PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Tuesday, August 10, 2010

Risalah Ramadhan

*versi publisher di kotak 'Ilmuwan'

Wednesday, August 4, 2010

Lawatan ke Kampung Madang

Pada Sabtu 3i Julai 2010 yang lepas, ahli PSS dan KRU Tuaran (Aminuddin, Fairuz dan Amiruddin) telah mengadakan siri lawatan kedua ke Kampung Madang yang terletak di Topokon, Tuaran lebih kurang 45 minit dari jalan berturap Masjid Topokon. Buat pengetahuan semua, kampung tersebut tidak mempunyai surau dan kami ditawarkan mengajar di sebuah rumah salah seorang penduduk kampung. Lawatan ini adalah hasil daripada aduan yang diterima oleh ahli PSS iaitu Jamil berhubung dengan kes murtad yang berlaku dalam kawasan kampung tersebut dan kampung-kampung sekitar yang penganut Islam merupakan penganut minoriti.





Hasil daripada aduan tersebut, membawa kepada pertemuan pertama kami dengan En Rasimin bin Soiun yang merupakan orang lama dan berpengalaman di kampung tersebut. Hasil daripada perbincangan pertama tersebut, PSS dan KRU berusaha untuk membantu saudara Islam di sana yang memerlukan bantuan baik dari segi ilmu Quran dan Fardhu Ain mahupun kebajikan (kewangan). Selain itu, kami juga telah berkunjung ke Kampung Rungus yang dikhabarkan terdapat sebuah keluarga Islam di sana. InsyaAllah lawatan susulan ke kampung Rungus akan menyusul…




Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini dapat membantu penduduk Tuaran amnya khususnya penduduk di sana dan mudah-mudahan juga usaha ini dipermudahkan Allah..Amiiiinn

Kem Bahasa Arab

30-31 Julai PSS dan KRU telah menerima undangan untuk mengendalikan Kem Bahasa Arab di SMKT. Undangan diterima dengan hati terbuka dengan niat untuk meneruskan usaha tarbiyyah kerana Allah. Walau terkadang hati sedikit dangkal, makin ditarbiyyah makin 'tidak menjadi'. Hakikatnya bukan semua hanya segelintir. Kisah perjalanan panjang dakwah Rasulullah, Nabi Nuh dan Nabi-Nabi yang terdahulu menjadi ubat mujarab penyembuh kedangkalan ini.

Kem ini menghimpunkan pelajar-pelajar terpilih mendapat tawaran khas mengikuti Kelas Aliran Arab (KAA) di sekolah biasa, SMKT. Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tiga. Sekilas pandang seperti tidak ada bezanya pelajar-pelajar terpilih ini dengan pelajar-pelajar lain. Mengapa ini terjadi? Pertama, pelajar terpilih ini tidak rasa pun mereka 'terpilih'. Akibatnya peluang yang ada ini tidak dihargai dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya, malah dipersia-siakan. Kedua, pengaruh persekitaran yang lebih mencabar. Oleh itu, jatidiri para pelajar ini perlu dimantapkan.

Peringkat awal kem ini dihadiri dan dikendalikan oleh Saudara Nadir , Saudara Nasir bersama seorang sahabat dari Nilai. Selepas solat isyak menyusul Saudara Azizul yang baru dua hari balik dari Jepun bersama sahabat dari UMS. Selang tidak lama muncul pula Saudara Al-Amin, Saudara Syafik UMS dan Syafik KRU. Beberapa minit kemudian ternampaklah kelibat Saudari Syuhada' dan Yuyu. Akhir sekali, cukup korum dengan kehadiran Saudara Fairuz dan Saudara Aminuddin. Malam penghayatan berkonsepkan 'siksa kubur' diharap mampu menimbulkan kesan mendalam kepada para peserta untuk berubah menjadi lebih baik.


Kg Kindu - Mangan Nyak Mangan Asal Jo Kurung-Kurung


Pada hari Jumaat yang lepas bersamaan dengan 30 Julai 2010, orang-orang kuat KRU dari Kg Kindu terdiri daripada Adinda Amiruddin Drus, Adinda Arba dan Adinda Rudy telah berjaya mengadakan sebuah program mengumpul remaja-remaja kampung dengan program yang berkonsepkan ‘Mangan Nyak Mangan Asal Jo Kurung-kurung’. Program bermula dengan solat Maghrib secara berjemaah dan disusuli dengan ceramah ‘Persiapan Mengahadapi Ramadhan’ yang disampaikan oleh Setiausaha PSS Mohd Fairuz. Kemudian setelah selesai mengerjakan Solat Isyak, hadirin yang hadir dijamu dengan makanan-makanan yang lazat ‘sedap hingga menjilat jari’ (memang sunnah pun).

PSS Tuaran mengucapkan tahniah kepada adinda-adinda Kg Kindu kerana telah berjaya merancang program mengumpul remaja ini. Pada hemat PSS, program sebegini sangat baik untuk diteruskan dan seboleh-bolehnya diperbanyakkan lagi di kampung-kampung yang mempunyai ahli KRU agar ikatan ukhuwah dalam kalangan PSS dan KRU semakin kuat disamping menambah sedikit ilmu buat bekalan rohani. InsyaAllah, program seterusnya akan menyusul…InsyaAllah.

Qiam Julai & Rehlah KRU Tuaran

Alhamdulillah, 24 Julai 2010 qiamullail bulanan KRU Tuaran telah pun terlaksana. 'Dakwah' tema pilihan qiam kali ini. Pasti sahaba-sahabat KRU begitu teruja untuk berdakwah selepas menghadiri qiam Julai ini. Nah! Apa lagi, buat persiapan bermula dari sekarang. Mantapkan ilmu dan tingkatkan skil. Jangan sampai kita terdakyah. Terima kasih kepada Abang Kholis dan Abang Fairuz yang sudi berkongsi ilmu dengan kami semua.


Keesokan hari, 25 Julai program diteruskan lagi dengan aktiviti rehlah. Matlamat untuk memupuk ukhuwwah yang sedia terjalin dan melihat bukan sekadar dengan mata kasar tetapi juga dengan mata hati.



Program Ku Kenal Ku Cinta Islam di Sabah & Kem Bestari Solat


Alhamdulillah, dua program yang telah dirancang di SMKT pada dua penghujung minggu berturut-turut berjalan lancar. Tarbiyyah yang dikutip melalui penglibatan dalam KRU menjadikan kami semakin cekap menguruskan sesuatu program. Penerapan 'betulkan niat' dan 'tanamkan keikhlasan' menjadi perisai setiap ajk melaksanakan tugas tanpa rungutan dan sifat malas.

11 Julai 2010 telah berlangsung Program Ku Kenal Ku Cinta Islam di Sabah anjuran Pergerakkan Puteri Islam Malaysia (PPIM), SMKT. Penyertaaan terbuka kepada semua pelajar Islam tingkatan 4-6 SMKT. Penceramah jemputan terdiri daripada Saudara Mohd. Fairuz Bend dan Saudara Mohd. Nadir al-Nuri Kamaruzzaman yang sekaligus menjadi moderator program.

Ucapan Pengarah Program

16-17 Julai pula menyusul Kem Bestari Solat anjuran Persatuan Pelajar Islam, SMKT. Fokus kem kepada pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2. Penceramah terdiri daripada Ustaz Hafiz, Ustaz Rusdi, Ustaz Nazri dan Ustaz Jimmis. Sementara abang-abang dan kakak-kakak dari politeknik pula menjadi fasilitator. Kelembutan fasi yang disulami dengan ketegasan akhirnya berjaya meredahkan kenakalan adik-adik peserta

.Slot 'Bersama KRU'

Ucapan Pengarah Kem

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Pengerusi KRUTRN dan sahabat-sahabat KRU dari SMKB.

Thursday, July 22, 2010

Liga Futsal KRU

LIGA FUTSAL KELAB REMAJA UKHUWWAH

TERBUKA KEPADA SEMUA AHLI KELAB REMAJA UKHUWWAH DAN REMAJA SABAH (UNDER 18)

WANG TUNAI UNTUK KAWASAN YANG DIWAKILI & PEMENANG PERTANDINGAN

PEMILIHAN UNTUK PASUKAN UKHUWWAH UNITED FC (SYARAT - AHLI KRU YANG AKTIF)

ADA BERANI?

Thursday, July 15, 2010

KRU - 'DIA Dalam Cahaya'

Sudah bertahun-tahun DIA hidup sebegitu. Rumahnya tidak pernah mendapat elektrik. Mandi teraba-raba mencari sabun, masak menggunakan kayu api, tidur dalam kepanasan dan belajar menggunakan cahaya suram daripada lilin. Nasibnya tidak pernah diendahkan. Khabarnya jarang sekali ada yang bertanya. Bukan tidak ada yang peduli, tetapi DIA berat untuk berkongsi. DIA janggal menyusahkan orang lain. Ah, biarlah! DIA sudah serasiberkawan dengan malam. DIA sudah lali berbasah peluh di atas tilam. DIA sudah sebati bertemankan cahaya suram. DIA sudah biasa hidup dalam kelam...

Mujur nasibnya tidak kekal begitu. Mujur ramai yang terketuk hati. Mujur ramai yang masih sudi menghulur simpati. Mujur ramai yang masih mengerti. Malam itu, 13 Julai 2010, rumahnya disimbahi kerahan ukhuwwah sahabat-sahabat yang mahu terus memberi...

Set generator yang dihadiahkan kepada DIA,
hasil sumbangan penggerak-penggerak kempen Sinar 4 Sahabat

Terima kasih, KRU di pelosok negeri. Ponsikou, penyumbang-penyumbang kempen Sinar 4 Sahabat. Magsukul, hamba-hamba Allah yang masih sudi berkongsi. Syukran, insan-insan yang sanggup berbudi. Kalian pembukti, ukhuwwah Islam tempatnya di hati!

DIA, kau mendukung amanah kami membebaskan keluargamu dari belenggu itu! Mudah-mudahan kau istiqamah.

Tangki Air yang dihadiahkan kepada Surau Al-Aqsa, Kampung Kobuni Inanam
hasil titik-peluh KRU Tuaran & KRU Penampang dalam kempen 'Jom Remaja' Mei lepas.

Masih ada dua ahli KRU yang dikesan memerlukan bantuan generator. PSS menunggu maklumat dari kawasan-kawasan untuk menyalurkan bantuan kepada ahli yang memerlukan, dan meneguhkan tekad memelihara kebajikan penggerak-penggerak persatuan.


Sebutir Pasir

Aku bermula sebutir pasir
Terdampar di pantai kehidupan
Ditiup angin berterbangan
Dihembus ke kiri ke kiri
Dihembus ke kanan ku ke kanan

Tika ini
Hidupku tidak pernah sepi dari noda dan dosa
Tidak pernah sepi dari leka dan alpa
Lemas dalam jurang-jurang durjana
Tersasar jauh dari hakikat hamba

Suatu hari
Aku disapa Sang Pengembara
Aku diangkut ke medan mulia
Dibelai dakwah
Diusap tarbiyyah

Diriku diadun dengan airmata takwa
Disebati dengan tanah dan lumpur perjuangan pusaka

Lalu aku semakin teguh
Ditiang oleh aqidah
Disimen oleh ukhuwwah
Diteduh oleh atap mahabbah
Disusun dan diatur menjadi bangunan teguh yang tak bisa roboh
Tegak dan kukuh

Masa terus berlalu
Bangunan kian usang disalut debu
Di tapak kukuh mula tampak retak dan rekah
Debu putus asa dan marah
Retak oleh tarbiyyah ruhiyyah
Rekah oleh lemahnya thaqafah

Duhai pasir
Kau kini bukan lagi sebutir
Kau tidak boleh mengalah
Disisimu akan ada teman-teman yang sama melangkah
Yang sama bercita menuju mardhatillah

Duhai pasir
Jika kau hendakkan istiqamah
Jangan kau turuti nafsu serakah
Jika kau mahu kekal di jalan ini
Jangan kau cari cinta duniawi
Jika kau dambakan damai abadi
Jangan kau bergantung pada kasih insani

Carilah Ilahi

(nurilhakim, 5 September 2008)


Tahniah, Kelab Remaja Ukhuwwah. Perjuangan baru bermula. Teruskan melangkah..

Mahar Haji Nahar

Persatuan Siswazah Sabah dan Allahyarham Ustaz Nahar mempunyai sejarah yang panjang. Beliau merupakan penceramah kegemaran untuk pengisian berunsur tasawwuf. Malah, beliau pernah menawarkan untuk mengadakan kelas tasawwuf mingguan untuk ahli PSS, tetapi tidak kesampaian. Sejak awal bulan dua sehingga kini, PSS juga menyewa sebuah lot rumah untuk dijadikan pusat tuisyen dan pengajian Al-Quran Akademi Muhammad Al-Fateh (MUFAT) di bawah kendalian persatuan. Kali terakhir PSS berkongsi pandangan dan perancangan pembangunan remaja dan masyarakat Sabah adalah pada 10 Julai 2010, bersamaan hari Sabtu, sebelum beliau meninggalkan dunia fana ini dua hari kemudian. Perkongsian suka-duka bersama allahyarham boleh dilayari di hujung penulisan, sementara artikel ini mempunyai tujuan lebih khusus untuk menggugah semangat dan jiwa ahli PSS-KRU dan pembaca untuk membayar mahar pemergian beliau;

1. Mati itu sesuatu yang pasti, justeru setiap Muslim wajib 'merancang kematian'. Pastikan pemergian kita dalam keadaan sentiasa bersedia untuk meninggalkan keluarga berhadapan dengan ketiadaan kita, baik daripada segi emosi malah ekonomi. Malah Islam mengajar kita menyegerakan menulis wasiat dan mencatatkan segala rekod hutang-piutang, mudah-mudahan tiada amal yang tergantung dengan punca hutang yang tidak terbayar. Tarbiyyah Ustaz Nahar kepada keluarganya jelas digambarkan oleh kesabaran dan tenangnya isteri dan anak-anak beliau berhadapan dengan pemergiannya.

Sebahagian ahli keluarga dan kenalan yang mendoakan kesejahteraan allahyarham.

2. Kepulangan Ustaz Nahar menghadap Allah diiringi ribuan manusia sepanjang dua hari urusan pengebumiannya, membuatkan kita berfikir, bagaimana kematian kita kelak akan diterima? Barangkali orang gembira dengan kematian kita oleh kerana rosaknya akhlaq dan pekerti yang dimiliki, atau langsung tidak ada yang sudi menjenguk kita tatkala nazak. Na'uzubillah. Bagaimana pula kematian kita disambut oleh Munkar Nakir, dan kemudiannya Ridhwan dan Malik?

3. Antara yang merunsingkan penulis ialah apabila meneliti bahawa sebahagian besar hadirin yang bersama ketika majlis tahlil dan doa selamat tidak dapat membaca Al-Quran, lantas tidak dapat bersama mendoakan allahyarham. Tugas mengajarkan Al-Quran kepada umat adalah tugas asasi paling mudah yang perlu digalas oleh setiap ahli persatuan di setiap tempat dengan sedaya yang mampu. Malah, pelajar didedahkan dengan konsep berdoa dan bermunajat menurut Islam.

Anak sulung Ustaz Nahar, Nasyraf, pelajar tingkatan lama
di Sekolah Menengah Agama Inanam.
Beliau merangkul johan MTQ hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Terengganu tahun ini.

4. Anak-anak perlu sentiasa bersedia menerima pemergian orang tua dengan istiqamah melaksanakan amal soleh dan meninggalkan maksiat. Jangan sampai dosa yang dilakukan anak-anak mengheret ibubapa ke neraka. Lebih dari itu, anak-anak perlulah diasuh dengan keupayaan mengurus jenazah agar mereka mampu mengurus ibubapa apabila mereka meninggal.

5. Paling penting, ruang kosong yang ditinggalkan oleh Ustaz Nahar bukan pinta diratapi berterusan tetapi hendaklah diisi dengan usaha bersungguh-sungguh khususnya oleh anak Sabah, untuk menjadi ulama' muda yang haraki dan pendokong agama kelas pertama.

Maka jika tuntutan-tuntutan ini dipenuhi, terbayarlah mahar Haji Nahar dan tidak sia-sialah usaha dakwah bilhal dan dakwah turun padang berterusan yang didokong beliau. Semoga Allah menempatkan allahyarham bersama orang-orang yang soleh, Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Suka-duka bersama Ustaz Nahar di laman -

1. abunuha.wordpress.com
2. abuawatif.wordpress.com
3. mujahideen-islam.blogspot.com

4. kamarudintoyoas-sabahi.blogspot.com
5. hjnahar.blogspot.com

Friday, July 9, 2010

Piala Dunia Songsang


Setiap kali menyampaikan usrah, tazkirah atau mengisi mana-mana ruang dalam program seminggu dua ini saya akan memulakan dengan lagak serius..

'Kita hidup pada hari ini dalam dunia yang sangat songsang. Perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita tidak lagi mengikut fitrah kejadian yang sebenar. Yang kecik tidak lagi di bawah dan yang kuat tidak semestinya di atas. Malah, baru-baru ini kita digemparkan dengan dua peristiwa yang sangat menghairankan dan memeranjatkan seluruh umat manusia. Peristiwa tersebut ialah....' saya menghela nafas panjang bagi menimbulkan suasana dramatik, 'kekalahan 'Brazil kepada Belanda 2-1 dan kekalahan Argentina 4-0 kepada Jerman'. Ketawa audiens berderai. Kemudian saya menyambung, 'Mujur sahaja ego Jerman dapat ditundukkan oleh Sepanyol yang pasti akan menjadi juara Piala Dunia pada tahun ini.' Deklarasi yang tidak di'syura'kan bahawa Persatuan Siswazah Sabah menyokong pasukan Sepanyol di pusingan akhir.

Tujuan saya bukan itu. Perkongsian saya sebenarnya dipimpin ke arah keajaiban yang lebih besar yang berlaku pada bulan Rejab, bulan Piala Dunia ini iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj. Saya biasanya hanya menyebut sekilas peristiwa-peristiwa yang berlaku, daripada Rasulullah S.A.W dibawa ke Masjidil Haram, dibedah dan dibersihkan hatinya, sampailah baginda ke Masjidil Aqsa mengimamkan sekalian anbiya' dan mursalin di sana seterusnya diangkat ke Sidratul Muntaha bertemu dengan Allah dan diamanahkan dengan ibadah solat.

I'brah haraki yang terkandung dalam peristiwa Isra' Mi'raj meruntun penggerak-penggerak dakwah menilai intipati tersirat di sebalik peristiwa tersebut:

1. Pensyariatan solat secara terus oleh Allah kepada Nabi Muhammad menggambarkan betapa besar ibadah tersebut sebagai amalan tunjang yang menjadi kayu ukur keimanan dan benteng kekuatan umat Islam. Justeru sebagai da'ie solat tidak boleh dilengahkan dan pemahaman terhadap solat haruslah dipupuk dengan bersungguh-sungguh agar mesej besar di sebalik solat dapat disampaikan kepada madhu'u.

2. Tujuan Isra' Mi'raj antaranya ialah mengubat hati Rasulullah S.A.W yang berdukacita selepas kewafatan isterinya Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib, dua orang yang paling gigih mendukung perjuangan baginda, selain kegagalan usaha dakwah yang dibawa ke Taif. Ia meyakinkan kita bahawa setiap kesusahan dan kerumitan yang dilanda oleh penggerak dakwah, pasti akan dituruti dengan kesenangan dan kegembiraan. Persoalannya bila? Tentu sekali apabila kita sudah cukup berusaha. Malangnya kita pada hari ini, belum pun berhadapan kematian orang-orang tersayang secara berturutan, belum pun berdarah-darah dilontar batu oleh penentang, sudah mengeluh dan mengadu susah berjuang.

3. Rasulullah tetap menyampaikan kebenaran peristiwa yang dialaminya walaupun baginda tahu bahawa mustahil untuk kafir Quraisy menerima berita tersebut dengan rasional akal. Hari ini pendokong dakwah merasa goyah dan takut-takut dengan apa yang mahu disampaikan. Susah bercakap meyakinkan orang dengan hukum hudud yang kalau mengikut logik akal sukar diterima, susah menasihatkan orang terdekat dan ahli keluarga yang jelas melakukan maksiat membuka aurat dan tidak bersolat, berkira-kira untuk mempamerkan akhlaq yang baik kerana takut dituduh 'temberang' dan sebagainya.

Kita optimis sebagaimana tumpasnya pasukan gergasi Brazil dan Argentina oleh pasukan 'underdog', gergasi nifaq, syirik dan batil turut akan rebah mengikut putaran alam, selagi mana usaha-usaha 'underdog' duta-duta kecil Islam daripada kalangan ahli KRU dan PSS khususnya, tidak mengenal erti jemu dan putus asa.

Selamat berjaya Sepanyol.

Sunday, June 27, 2010

KRIS KB 2010

11-13 Jun; KRIS KB kali ke-3 yang bertempat SMK Arshad Kota Belud berjaya dilangsungkan dengan usaha gigih para ajk yang tidak mengenal erti putus asa. Walaupun telah berlaku masalah mencari tapak program, akhirnya program ini berjaya juga dilangsungkan. Syabas dan tahniah kepada para ajk dan pihak sekolah yang prihatin.
pendaftaran peserta
Walaupun jumlah peserta tidak mencapai anggaran sasaran (seperti biasa), KRIS kali ini tetap berjalan dengan baik dengan pengisian yang mantap. KRIS ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran sahabat2 dari KRU Kota Marudu yang begitu bersemangat datang dari jauh. Tidak lupa juga kepada sahabat2 dari KRU Tuaran yang turut mengimarahkan program ini.
slot lapangan
Diharapkan dengan pengisian yang sedikit ini semua peserta dan ajk dapat mengambil input yang baik dan menyebarkan serta mengamalkan ilmu yang dikutip. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak, khasnya barisan fasilitator yang dijemput khyas dari jauh kerana memberikan kerjasama dalam menjayakan program KRIS 2010 ini.
jom makan!
Semoga istiqamah dalam amalan dan bertemu lagi pada KRIS tahun depan Insya' Allah...

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons