Bersempena dengan sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tanggal 9 Mac yang lepas, PSS mengatur beberapa siri ceramah dan tayangan Malidurrasul buat menyedarkan golongan muda berhubung keperitan perjuangan Rasulullah dan para sahabat memastikan Islam sampai kepada kita pada hari ini. Ceramah pertama disampaikan oleh Cikgu Muhd Nasirin Abdul Ghani, guru SM Teknik Likas, pada 10 Mac, bertajuk 'Rasulullah, Kekasih Yang Dirindui'. Ceramah tersebut disampaikan di Kampung Kindu, Tuaran. Sambutan kurang menggalakkan kerana terpaksa bersaing dengan majlis 'karaoke' yang diadakan pada masa sama. Ceramah beliau bermula dengan kelahiran Nabi Muhammad, seterusnya kemelut perjuangan baginda, kewafatan dan peristiwa khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah, yang menekankan tentang kepentingan solat, menjaga hubungan sesama mukmin dan menjaga hak kaum wanita, selain berpegang dengan teguh kepada Al-Quran dan Sunnah. Beliau menyimpulkan ceramah pada malam itu dengan sama-sama mengajak para hadirin berselawat ke atas Rasulullah, dengan mengharapkan syafaat baginda di Hari Akhirat. Pada masa sama, Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS, menyampaikan ceramah sama di SMK Badin, Tuaran. Siri ceramah seterusnya dijadualkan di SMK Tamparuli, Politeknik dan SM Teknik Likas. Mereka yang berminat mengadakan program Maulidirrasul di institusi masing-masing dan memerlukan penceramah, bahan tayangan dan lain, bolehlah berhubung dengan koordinator ceramah Maulidurrasul, saudara Al-Amin di talian 0148696624.
KRIS 12
7 years ago
0 comments:
Post a Comment