kg. Suluk berulang lagi. Sejak 12hb April 2010, perobohan rumah penduduk bermula pula di Kg. Bakau. Penulis difahamkan tujuannya ialah untuk menghapuskan perumahan setinggan PTI dan imej kampung tersebut yang kotor, tetapi pelik bunyinya kerana majoriti penduduk merupakan pengundi berdaftar, dan merupakan pengundi tegar BN. Lebih pelik lagi, kampung tersebut pernah memenangi pertandingan Kampung Terbersih anjuran DBKK sendiri sebanyak beberapa kali. Maka barangkali benar apa yang dikatakan seorang pemimpin masyarakat tempatan, bahawa keadaan kampung sekarang berpunca daripada pihak kerajaan , yang dengan tindakan mereka mengancam sejak dahulu untuk merobohkan kawasan tersebut, menyebabkan penduduk mahu tidak mahu menjaga keselesaan dan kecantikan tempat mereka sendiri.

Apapun isunya, penulis tegas berpendapat tidak ada manusia yang layak dibiarkan hidup bergelandangan. Tidak ada kanak-kanak yang sepatutnya terpaksa berteduh dibawah runtuhan rumah sendiri. Tidak ada perut yang boleh dibiarkan berlapar semata-mata kerana dapur mereka telah diranapkan. Penduduk Kg. Bakau tidak diberikan pampasan, dan rumah sewa yang ditawarkan kepada mereka di Telipok Ria, walaupun sudah dibayar sewa dan kos membaiki kerosakan, rata-ratanya tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Malah, tandas di rumah flat kos murah itu bocor di tingkat sebelah atas, menyebabkan apabila jiran membuang air besar, penghuni di bawah terpaksa menadah hasilnya!

Beberapa penduduk yang sempat ditemubual mengakui kecewa dengan sikap kerajaan yang menghalalkan cara dan membelakangkan perikemanusiaan untuk mencapai matlamat, termasuklah Adun Karambunai, Datuk Jainab Ahmad yang hanya menabur janji manis tetapi langsung tidak kelihatan sepanjang operasi perobohan. Mereka mengakui diri mereka hanyalah semut-semut yang tidak mampu bangkit melawan 'kegajahan' kerajaan.

Malangnya buat pihak yang berkuasa, bukan semua rakyat berasa kecut dan rendah diri untuk berhadapan dengan pihak kerajaan. PSS bersama rakan-rakan NGO akan terus tetap membela nasib marhaen yang terhimpit, dan menyeru pihak lain mengambil tindakan sewajarnya bagi menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang tertindas. PSS mengalu-alukan sebarang bantuan dalam bentuk kewangan dan lain-lain bagi meringankan beban penduduk Kg. Bakau.

Keadaan Kg. Bakau yang dirobohkan.

Adik Ian, salah seorang mangsa perobohan yang sudah tidak nampak
halatuju masa depannya. Sebelum ini dia mengikuti kelas Al-Quran di bawah PSS.

Penduduk kampung hanya mampu berteleku memikirkan hari esok.

Masjid Nurul Huda di Kg. Bakau, tidak lama lagi hanya akan tinggal kenangan.

Ibu tua ini mengadu nasib 6 orang anak-anaknya yang masih bersekolah,
selain anak bongsu berusia 9 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Anggota RELA yang tidak bersalah. "Kami hanya menurut arahan."

Sumbangan anda sangat diperlukan. Salurkan ke akaun :

Bank Islam PSS - 10016010043186
CIMB Timb. Presiden PSS - 12180099132527

Penulis ialah Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah.

Sunday, April 11, 2010

Jom Dakwah SMK DPM Buka Hati Remaja

Program ringkas Jom Dakwah yang dirancang kepimpinan KRU Penampang yang baru sehari dua dilantik berjaya menggugah rasa dan menghidupkan semangat berdakwah bermula dengan diri sendiri di kalangan pelajar asrama SMK Datuk Peter Mojuntin yang menjadi peserta semalam. Melalui tiga slot utama, iaitu Slot Pengembaraan Alam Maya dan Tujuan Kehidupan, Slot Tangisan Taubat Daie dan Slot Praktikal: Kenapa Dakwah yang masing-masing dikelola oleh Saudara Nadir, Saudara Amin dan Saudara Fadlan dari PSS Kota Kinabalu menyedarkan peserta betapa kehidupan yang mereka lalui punya matlamat dan sasaran halatuju, yakni sebagai hamba dan khalifah seluruh alam.



Program lebih bermakana apabila melibatkan hampir 15 orang peserta kurang upaya (deaf) yang walaupun hanya memahami apa yang dikatakan melalui penterjemah, berjaya menyelami hasrat penyampaian pada malam tersebut. Malah, mereka bersungguh-sungguh menyanyikan lagu tema 'Menuju Wawasan' di hujung program dengan menggunakan bahasa isyarat.

DPM seolah-olah telah menjadi rumah kedua PSS. Seminggu 3 kali kami berprogram di sana. Tahniah DPM, tahniah KRU Penampang!



Thursday, March 25, 2010

PSS-KRU di Facebook


Jom bersama PSS-KRU di Facebook. Medan berkongsi informasi, maklumat program, berkongsi pengalaman bergerakeja dan meningkatkan amal. Ayuh kita ramaikannya!

Klik di [sini] atau layari laman Siswazabah Ukhuwwah di Facebook.

Monday, March 22, 2010

PSS Scores A Hat-trick

PSS berjaya menjaringkan hat-trick pada cuti sekolah yang lepas apabila berjaya menganjurkan tiga program secar berturut-turut. Program pertama melibatkan penglibatan ahli-ahli KRU dan PSS dalam program Perkhemahan Amal anjuran Yayasan Amal selama tiga hari di Kampung Indarason Laut, Kudat. Program yang berlangsung pad 12-14 Mac 2010 melatih peserta dengan skil survival, selain mendampingi masyarakat melalui program anak angkat dan mengeratkan ukhuwwah dalm perlawanan-perlawanan persahabatan, antaranya perlawanan menyumpit,tarik tali dan bola sepak.

Kumpulan 2 muncul sebagi kumpulan paling bersemangat.

Kegigihan PSS membentuk golongan muda diteruskan dengan Kem Induksi Pelajar 2010, yang diadakan pada 15-16 Mac di tapak kem tradisi PSS di Kampung Kobuni, Inanam. Peserta yang terlibat merangkumi bakal-bakal pelajar tuisyen PSS, pelajar-pelajar kelas Al-Quran PSS dan penduduk Kampung Kobuni dan sekitar.


Marathon program tersebut diakhiri dengan Bengkel Wakil Rakyat yang dianjurkan bagi melatih ahli-ahli elit KRU membiasakan diri dengan kemampuan berpidato, melakukan survey ke atas penduduk selain menguasai kelompok madhu'u yang didampingi. Peserta turut didedahkan dengan isu-isu besar negeri Sabah seperti isu PTI, isu kemiskinan di Sabah dan isu street kids, selain beberapa isu lain bagi melahirkan ahli yang mampu berfungsi dengan kompeten dan efektif sebagai ahli masyarakat.

PSS merakamkan jutaan penghargan kepada semua pihak yang menjayakan ketiga-tiga program, khususnya adik-adik KRU Penampang yang gigih bekerjasama dalam 2/3 daripada program yang dianjurkan.

Tahniah PSS atas jaringan tiga gol berturut-turut!

p/s: Penulis masih di dalam mood bersyukur setelah menyaksikan kemenangan 2-1 Man U ke atas Liverpool. Gambar lain menyusul.

Thursday, March 18, 2010

PSS Pandang Serius Isu Belia Terpinggir

Mutakhir ini rakyat Sabah dikejutkan dengan laporan akhbar tempatan dan nasional berhubung isu belia Sabah yang mencari rezeki di bumi Semenanjung tetapi terkandas di sana tanpa arah tuju. Fenomena yang jelasnya telah berlaku sekian lama ini, biarpun baru timbul, menjadi suatu indikator yang sangat tidak baik terhadap peluang mencari kehidupan dan berdikari di tempat sendiri. Malah ia menjadi semakin kritikal apabila NGO dan pihak bertanggungjawab yang membuat tinjauan mendapati bahawa para belia ini hanya mampu berteduh di kaki-kaki lima dan mendapat sumber makanan harian daripada ihsan gereja.

Mengulas isu tersebut, Saudara Roslan Azhari, Exco Pembangunan Siswazah PSS ketika dihubungi berkata, kerajaan seharusnya mengambil langkah drastik mengkaji pokok pangkal masalah seterusnya mencantas masalah tersebut dari akar umbi. "Penghijrahan penduduk Sabah menjadi bukti betapa belia-belia ini terhimpit samada oleh hak asasi buruh yang tidak terjaga, gaji yang terlalu minimal berbanding kerahan tenaga dan peluang pekerjaan yang tipis," ujar beliau. Saudara Roslan seterusnya menggesa pihak kerajaan negeri supaya mewujudkan suatu 'task force' bagi membincang dan menyelesaikan isu ini untuk jangka masa panjang.

Dalam suatu perkembangan lain, Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Timbalan Presiden PSS meluahkan rasa kecewanya terhadap isu penindasan hak oleh majikan khususnya terhadap pekerja Muslim. "Kita sudah menerima terlalu banyak laporan berhubung isu pekerja yang tidak diberikan hak untuk melaksanakan solat fardhu khususnya Solat Jumaat, malah sebahagian mereka tidak dibenarkan untuk menutup aurat. Isu-isu ini turut melibatkan pasaraya besar seperti G-Mart di Tuaran. Kita sedang melakukan kajian yang lebih mendalam terhadap isu ini dan dengan fakta yang lengkap, kita akan serahkan memorandum kepada pentadbiran kerajaan negeri dan memastikan supaya tindakan diambil."

PSS meyakini bahawa isu-isu ini sedang diberikan prioriti oleh kabinet kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Panglima Musa Aman, dan jika sebaliknya, akan memastikan supaya isu ini diangkat. PSS juga membuka ruang perbincangan dan komentar kepada ahli masyarakat dan badan-badan yang prihatin supaya komplikasi ini dapat diselesaikan secara bersama.

Wednesday, March 17, 2010

Jom bersama-sama memeriahkan lagi PROGRAM MENYERU MUSLIMIN. Butirannya seperti berikut :




Tempat : Masjid An Nur, Tuaran
Masa : 1.30 ptg hingga 5 ptg
Tarikh : 19 hb mac 2010 (jumaat ni)



Tentatif program :
1.30 ptg = Usrah (majlis ilmu)
2.45 ptg = Meeting
3.35 ptg = Solat asar/al-mathurat
4.15 ptg = Liga Futsal
5.00 ptg =Minum petang


Penyertaan dibuat secara terbuka (kehadiran ahli2 KRU dan PSS amat dialu2kan bagi setiap kawasan). Jadi tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang ini..!!!

Friday, March 12, 2010

KRIS Penampang Pembuka Tirai

Kem Remaja Islam Penampang (KRIS Penampang) pada tahun ini merupakan KRIS 'pembuka tirai' mendahului KRIS yang akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain oleh Persatuan Siswazah Sabah sepanjang tahun ini. Dengan penglibatan seramai hampir 80 orang pelajar SMK Datuk Peter Mojuntin, 12 orang fasilitator dari pihak persatuan dan komitmen penuh beberapa orang guru, khususnya Cikgu Safina Bulkin, ia dijalankan secara santai dan 'back to the basics'. Lebih menarik, program yang diadakan tanggal 5-7 Mac ini dikatakan sebagai program Islamik pertama yang dianjurkan secara full force di sekolah tersebut.

Sesi taklimat program dan penginapan peserta.

Mungkin ada sesuatu yang sangat lucu disampaikan oleh pengkhutbah ini - Saudara Herman -sehingga dia sendiri tergelak besar. Mujur bukan di atas mimbar.

Pengalaman berharga turut diperolehi oleh barisan fasilitator bilamana kem tersebut mencipta sejarah, dengan penglibatan kira-kira 10 orang pelajar pekak dan bisu. Dengan bantuan penterjemah, segala isi penting program dapat disampaikan dengan baik, selain usaha sungguh-sungguh fasilitator 'mencuba-cuba' bahasa isyarat buatan sendiri.

Sebahagian pelajar pekak dan bisu yang menyertai program. Biar telinga tidak mendengar, tetapi hati sentiasa peka. Semangat mereka cekal, keazaman mereka kental.

Hanan a.k.a Genji - peserta nakal yang didenda menggayakan cara superman terbang.

Modul 'Makan Suap Kawan' memupuk kemesraan.

Yang paling penting, nyata sekali bahawa paradigma awal yang dilontarkan kepada kami bahawa para peserta ini sukar dibentuk sama sekali tidak benar. Malah, sepanjang pengalaman persatuan membangunkan remaja, kelompok pelajar inilah antara yang paling seronok dibentuk.

Modul 'Kapal Tenggelam'. All for One, One for All!

Selain pengisian biasa berhubung aqidah, ibadah dan akhlaq, KRIS pada kali ini buat julung-julung kalinya memasukkan slot comparative religion atau perbandingan agama dengan menggunakan modul yang telah dibentuk oleh Persatuan Ulama Malaysia Urusetia Sabah (PUM Urusetia Sabah). KRU Penampang turut dibentuk dengan pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.

Percaya atau tidak, pasukan futsal lelaki terbaik SMK DPM - sekolah sukan negeri dan sekolah kluster kecemerlangan tewas dalam perlawanan persahabatan futsal menentang pasukan fasilitator lelaki! Kami tidak bisa kecundang! ('',)

KRIS Penampang ditutup dengan perarakan maulidurrasul dan ceramah yang disampaikan oleh Ketua Fasilitator, Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. Puan Pengetua merasmikan penutupan, dan memberi respon positif terhadap program, selain memberikan keyakinan bahawa program-program sepertinya akan dipertingkatkan dengan bantuan kerjasama PSS.

Tahniah guru-guru, pelaksana, para fasilitator dan adik-adik KRU Penampang! Kami menanti masa dipanggil untuk kembali! Up, Up DPM!!

Laporan KRIS Penampang juga boleh dilihat di [laman blog SMK DPM].

Iklaneka : Kem Anak Soleh Taman Kuala Menggatal

Kem Anak Soleh Taman Kuala Menggatal akan diadakan pada 13 – 14 Mac 2010 di Surau Al-Ikhwan, Taman Kuala Menggatal. Semua ahli KRU dan PSS dijemput memeriahkannya bersama remaja setempat. Tentatif program adalah seperti berikut;


13 Mac 2010 ( Sabtu )

6.30 petang :

Solat Maghrib

Pendaftaran

Kuliah Maghrib

Solat Isya’


8.00 malam :

Makan malam

Pembahagian Kumpulan

Sesi Suaikenal (Modul : Ku Mengenalimu Lebih Daripada Yang Kau Tahu)

Latihan Dai’e Kecil 1 – ‘Kami Terhebat!’


8.45 malam :

Perkongsian 1 – ‘5 Cinta’


9.30 malam :

Slot Muhasabah – ‘Mencari Jalan Pulang’


10.30 malam :

Taklimat Adab-Adab Tidur

Bahtera Mimpi



14 Mac 2010 ( Ahad )


3.30 pagi :

Qiamullail dan Zikir Munajat


5.00 pagi :

Solat Subuh

Kuliah Subuh


6.00 pagi :

Riadah (Modul : Ukhwah Islamiyyah)

Senaman / Jogging Zikir


7.15 pagi :

Sarapan Pagi dan Khidmat Diri


8.00 pagi :

Perkongsian 2 – ‘Remaja Hari Ini’

Latihan Dai’e Kecil 2 - ‘Graf Kehidupan’


10.00 pagi :

Minum Pagi


10.30 pagi :

Perkongsian 3 – ‘Cemerlang Dengan Islam’


12.00 tengahari :

Solat Zuhur

Makan Tengahari dan Bersurai


Untuk maklumat lanjut hubungi Syafiq - 0148750783

Thursday, March 11, 2010

Program Cuti Sekolah PSS-KRU

1. Program Kem Induksi Pelajar 2010 (KIP 2010)

Tarikh : 15-16 Mac 2010
Tempat : Kampung Kobuni, Inanam
Penyertaan : Terbuka
Pengisian : Ceramah Kecemerlangan, Explorace, Kembara Kionsom, Barbeku dll
Yuran : RM15 sahaja

Download borang online atau hubungi 0198110964

2. Bengkel Wakil Rakyat

Tarikh : 17-19 Mac 2010
Penyertaan : Tertutup
Pengisian : Kemahiran Berucap, Kemahiran Pengurusan Organisasi, Pengenalan Asas
Undang-Undang, Pengenalan Struktur Pentadbiran Kerajaan Negeri, Slot Bersama
Rakyat dll
PIC : Saudara Nadir Al-Nuri

3. Mesyuarat Agung PSS

Tarikh : 20 Mac 2010
Penyertaan : Terbuka
PIC : Saudara Renifezri Mohd


Sebarang maklumat / pendaftaran hubungi 0198110964 atau PIC program. Syukran.

Saturday, February 27, 2010

Aura Maulidur Rasul

Salam Rabiu'l Awal 1431H buat semua. AlhamduliLlah,Aura Maulidur Rasul diizinkan dipaparkan untuk renungan semua. Kemungkinan agak terlewat dengan tarikh 12 Rabi'ul Awal, namun tidak sesekali terlewat untuk bercerita tentang Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Lahirnya Nabi Muhammad , Mengenalkan kita akan lahirnya syariat Allah
Wafatnya Baginda , Menandakan telah sempurnanya Syariat dan Agama Allah

Menyinggah di minda, terngiang di telinga, berlegar di benak fikiran kuliah Maghrib yang disampaikan Oleh Ustaz Farid Ravi di Masjid Bandaraya pada malam menjelangnya 12 Rabi'ul Awal. Betapa besarnya amanah yang dipikul Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan Risalah Allah. Bermula dengan mengajak manusia agar meninggalkan menyembah Tuhan selain daripada Allah, Nabi mengajar kita Al-Quran, Nabi juga mengajar kita akan kebijaksanaan. Nabi juga turut serta dalam peperangan. Hati Nabi sedih bila dilontar dengan batu dan najis. Hati Nabi sayu dengan fitnah dan cercaan. Tetapi Nabi tidak pernah putus asa untuk MENDIDIK manusia. Nabi tidak pernah mengeluh, meskipun perut Nabi tidak diisi berhari-hari. Nabi tidak tidak pernah mengutamakan dirinya,demi maruah ISLAM yang dibawa. Malah Nabi amat menyintai dan risaukan kita, UMMAT BAGINDA. Hingga ke akhir nyawa Nabi, hanya yang terukir di bibir Nabi, UMMATI,UMMATI,UMMATI.

Sahabat sahabiah, adik-adik dan seluruh yang mendokong kerja Da'wah yang ditinggalkan Nabi Muhammad kepada kita, jadikanlah Sejarah Nabi sebagai pembakar semangat. Semangat yang terbina atas dasar faham bukan perasaan semata-mata. Belajar untuk mengenali perjuangan dan keperitan Nabi Muhammad dan Nabi-Nabi sebelumnya. Kerana kita adalah mata rantai perjuangan itu. Meskipun bukan pemula ataupun pengakhir, namun kita punyai tanggungjawab meneruskan kesinambungannya.

Semoga Allah merahmati Baginda, Sahabat, Ahli keluarga Baginda, Para Syuhada'. Mohonkan pada Allah agar rahmatNya juga bersama mengiringi setiap ayunan langkah perjuangan kita.

Belajar untuk menyampaikan mesej ISLAM kepada manusia. Jika kita hanya pandai bekerja sahaja, maka perlu melangkah selangkah ke hadapan, latih diri untuk menyampaikan dari lisan dan penulisan. ISLAM ADALAH PRODUK YANG TERBAIK, MAKA ISLAM ITU PERLU DISAMPAIKAN OLEH JURU JUAL YANG JUGA TERBAIK. Belajarlah, Aplikasilah, Sampaikanlah. Semoga ia lahir dari hati, dan akan sampai kepada hati.

WaLlahu a'lam


Friday, February 26, 2010

Risalah Maulidurrasul PSS

Dialu-alukan untuk dicetak dan diedar. Risalah dalam bentuk publisher boleh diperolehi di kotak 'Berkongsi Ilmu Illahi' (sebelah kiri blog Kelab Remaja Ukhuwwah) di ruang Tinta Remaja. Syukran.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons