30 Disember - Kisah adik Elfion Christopher dan Adik Norshilla mendapat respon memberansangkan daripada pelbagai pihak. SMS tidak putus-putus masuk samada dengan hasrat membantu menjadi teman setia Adik Shilla, atau menghulurkan bantuan menunaikan impian Adik Elfion. Bukti betapa ramai lagi insan yang masih mencari ruang berbakti dan beramal. Bukti bahawa roh kasih-sayang masih belum luput daripada sebahagian masyarakat. Bukti yang hati-hati manusiawi masih hidup, segar menerjah peluang menghulurkan bantuan. Paling penting, ia bukti bahawa ruang dakwah harus dibuka seluas-luasnya oleh penjaga pintu-pintu dakwah, agar laluan di sebalik pintu 'tak layak', 'tak mampu' dan 'tak nampak jalan' tersingkap, menggerakkan dan mengangkat dakwah dan kasih-sayang setinggi budi manusia, dan serendah lapangan umat.
Dalam masa tidak sampai setengah hari, Persatuan Siswazah Sabah dengan bantuan penuh dedikasi daripada Ikatan Sahabat EKSAH UMS sesi 08/09, jumlah sumbangan terkumpul mencapai RM450. Wakil daripada kedua-dua Persatuan tidak membuang masa untuk merealisasikan harapan semua pihak-melihat Adik Elfion senyum semula, dan mewujudkan teman dan pengajar ilmu dunia akhirat kepada Adik Shilla. Jam 5.15 petang, kami tiba di Hospital Queen Elizabeth, dan terlebih dahulu melawat Adik Shilla. Di sana kami bertemu 4 orang muslimat dari UMS yang sedang menziarahi Adik Shilla, yang berjanji akan menjaga dan melihat perkembangan Adik Shilla secara berterusan. Semoga Allah memberikan mereka kekuatan, istiqamah dan keikhlasan, yang seterusnya akan dibalas dalam bentuk kecemerlangan dunia dan akhirat, atas sebab rasa belas dan pemurah yang dizahirkan untuk hambaNya. Kami menyerahkan permainan SAHIBA dan jigsaw puzzle kepada Adik Shilla, dan walaupun malu untuk mengizinkan kami bergambar dengannya, ucapan terima kasihnya sampai kepada semua yang menyumbang.
Seterusnya, kami terus bergerak ke wad A7 yang menempatkan Adik Elfion. Rupanya beliau tidak ada di wad kerana turun menghirup udara segar di laman hospital. Kami menunggu sambil menjengah pesakit-pesakit lain, dan tidak lama kemudian kelihatan kelibat Adik Elfion melangkah perlahan disisi ibunya. Air mukanya tidak berubah apabila terlihat kami; mungkin tidak dapat mengecam siapa yang datang melawat. Atau terlalu keletihan memanjat tangga. Beliau terus berbaring di atas katil dan meringkukkan badannya. Kami mengeluarkan papan karom yang dibeli hasil sumbangan, dan petang itu, impian kedua kami tercapai. Berbunga hati kami melihat wajah manis Adik Elfion apabila tersenyum. Subhanallah. Indahnya bila dapat memberi..
0 comments:
Post a Comment