Sebelum bergerak ke wad sasaran iaitu wad lelaki A7, kami menyinggah ke wad Perempuan A6 untuk mencari seorang adik yang telah beberapa kali dilawat oleh PUM sebelumnya. Ternyata adik Norshilla Abtara masih berada di wad yang sama. Beliau yang menghidap penyakit transverse myelitis, penyakit yang disebabkan pembengkakan pada saraf tunjang dan diffuse muscular atrophy telah bergantung hidup pada ventilator, alat bantuan pernafasan selama lapan tahun! Beliau yang berasal dari Kudat dan berusia 14 tahun, berkali-kali mengucapkan terima kasih apabila kami menghulurkan sebuah hamper, kismis dan sedikit sumbangan wang.
Kami seterusnya bergerak ke wad lelaki A7. Bermula dari wad ICU kami mendekati pesakit satu demi satu, tanpa mengira warna kulit, agama, bangsa, jauh sekali fahaman politik. Semua pesakit yang kami ziarahi gembira menyambut kami. Seperti perihalnya kebanyakan orang yang sedang berdepan ujian, beberapa patah kata dan setulus senyuman sudah mampu mengubati sedikit sebanyak jiwa yang kehausan. Sampai ke hujung wad, seorang budak lelaki memandang jauh dengan wajah yang menyedihkan. Nama beliau tertera, Adik Elfion Christopher, berbangsa Kadazan dan berumur 13 tahun.
Salah seorang ahli PSS (sdr Nadir) mendekati pesakit tersebut dan tanpa diduga, ibu kepada Alfion menceritakan perihal anak perempuannya, kakak kepada Adik Elfion yang menganut agama Islam kerana berkahwin dengan seorang lelaki Brunei. Malangnya, mereka telah bercerai kerana si suami tidak menyediakan nafkah. Isteri dibiarkan menjaga seorang anak perempuan bersendirian. Dakwa sdr Nadir "Terkejut juga tiba-tiba si ibu menceritakan kisah anaknya. Mungkin tersentuh kerana masih ada orang Islam yang baik, sudi menziarahi mereka di hospital. Keluarga ini tidak boleh dikecewakan untuk kali kedua oleh orang Islam".
(Kepada yang berhasrat membantu Adik Shilla dan Adik Elfion, boleh menghubungi 0198110964 secepat mungkin...Semoga Allah memberikan kesihatan, kekuatan dan ketabahan kepada mereka semua)
0 comments:
Post a Comment