Mesyuarat Tahunan PSS 2012
18 Mac 2012. Bertempat di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, SABAH.
Program Cuti Sekolah Mac 2012 Tuaran
Program-program menarik yang bermanfaat untuk mengisi masa lapang anak muda.
Program Jil Ul-Islam ke-3
Program Tarbiyyah generasi pelapis masa hadapan | 2 Mac 2012 | Sekolah Agama Negeri, Tuaran, SABAH
Tuesday, August 25, 2009
Monday, August 10, 2009
Jelajah Ukhuwwah Ramadhan PSS
1. Kampung yang pernah diziarahi atau menjadi tempat program PSS dan lain-lain organisasi di dalam Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN),
2. Kampung yang pernah dijejaki oleh PSS untuk menyelesaikan masalah aqidah dan pengabaian Islam oleh penduduk setempat, dan
3. Kampung-kampung angkat PSS yang sedang dibangunkan.
Jelajah dengan perancangan aktiviti Program Pengukuhan Solat untuk pelajar sekolah dan remaja, Ceramah Kesedaran Ramadhan untuk dewasa, Ceramah Kekeluargaan Umum, Ziarah Mahabbah Saudara Baru dan Penyampaian Sumbangan serta Gotong-Royong Ifthar dan Qiam akan meletakkan objektif-objektif berikut untuk dicapai di setiap kampung;
1. Peningkatan kesedaran menunaikan solat di kalangan remaja dan pelajar sekolah, dengan menguasai pergerakan asas solat dan 70% bacaan dalam solat,
2. Penghayatan erti berpuasa dan amalan sunat di bulan Ramadhan, dan penerapan Islam sebagai budaya pengurusan atau management tool untuk keluarga,
3. Rehabilitasi semangat saudara baru untuk mengamalkan agama Islam dengan penerapan semangat kasih-sayang umat sejagat.
Program akan berjalan dengan kekuatan pasukan seramai 10-15 orang dan dalam tempoh selama satu hari satu malam di setiap kampung, dan memerlukan biaya minimum sekitar RM600.00 untuk setiap kampung.
PSS mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan kewangan, pakaian terpakai dan barang makanan bagi tujuan menjayakan agenda besar tersebut. Mari beramal di bulan Ramadhan. Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di 0198110964. Syukran.
RAY Tambunan; Kasih Dicari Sayang Diburu
"Ustaz, kalau balik masa puasa masa raya takde dah la duit untuk balik masa raya."
Saya tersentak. "Duit untuk balik raya macam mana?"
"Kami dah kumpul daripada dulu lagi. Kalau ada tetamu datang, bagi duit, kami simpanlah untuk buat tambang nanti.."
Saya tidak tergamak untuk bertanya samada duit tambangnya telah cukup untuk pulang, atau dari mana beliau akan mencari duit untuk membeli baju raya. Itu akan dibincangkan dengan ibunya.
Saya memohon kepada mana-mana individu yang berkelapangan untuk menziarahi dua keluarga ini, dan lain-lain penghuni RAY Tambunan sekiranya berkelapangan. Mungkin secara material mereka agak selesa, tetapi dari sudut pengisian rohani yang tersusun, pembangunan sahsiah dan kasih-sayang daripada masyarakat luar yang prihatin, mereka masih memerlukan tangan-tangan yang sudi menghulur.
Mereka akan seronok setiap kali menerima kunjungan orang luar, walaupun bukan daripada ahli keluarga mereka.
Tahniah kepada pengurusan RAY Tambunan, khususnya guru-guru pembimbing kerana tidak mengenal erti penat lelah mendidik anak bangsa.
Thursday, August 6, 2009
PSS Kecam Penganjur FFM-22
5 Ogos 2009 - Persatuan Siswazah Sabah mengecam pihak penganjur Festival Filem Malaysia Ke-22, apabila mereka masih lagi berniat mengadakan Malam Anugerah FFM-22 itu di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah tanggal 8 Ogos ini, walaupun kampus tersebut telah mula diancam wabak selsema babi (H1N1).
Presiden Persatuan Siswazah Sabah, Saudara Bunyamin Bakri, apabila dihubungi menegaskan, hasrat penganjur untuk tidak membatalkan acara tersebut, seolah-olah bertolak-tali dengan peringatan yang diturunkan oleh Allah dalam bentuk wabak selsema babi. “Sejarah menukilkan kisah penghapusan sesuatu kaum atau bangsa secara keseluruhan dengan sebab keingkaran mereka untuk tunduk kepada Allah, sebagaimana penghapusan Kaum Tsamud di zaman Nabi Shalih dengan ditelan oleh bumi, tentera Firaun yang ditenggelamkan oleh Laut Merah di zaman Nabi Musa dan lain-lain kisah pengajaran.” Beliau menambah dengan nada sinis, “Barangkali dengan sebab umat Nabi Muhammad ini diberi kelebihan oleh Allah iaitu tidak dihapuskan secara sekaligus, mereka menganggap kuasa Allah telah mula weak kerana Ribut Greg 1999, tsunami 2006 dan terkini selsema babi ini hanya memusnahkan atau menimpa segelintir sahaja manusia.”
Beliau turut menyatakan kekesalan apabila mendapat laporan bahawa gejala Kristianisasi telah mula menular semula di dalam kampus, selain penggunaan institusi pengajian tinggi sebagai tempat pelaksanaan Persidangan UMNO Sepanggar tanggal 2 Ogos yang lalu yang terang-terang mencabuli akta dan peraturan Universiti. Akhirnya beliau menyatakan hasrat menghantar memorandum kepada Naib Canselor UMS, Kolonel Prof. Datuk Dr Kamaruzaman Haji Ampon dan mengatur pertemuan dengan beliau secepat mungkin bagi membincangkan isu-isu tersebut.
FFM-22 telah bermula sejak 3 Ogos di Sabah, dan antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel penerbitan video, bengkel penulisan skrip, bengkel lakonan, sesi bertemu bintang legenda serta tayangan filem percuma bermula 6 Ogos sehingga 8 Ogos di GSC 1Borneo dan GSC Kilan, Kota Kinabalu, Sabah. Keputusan samada Malam Anugerah Festivel Filem Malaysia ke-22 yang dijangka akan dihadiri oleh 600 penggiat seni tanahair, dan mengedar 5000 tiket percuma kepada orang awam, mahasiswa dan sebagainya akan ditentukan petang esok melalui pengumuman samada UMS terpaksa dikuarantin berikutan beberapa kes yang telah dikenalpasti menjangkiti warga kampus.
PSS optimis pihak pentadbiran UMS akan mengambil keputusan yang betul dan mendahulukan mahasiswa sebagai rakyat di Universiti, bertepatan dengan slogan 1Malaysia yang sering ditonjolkan mutakhir ini, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
Monday, August 3, 2009
Harapan Ramadhan - Raihan
Zam-zam Cola Merah menuju ke Wisma MUIS. Kami telah mengatur temujanji dengan Ustaz Ridhuan, Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan JHEAINS untuk bertanyakan prosedur paling mudah mengurus kesulitan Raihan. Nyata sekali prosedur tidak semudah yang disangka. 'Kawan' yang membantu mengurus perkahwinan Raihan pada tahun 2004 yang lepas tidak dapat dikesan. Perkahwinan yang tidak dihadiri oleh wali daripada pihak perempuan diragui. Kami bertemu Ustaz Ridhuan semula. Dia menggeleng kepala. Kami diminta membuat surat akuan sumpah butiran perkahwinan. Kaki menapak ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tingkat bawah MUIS, bertemu Haji Adenan, yang bertugas di pejabat tersebut. Bertubi-tubi dia menyoal Raihan. Kamu kahwin ke, akad nikah ke ijab kabul? Raihan yang memeluk Islam pada tahun 2003 dan langsung tidak pernah diajar tentang Islam terbeliak biji mata. Dan terus membela diri. Lalu disanggah oleh Haji Adenan. Kamu belum berkahwin, dakwanya. Kami yang cuba membela dilontarkan dengan ancaman daripada Al-Quran. 'Wailullil mukazzibin', sebut Haji Adenan. 'Celaka besarlah bagi mereka yang berdusta'. Aduh. Akhirnya Haji Adenan meminta supaya kami ke JPN membuat pengakuan bahawa Fendi dan Ariana adalah anak sah Raihan, tetapi bukan melalui perkahwinan yang sah. Kami meminta diri.
Dia bimbangkan nasib anak-anaknya dalam keadaan dia tidak berwang. Dia bimbangkan anak-anaknya yang sentiasa diminta untuk dibela oleh saudara-saudaranya yang bukan Islam. Malah dia pernah ditawarkan RM2000 untuk Ariana. Dia bimbangkan keadaan rumahnya yang bergoyang kuat apabila ditiup ribut, dan risaukan abangnya yang juga beragama Islam, tetapi hidup bersama seorang lagi abangnya yang bukan beragama Islam, dan bimbangkan keadaan mereka yang membiarkan anjing keluar masuk rumah. Dia bimbangkan masa depan anak-anaknya jika dia hilang hak penjagaan. Dia lebih bimbang lagi jika aqidah anak-anaknya terancam.
Harapan Ramadhan
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula
Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti
Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan
Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua