PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Thursday, March 22, 2012

Ucapan Dasar Presiden PSS 2011/12


UCAPAN DASAR PRESIDEN PERSATUAN SISWAZAH SABAH (PSS)
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 2012 

‘MENERAJU GENERASI MUDA HARAPAN UMMAH DAN NEGARA’


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang!

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta-benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan keimanannya)"—Surah Al-Hujurat: 15

Wahai saudara-saudaraku, anak-anak muda Islam yang beriman! Wahai orang-orang yang ingin lepas dari ikatan! Wahai orang-orang yang ingin memecahkan belenggu, yang memasung kaki dunia Islam, dari hujung ke hujung, dari barat ke timur!

Wahai keluarga yang punya soldadu dan srikandi yang sarat dengan buah pemikiran, yang penuh keinginan, citra keazaman, bunga kasih sayang, semangat bahu-membahu, semangat ukhuwah, daya eksistensi, dan cita idealisme! Wahai adik-beradikku PSS yang dikasihi sekalian!

SOROTAN AKSI PSS: LENSA DI BUMI BAYU

1. Persatuan Siswazah Sabah ataupun akronimnya PSS sebenarnya sudah hampir sedekad bertapak di bumi bayu bertuah ini. Ia sinonim dengan sejarah kebangkitan gerakan dakwah dan kebajikan di kalangan anak muda yang mana sudahpun terpotret di alam borneo ini dan menjadi nadi utama ‘check and balance’ kepada isu-isu yang berlaku samada di peringkat lokal mahupun global.

2. Malangnya sejarah kebangkitan ini tidak diketahui secara umumnya. Ia mungkin kerana kebangkitan anak muda di bumi bayu ini dalam kerangka dakwah serta tarbiyyah berlaku secara ‘evolusi’ bukannya ‘reformasi’. Tuntas, NGO-NGO islamik termasuk PSS sendiri tidak ketinggalan dalam mengalami denyut ‘evolusi’ ini. Walaupun kadang-kala ia tenggelam dalam gegak-gempita arus perdana yang lebih menonjolkan hedonisme!

3. Tahun 2008, skala perubahan terbesar dalam kerangka dakwah PSS berlaku tika kepimpinan Encik Bunyamin Bin Bakrin iaitu dengan menggagaskan skala dakwah terhadap remaja dan pelajar menengah. PSS selaku NGO yang sangat prihatin dengan soal pendidikan Islami dan perkembangan remaja khususnya pelajar sekolah. Lalu termetrailah beberapa program khusus remaja seperti; Kem Remaja Islam (KRIS), Kem Remaja Cemerlang (KRC), Islamic Summer Camp (ISC) dan lain-lain.
4. PSS dengan kelab remaja dibawahnya iaitu Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) mempamerkan fungsinya pada masyarakat keliling. Iaitu bukan hanya bertumpu dengan soal kemahasiswaan, kesiswazahan atau kepelajaran, bahkan jua memperjuangkan soal kemasyarakatan. Buktinya ialah program-program menyapu air-mata rakyat seperti Program Anak-Angkat, Sumbangan 1 Kampit Beras, dan ziarah ke kampung-kampung.
5. Setahun selepas itu, struktur ‘PSS Cawangan’ mula diperkenalkan. Beberapa daerah yang berpotensi menjadi ‘centric’ kepada PSS untuk mendekati masyarakat serta remaja telah dibuka. Hasilnya hingga kini PSS telah mempunyai 5 cawangan penaja (hingga hujung tahun 2011) yang terdiri daripada PSS Kota Kinabalu, PSS Tuaran, PSS Kota Belud, PSS Beaufort, PSS Sipitang.
“Kita mahukan ahli PSS  yang tidak mandul teori dan praktikal…
Kita mahukan ahli PSS yang tidak kering dengan aksi empati kepada massa…
Kita mahukan ahli PSS yang berani melawan ketakdiran sejarah…
Kita mahukan ahli PSS yang mampu menjadi mekanik kepada
usaha-usaha tarbiah, siasah, dan dakwah…
Kita mahukan ahli PSS yang tidak membeku dalam arus hedonisme…
Kita mahukan ahli PSS yang mampu mempamerkan visual Islamik yang
kontemporari…!”

Sayugia, dari titik inilah PSS mula menapak sedikit demi sedikit berbekalkan saranan Visi dan Misi serta implikasi positif bagi  mula memobilasikan semula kesepaduan gerakan siswazah, mahasiswa serta pelajar Islam diperingkat negeri Sabah terutamanya di bahagian Pantai Barat Sabah.

6. Namun demikian, denyutan nadi PSS yang kita mahukan bukanlah berbentuk irama yang ‘sekali-sekala’ ataupun bermusim. Kita tidak mahu juga PSS di setiap cawangan hanya bergantung harap dengan PSS Pusat untuk menginisiatifkan cadangan dan pendapat bagi melaksanakan Misi persatuan di setiap daerah yang diduduki. Sedangkan kita tahu bahawa kekuatan dan kesepaduan gerakan tidak akan dapat dicapai bilamana adik-beradik PSS diperingkat cawangan penaja masih dengan gaya ‘berpeluk tubuhnya’.

7. Maka, impian setiap tahun gerakan ini ialah ingin membentuk fenomena organisasi yang mampu mengadaptasi, berubah, berkembang dan mengubah dirinya sebagai respon kepada keperluan, keinginan dan aspirasi manusia di dalam mahupun di luar Pantai Barat Sabah. Dalam erti kata lain menjadikan Visi serta Misi PSS sentiasa relevan untuk setiap zaman. Namun demikian, harapan dan usaha ke arah ini takkan dapat direalisasikan sepenuhnya jika adik beradik ataupun ahli PSS sendiri masih tak tahu atau masih tak ambil peduli akan Visi serta Misi PSS.

8. Tuntas, Mesyuarat Agung tahunan (AGM) kita kali ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memperkenalkan PSS secara dekat dan terus kepada seluruh ahli keluarga PSS dari seluruh bahagian Pantai Barat Sabah. Biarlah hari ini kita pecahkan tembok ‘kesangkaran’ daerah bagi mengangkat tema serta wawasan kita bersama iaitu “Meneraju Generasi Muda Harapan Ummah dan Negara”! Justeru, bagi merealisasikan agar lensa aksi gerakan PSS agar sentiasa menyoroti georafi negeri zon ‘igloo’ ini, izinkan untuk saya merumuskan 3 gagasan utama yang ingin dibawa oleh PSS:

GAGASAN TARBIYYAH: MELAHIRKAN ‘PEMUDA TARBIYYAH’

9. Persoalan tarbiah tidak pernah lekang daripada perbincangan kita sebagai ahli gerakan berorientasikan Islam. Saban tahun kita pasti akan tercari-cari formula acuan bagi menghasilkan produk kader-kader yang berkualiti mengikut edaran sezaman. Pada masa yang sama, gagasan melahirkan PEMUDA TARBIYAH ini merupakan suatu kreativitasi dan inovasi idea yang realistik dalam memenuhi keperluan semasa ummah.

10. Dahulu kita mentarbiyah ahli untuk menjadikan mereka sebagai pemimpin yang boleh memimpin kendiri dan rakan-rakan di sekelilingnya. Kemudian kita juga telah berusaha membina adik-adik dari kalangan ahli KRU contohnya agar bersedia dengan alam varsiti yang lebih mencabar samada dalaman mahupun luaran. Dan kini, kita harus berusaha untuk mentarbiyah ahli khasnya ahli PSS untuk diserap masuk dalam sektor-sektor kerajaan dan swasta bagi berperanan dan mencorakkan sektor yang diceburi dengan wangian Islam. Nah! Inilah dia gagasan PEMUDA TARBIYYAH yang dimaksudkan.

11. Konsep PEMUDA TARBIYAH ini merupakan satu lontaran idea kepada satu permasalahan yang wujud pada hari ini, iaitu krisis kepimpinan dan keruntuhan akhlak sivil. Ia amat sejajar dengan harapan ummah dan negara memandangkan golongan siswazah dan pelajar hari ini sudah pasti sebilangan besarnya adalah merupakan barisan pelapis kepimpinan suatu masa nanti. Oleh itu, saya menggariskan tiga elemen terpenting yang perlu dibangunkan serta didokong oleh setiap ahli keluarga PSS  dalam merealisasikan gagasan ini:

Elemen Pertama: Tarbiyyah seawal alam sekolah menengah

12. Rasulullah SAW mendidik para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman mereka, sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka tampillah para da'i yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Islam melalui lisan dan contoh yang baik. Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka tampillah sahabat yang mempunyai harta kekayaan menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah SAW dengan penuh keredhaan tanpa bakhil, seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Osman Ibn Affan dan Abdul Rahman al-'Auf.

13. Menghasilkan PEMUDA TARBIYYAH yang mapan bukanlah boleh dicetak dengan kadar sehari ataupun seminggu.  Saidina Ali Karamullah Wajha, adalah seorang pemuda contoh di zaman Rasulullah SAW yang seawal usianya sudah menerima simbahan tarbiah Islami. Sebab itulah, PSS komited untuk melaksanakan fasa pentarbiahan bersistematik kepada remaja Islam seawal alam sekolah menengah lagi melalui program-program KRU yang telah pun dilaksanakan sejak tahun 2008. Kita amat berharap agar akan datang proses tarbiah seperti ini mampu diimplementasi lebih baik lagi dengan melibatkan adik-adik seawal usia sekolah rendah. Ini antara harapan kita...

Elemen Kedua: Tarbiyyah semasa di alam Varsiti

“Belajar di universiti bukan jaminan seseorang boleh menjadi intelektual... seorang intelektual itu adalah seorang pemikir yang sentiasa berfikir dan mengembangkan (serta) menyumbangkan ideanya untuk kesejahteraan masyarakat. Dia juga adalah seorang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisis, merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia, terutama masyarakat di mana dia hadir khususnya dan di peringkat global amnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaranitu.”-Sharif Syaari.

14. Inilah merupakan salah satu modal terbesar yang harus menjadi kesinambungan bagi setiap produk PSS mahupun KRU. Saya berpesan kepada adik-adik KRU yang akan melangkah kaki ke alam Varsiti tidak lama lagi insha Allah dan juga kepada ahli PSS yang sudah pun menadah ilmu di sana, agar meneruskan semangat dan rasa kecintaan untuk sentiasa ingin bersama dengan badan-badan Islami atau persatuan islam yang sedia ada di alam kampus.

15. Apa yang kita amat bimbang ialah berlakunya kelompangan tarbiyyah! Setelah sekian lama adik-adik KRU kita terlibat dengan gerak kerja dakwah semasa di sekolah tetapi malangnya apabila berada di IPTA atau IPTS, ada sebilangan kecil mereka yang sudah tidak terlibat sama sekali dan paling menggusarkan seolah-olah sudah tercalit dengan ‘virus-virus daie’. Impaknya, tarbiah di alam varsiti yang sepatutnya meningkatkan daya ilmuan, teknokrat dan moralis anak didik kita tidak dapat diteruskan dan menemui jalan buntu yang amat merugikan. Nauzubillah...

Elemen Ketiga: Tarbiyyah setelah menjadi Siswazah (Budaya Kerja Cemerlang)

16. Kepulangan para graduan kelahiran negeri bawah bayu amatlah menggembirakan kita. Besarlah harapan sebagaimana kata-kata bidalan Melayu, bagaikan ‘Pulangnya Sireh ke Gagangnya’. Golongan ini adalah ‘a complete product’ yang sudah pasti boleh memacu PSS bagi melakar kerangka dakwah di bumi Sabah dengan lebih berkesan.

17. Dengan sebab itulah, elemen tarbiyyah bagi seorang siswazah adalah berbentuk kaedah dan metodologi untuk sentiasa mengekalkan ‘budaya kerja cemerlang’. Maknanya, kader PSS diperingkat siswazah haruslah boleh mengimbangkan masa untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada PSS, kerjaya di pejabat, dan juga tanggungjawab keluarga. Insha Allah jika prestasi pemuda mahupun pemudi seperti ini kita dapat hasilkan dengan kuantiti yang lebih ramai tidak mustahil gagasan PEMUDA TARBIYYAH yang kita semua impikan dapat dicapai.

GAGASAN DAKWAH: GERAKAN DU’AT DI JALUR KEBAJIKAN

18. Dakwah yang kita maksudkan adalah menarik masyarakat dewasa kini yang kian gersang dengan mata air Islam kepada dunia Islam yang sebenar. Perjuangan untuk memindahkan manusia daripada satu dimensi kehidupan kepada satu dimensi kehidupan yang lebih baik menuntut kepada kesungguhan dan komitmen yang tinggi dan upaya yang berterusan tanpa rasa lemah dan mudah berputus asa.

19.
“Gerakan dakwah berteraskan kebajikan perlu diwujudkan. Gerakan dakwah semata-mata dakwah tanpa menitik beratkan soal kebajikan tidak akan memberi makna yang besar. Sudah banyak kali gerakan dakwah tanpa selera kebajikan yang berkonsepkan edaran-edaran risalah, ceramah-ceramah dan nadwah-nadwah, turun ke surau dan sebagainya tidak memberikan impak yang besar terhadap gerakan dakwah itu sendiri. Namun, ia bertukar sebaliknya apabila gerakan dakwah mula mengambil kira soal kebajikan kerana lumrah manusia sukakan orang yang mengambil berat terhadap mereka.”

Hakikatnya, manusia lebih rasa tersentuh dengan aspek-aspek kebajikan yang boleh diterapkan dengan setiap siri-siri dakwah yang diaturkan. Mengambil berat dan melihat kepada sudut-sudut nilai kemanusiaan itu juga penting dalam menyampaikan kemuliaan Islam. Program seperti khidmat masyarakat, gotong-royong, ziarah menziarahi perlu dipergiatkan lagi dalam agenda dakwah kita. Dan sebenarnya inilah jua yang kita akan cuba perkasakan dalam dimensi gerakan PSS akan datang!

20. Para du’at khususnya ahli PSS dan adik-adik KRU tidak boleh bersifat memilih bulu terhadap mad’unya. Golongan ‘untapped market’ seperti mat rempit, mat lepak dan segala yang berkaitan perlu didekati dan diberi peluang termasuklah pelajar-pelajar yang bermasalah di sekolah-sekolah sekitar Pantai Barat Sabah. Terimalah mad’u seadanya. Jangan mengambil jalan mudah untuk berdakwah kerana sesungguhnya jalan dakwah itu sukar dan jauh. Hayatilah Firman Allah ini dalam surah At-taubah ayat 42 yang bermaksud:

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, Pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.”

21. Sifat Alamiyyah Islam juga terbukti tidak mengira ras, bangsa, dan warna kulit. Disebabkan itulah Islam sesuai untuk sesiapa sahaja, tinggal lagi bagaimana metod kita mengajak umat yang belum lagi Islam untuk kembali kepada fitrah agama iaitu Islam. Masyarakat ‘non–muslim’ bukanlah golongan yang boleh dianak-tirikan oleh para du’at. Mereka berhak mendapat hak mereka sebagai ‘non-muslim’ iaitu berupa pengenalan, penerapan serta penghayatan keindahan Islam itu sendiri. Inilah gambaran holistik tentang ‘social engineering’ yang dilaksanakan oleh ahli-ahli dan kader-kader PSS melalui misi gagasan berdakwah di jalur kebajikan!

GAGASAN BAHARU: PSS MEMPERKASA HUBUNGAN DENGAN MASSA

22. Dimensi perjuangan Islam yang sejati akan sentiasa berubah mengikut tarian masa dan zaman. Koleksi kisah perjuangan menyaksikan rantaian yang bertali arus ini sentiasa disambung secara dinamika demi memastikan survival dakwah terlaksana zaman berzaman. Potret kegemilangan gerakan dakwah dalam cerminan dekad menyaksikan platform persatuan selaku jambatan ahlinya untuk berhubung dengan massa (masyarakat) adalah ramuan terpenting utnuk berjaya.

23. Justeru, saya selaku ‘ayah’ kepada PSS menyeru segenap adik-beradik yang ada agar sentiasa mencari ruang yang boleh memperkasakan hubungan kita dengan massa. Kerjasama yang sedia ada dengan institusi kerajaan seperti JAKIM, JHEAINS serta NGO-NGO dakwah serta badan kebajikan lain perlulah sentiasa digilap dari masa ke semasa. Hakikatnya kita tidak boleh bergerak bersendirian bagi melakar peta dakwah di negeri Sabah ini. Kita mesti menjadi pemimpin kepada orang lain untuk setiap siri ekpedisi mahupun eksplorasi dakwah yang dijalankan.

24. Di peringkat PSS Pusat sendiri, budaya profesionalisme dan integriti untuk setiap rencana dan soal pengurusan perlu dititik beratkan. Kita buang sikap sambil lewa! Kita buang sikap ‘asalkan ada.. kalau tiada, apa boleh buat... bolehlah..’. Apakah kita tidak malu mengaku sebagai kader dakwah, walhal kita tidak serius dalam setiap elemen dakwah itu sendiri?

25. Penstrukturan kembali organisasi ini pada Misinya ataupun struktur organisasinya melalui AGM yang kita jalankan pada hari ini diharapkan dapat memastikan kesinambungan gerakan PSS untuk berjuang di bumi tercinta Sabah. Saya harap setiap ahli PSS sentiada memberi sokongan kepada barisan kepimpinan yang akan dilantik nanti. Saya yakin dan percaya serta bersesuaian dengan tema AGM “Meneraju Generasi Muda Harapan Ummah dan Negara”, PSS akan terus kekal menjadi wadah utama gerakan dakwah untuk bersama masyarakat; dari semuda-muda usia pelajar sekolah, sebaik-baik cendiakawan dan mahupun rakyat marhean di sekitarnya bagi merealisasikan harapan ummah yang gemilang dan seterusnya negara yang cemerlang.

Saya akhiri ucapan dasar presiden ini dengan kalam mulia, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.



Mohd. Fairuz Bend
Kota Kinabalu,
15 MAC 2012, Khamis.



0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons