PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Wednesday, December 8, 2010

Salam Maal Hijrah


Segala puji bagi Allah yang memegang tiap-tiap hati, Pencipta sekalian Alam dan seisi makhluknya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para keluarga dan sahabat Baginda. Rahmat dan kasih sayang Mu ya Allah Ya Rahiim yang tidak pernah putus ke atas seluruh hambaMu.

Tahun demi tahun berlalu, kita bertemu kembali dengan tahun hijjriah yang baru. 1432 tahun yang lalu, setelah datangnya Islam kepada Rasulullah, hijrah inilah satu lampiran sejarah kepada ummah kini yang telah dibentangkan oleh Allah dengan pelbagai hikmah yang tidak ternilai. Bermula dengan datangnya Islam sehingga berlakunya peristiwa besar hijrah, penyatuan ukhuwah antara kaum Muhajjirin dan Ansar. Hijrah juga menukilkan kisah yang sangat indah didalam Gua Thur antara Nabi dan Abu Bakar, memaparkan keberanian pemudi seperti Asma’ binti Abu Bakar, kanak-kanak sehebat Ali bin Abi Talib dan hijrah jugalah menjadi titik tolak kepada wujudnya Negara Islam yang pertama di dunia dengan kepimpinan Nabi SAW dan akhirnya membawa kepada sistem Kalender Islam pada hari ini.


Seiring dengan tahun baharu Islam, ayuh kita menilai kembali dan bermuhasabah amalan pada tahun yang telah pergi dan meletakkan azam yang baru untuk tahun yang baru. Perlu juga kita menilai adakah azam dan matlamat yang lalu telah tercapai atau tidak? Bagaimana pula dengan amalan yang seringkali dicatat oleh dua malaikat pembantu Allah? Adakah lebih banyak di kiri atau di kanan?

Alhamdulillah, semoga kita berkesempatan membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Memohon dengan serendah-rendah hati kepada yang Khaliq semoga tahun yang bakal ditempuh ini melakar 1001 sejarahnya tersendiri, mematangkan perbincangan dan meleraikan seribu macam persoalan dan pertelingkahan.

Akhir kalam, seluruh warga PSS dan KRU mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua yang banyak membantu dan meyokong gerak kerja PSS sama ada secara langsung atau tidak. Semoga dengan hijrah yang baharu ini PSS akan terus kuat untuk melangkah kehadapan dan sentiasa mendapat redha Allah SWT.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons