PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Friday, March 27, 2009

PSS - Earth Hour Bukan Setakat Mesej Pemanasan Global


EARTH HOUR
28 MAC 2009
8.30-9.30 malam
( Padamkan lampu selama sejam tanda sokongan kepada kesedaran isu pemanasan global )

Persatuan Siswazah Sabah bukan semata-mata badan kebajikan. Ia bukan institusi keagamaan. Ia jauh sekali organisasi politik. Malah ia merangkumi semua aspek kehidupan, dunia akhirat. Justeru Persatuan Siswazah Sabah menyambut baik dan menyokong penuh usaha WWF dan badan-badan lain yang menganjurkan Earth Hour. Isu pemanasan global bukan isu baru. Perubahan iklim, kenaikan aras laut, peningkatan kandungan gas karbon dioksida di udara, kesemuanya mendatangkan kesan negatif. Dan kesemuanya telah diberi amaran oleh Allah di dalam Al-Quran. Amaran bahawa punca kepada segala bentuk kerosakan ialah akibat pernuatan manusia sendiri,

“Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum, ayat 41)

Justeru Persatuan Siswazah Sabah menyeru semua ahlida penyokongnya di segenap penjuru dunia supaya menyahut seruan Earth Hour. Tetapi tidak cukup sekadar itu, Persatuan Siswazah Sabah ingin membawa pembaca berfikir dan merenung setapak lebih jauh dalam gelap pekat malam tanggal 28 Mac 2009, jam 8.30-9.30 malam ini.

1. PSS menyeru pembaca merenung kegelapan alam kubur dan siksaan yang bakal ditimpakan ke atas hambaNya yang meninggalkan suruhan, dan meninggalkan larangan. PSS mencadangkan kepada pembaca agar menutup sekali kipas untuk merasai sesak dan sempitnya alam kubur.

2. PSS menyaran supaya pembaca berfikir dan menghayati kesusahan masyarakat yang bergelap setiap malam kerana tidak mendapat bekalan elektrik, khususnya masyarakat Sabah.

3. PSS menyeru pembaca merenung gelapnya masa hadapan anak bangsa dan tanah air tanpa ada usaha bersungguh-sungguh umat untuk kembali kepada terang sinar Islam.

4. PSS mengecam sebarang bentuk aktiviti yang dijalankan samada dalam masa satu jam tersebut atau bersempena dengan Earth Hour, yang terkeluar daripada lingkungan syariat Islam, atas keyakinan bahawa kemusnahan dan kerosakan total datang dari kuasa Allah.

Jadikan sejam dalam kegelapan sebagai medan muhasabah, selangkah lebih kehadapan daripada orang lain. Selamat Bermuhasabah..

Thursday, March 26, 2009

PCP Tembusi Pasaran Sekolah Agama Rakyat

Penyampai tetap slot tayangan, Abang Amin

Sekolah Agama Rakyat Wadi Kauthar terletak di Kampung Balungan, atau nama asalnya, Balungon, bermaksud gagah atau perkasa di dalam bahasa Dusun. Di bawah naungan JHEAINS, ia baru beroperasi selama 4 bulan dan dibangunkan oleh penduduk setempat. Kelebihan Kampung Balungan, yang memusatkan 143 buah rumah, ialah suraunya yang terletak di atas bukit, sedangkan gereja berada di bawah bukit, berbanding kampung-kampung lain yang biasanya gereja berada di puncak. Dengan kekuatan 2 ustaz, 2 ustazah dan 2 tenaga pengurusan, sekolah ini membentuk akhlaq dan membenihkan ilmu Islam dalam jiwa lebih kurang 120 orang pelajar.

"Adik pandai ambil wudhu'?" "Tak." "Nak belajar?" "Nak!"

Sangkaan Skuad Celik Palestin yang jemputan mengadakan slot Celik Palestin khas meleset. Rupanya sekolah tersebut mengadakan program motivasi dan pengisian tentang perjuangan rakyat Palestin adalah salah satu slot dalam program tersebut. Seusai pengisian , SCPPSS menyedari bahawa perlu diwujudkan template khas untuk memberi kesedaran Palestin kepada golongan lebih muda. Apa tidaknya, bila ditanya apakah contoh produk Israel, para pelajar menjawab 'parang'. Bila ditanya contoh gejala sosial yang perlu dijauhi, mereka lantas menyebut 'rogol'. Malah, penyampai yang biasa berdepan dengan pelajar sekolah menengah mengalami kesukaran menjelaskan maksud perkataan 'boikot' kepada audiens. Belajar daripada pengalaman. Tahniah PSS, dan adik-adik KRU yang turut sama menjayakan program.

Pelajar menangis dalam slot muhasabah kelolaan Kak Maryam

Wednesday, March 25, 2009

Program Peningkatan Motivasi SMK Tenghilan

PSS asalnya menyangka dijemput menjadi fasilitator untuk Program Peningkatan Motivasi Pelajar Islam di SMK Tenghilan. Rupa-rupanya, seminggu dari tarikh program, kami difahamkan yang kami diberi ruang menguruskan keseluruhan program. Kelam-kabut dibuatnya, mujur sahaja ahli-ahli PSS terlatih bekerja dalam 'short notice', dan kerjasama pihak sekolah sangat baik.

Seramai kira-kira 25 orang ahli PSS dari UMS, Politeknik, UITM KK, Maktab Kent selain pelapis muda dari ahli Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) sekitar Tuaran mencuri-curi hadir menyumbang saran idea, tenaga dan ilmu di sebalik kesibukan mengurus dan memenuhi tuntutan di institusi masing-masing. Di tengah kesempitan waktu, peluang bertemu adik-adik di SMK Tenghilan tidak boleh dilepaskan. Peluang dan pengalaman yang nyata mencabar..

Jumlah hampir seribu pelajar di SMK Tenghilan hanya diwakili oleh lebih kurang 200 orang pelajar Islam. Daripada jumlah tersebut, hanya 27 orang, 12 lelaki dan 15 perempuan yang beragama Islam tinggal di asrama . Pastinya sukar untuk mereka menambah ilmu tentang Islam dan mengamalkannya sebagai golongan minoriti. Walaubagaimanapun, kami difahamkan yang Pengetua SMK Tenghilan, walaupun bukan beragama Islam, sangat mudah memberi peruntukan dan keizinan untuk golongon minoriti melaksanakan kewajipan beragamanya. Solat tarawikh dihantar, surau dibaikpulih dan program-program mudah dianjurkan. PSS menyanjung tinggi professionalisme beliau dalam menjalankan tugas.

Program yang bermula pada sebelah petang hari Jumaat, 13 Mac 2009 dimulakan dengan sesi ice-breaking. Guru-guru sekolah yang setia menemani sepanjang program telah awal-awal memberi amaran. 'Murid-murid kami ni hiperaktif, ramai yang tak pandai membaca, terlibat dengan rokok, gam dan syabu.' Kami mengangguk, yakin akan teruji, lantas menyusun tentatif yang interaktif dan membanyakkan perbincangan bagi menyesuaikan aktiviti dengan tahap para peserta. Malam pertama kami belum dapat 'memenatkan' peserta. Kami tidur pada jam 2.45 malam, menunggu peserta terakhir habis berborak. Itupun setelah puas guru mereka merotan dan memarahi. Esok masih panjang.


Slot ceramah, LDK, Explorace dan sebagainya berjalan dengan lancar. Pada slot malam muhasabah, alhamdulillah, ramai juga yang mengalirkan airmata mengenangkan pengorbanan ibubapa dan dosa-dosa sendiri. Yang nakal tetap nakal. Hati masih kenyal, sukar ditembusi dalam masa singkat. Apapun, kami yakin sedikit-sebanyak perubahan telah berlaku. Samada itu, atau akhirnya kami telah berjaya menghabislan tenaga mereka. Kerana malam itu kami tidur awal dua jam daripada malam sebelumnya.

Kami optimis adik-adik SMK Tenghilan akan menjadi sehebat yang lainnya. Cuma kami memerlukan lebih masa. Kaunselor sekolah memberi keyakinan lesen bahawa PSS akan dijemput untuk program susulan. Bukan mudah untuk membentuk manusia yang hidup bertahun-tahun dalam realiti keluarga yang tidak cakna Islam dalam masa beberapa hari. Adik-adik, kami tidak akan berhenti selagi kalian belum dapat kami ubah..

p/s : InsyaAllah gambar-gambar lain akan menyusul..

Thursday, March 12, 2009

Ceramah Maulidurrasul PSS


Bersempena dengan sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tanggal 9 Mac yang lepas, PSS mengatur beberapa siri ceramah dan tayangan Malidurrasul buat menyedarkan golongan muda berhubung keperitan perjuangan Rasulullah dan para sahabat memastikan Islam sampai kepada kita pada hari ini. Ceramah pertama disampaikan oleh Cikgu Muhd Nasirin Abdul Ghani, guru SM Teknik Likas, pada 10 Mac, bertajuk 'Rasulullah, Kekasih Yang Dirindui'. Ceramah tersebut disampaikan di Kampung Kindu, Tuaran. Sambutan kurang menggalakkan kerana terpaksa bersaing dengan majlis 'karaoke' yang diadakan pada masa sama. Ceramah beliau bermula dengan kelahiran Nabi Muhammad, seterusnya kemelut perjuangan baginda, kewafatan dan peristiwa khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah, yang menekankan tentang kepentingan solat, menjaga hubungan sesama mukmin dan menjaga hak kaum wanita, selain berpegang dengan teguh kepada Al-Quran dan Sunnah. Beliau menyimpulkan ceramah pada malam itu dengan sama-sama mengajak para hadirin berselawat ke atas Rasulullah, dengan mengharapkan syafaat baginda di Hari Akhirat. Pada masa sama, Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS, menyampaikan ceramah sama di SMK Badin, Tuaran. Siri ceramah seterusnya dijadualkan di SMK Tamparuli, Politeknik dan SM Teknik Likas. Mereka yang berminat mengadakan program Maulidirrasul di institusi masing-masing dan memerlukan penceramah, bahan tayangan dan lain, bolehlah berhubung dengan koordinator ceramah Maulidurrasul, saudara Al-Amin di talian 0148696624.

Mungkin anak-anak muda yang berseluar pendek ini, dan tidak berani masuk ke dalam berhasrat untuk ke majlis karaoke asalnya..

..tetapi memilih untuk pulang menukar seluar dan masuk mengikuti tayangan..

Remaja muslimat - daripada 4 menjadi 15 orang..

Wednesday, March 11, 2009

Program Pemantapan Aqidah Fasa 2, Pitas

Ahli-ahli PSS telah lama berkecimpung dan menerima latihan dalam bidang perbandingan agama, atau comparative religion, sehinggakan telah wujud satu kumpulan yang mampu membimbing masyarakat tentang asas persamaan dan perbezaan antara agama, khususnya agama Islam dan Kristian, dengan tujuan tunggal untuk mencari kebenaran dan mengeratkan persefahaman. Usaha ini telah dicetuskan oleh bekas ustaz di SMK Tebobon, Ustaz Abdullah Din dan kini giat diteruskan oleh sahabat-sahabat beliau, Cikgu Jamil (SMK Kolombong), Ustaz Khidir (SMK La Salle), Ustaz Amir (SMK St. Peter) dan Encik Nordin Saad (UMS) selain beberapa individu lain.

Hujung minggu lepas, ahli PSS sekali lagi dibuka peluang untuk mendalami cabang ilmu fardhu kifayah tersebut, dengan bimbingan dua tokoh terkenal perbandingan agama, iaitu Tuan Haji Ayub bin Abdullah dan Tuan Haji Nicholas Slyvester@Muhammad Abdullah, seorang bekas Pengampun Dosa Antarabangsa dan seorang bekas Tentera Kristus. Program Pemantapan Aqidah Fasa 2 ini telah diadakan di SK Pekan Pitas 2, dan merupakan kesinambungan program fasa pertama yang diadakan di Kota Marudu sebelumnya.

Wakil PSS yang diketuai oleh Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS dan pengelola blog perbandingan agama renung2fikir2.blogspot.com, bertolak sekitar jam 7 pagi ke Pitas. Salah seorang penceramah, Tuan Haji Ayub diberi slot untuk berceramah kepada saudara baru di Masjid Kota Marudu, dengan ditemani oleh seorang ahli PSS. Kehadiran begitu menggalakkan, dengan hampir 220 orang saudara baru yang hadir. Kami difahamkan mereka mengikuti kelas pengajian berkala setiap minggu di masjid tersebut, dan kehadiran saudara baru adalah konsisten seramai 200 orang setiap minggu. Tahniah JHEAINS Kota Marudu!

Ceramah Tuan Haji Ayub bersama saudara baru di Masjid Pekan Kota Marudu

Rombongan kedua bersama Tuan Haji Nicholas Sylvester meneruskan perjalanan ke Pitas bagi melangsungkan program utama di sana. Program selama 2 hari 1 malam itu, yang dihadiri kira-kira 100 orang ustaz, guru, pelajar dan penduduk dari daerah Pitas, Kota Marudu dan Kudat nyata memberikan input bermanfaat kepada para peserta program berdepan dengan pelbagai ancaman aqidah mutakhir ini. Ramai yang tidak menyangka bahawa wujudnya pelbagai persamaan antara agama Islam dan Kristian, yang mana banyak suruhan Allah juga terdapat di dalam Bible, misalnya suruhan berkhatan (Genesis 17:14), tegahan memakan khinzir (Lev 11:7-8), dan arahan bertudung (1 Cor 11:5-6). "Jadi, kalau orang Kristian tidak mengamalkan apa yang ada dalam kitab dia tapi orang Islam yang mengamalkan, maka mereka lebih Kristian daripada orang Kristian!" Tuan Haji Nicholas menyimpulkan, separuh bergurau.

Perpustakaan SK Pekan Pitas 2


Forum yang diadakan pada sebelah malamnya di Masjid Kampung Kalumpang, Pitas. Moderator ialah Ustaz Bungsu@Aziz bin Jaafar, dan panel ialah kedua-dua bekas paderi.

Misi PSS tidak berakhir setakat itu. Rupanya ada tugas lain yang Allah minta selesaikan. Pada hari pertama program, dengan tidak sengaja, seorang makcik cleaner di SK Pekan Pitas 2, Makcik Regina Dayari meluahkan yang beliau telah 18 tahun memeluk agama Islam tetapi tidak pernah mendapat bimbingan berkenaan Islam, lebih-lebih lagi setelah suaminya meninggal dunia. Apabila berhubung dengan pihak yang sepatutnya untuk bertanyakan perihal tersebut, beliau dilayan dengan kurang baik dan dituduh hanya mahukan wang. Pagi Ahad itu, dengan ditemani Encik Nordin, sedang yang lain sibuk berprogram, kami mencuri peluang untuk menziarahi Kampung Saab, tempat makcik tersebut tinggal. Menempuh perjalanan yang agak mencabar, kami disambut oleh beliau di sebuah rumah usang peninggalan arwah suaminya, yang kini didiami 8 beranak. Setengah jam di sana, kami dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira dua puluh keluarga berbangsa Sungai yang tinggal di sana, yang selama ini teraba-raba mencari erti agama Islam setelah beralih dari agama pagan. Kami berjanji akan melakukan sesuatu. Kami mengatur langkah untuk pulang..

Merenung jauh masa depan dirinya dan anak-anak..

Penduduk Kampung Saab, kami tidak akan membiarkan aqidah kamu dinodai sekali lagi oleh manusia tidak bertanggungjawab, kami tidak akan merelakan kalian memandang remeh pada agama Islam dengan sebab sesetengah pihak yang sambil lewa melaksanakan tugas, dan kami sesekali tidak akan redha membiarkan kalian kembali kepada kegelapan!


Elfion : "Poinsikou, Abang, Kakak!"

Home Sweet Home - rumah keluarga Elfion


Papan karom hadiah PSS-ISEUMS tersemat kemas di dinding rumah dan hanya diturunkan apabila hendak bermain.


Membawa Elfion dan emaknya membeli-belah

Kami tiba di rumah Elfion di Kampung Andus, Papar pada 21 Februari yang lepas sekitar jam 6.30 petang. Rombongan berempat, saya, Abang Fairuz, Sharil Kg. Kobuni dan Sazali, pelajar SMK Tamparuli disambut oleh emak beliau yang menanti di luar rumah. Salam dihulur, kami automatik menunduk sahaja tanda hormat. Aduh, tersilap langkah. Mungkin lebih wajar kami mengambil pendapat yang lebih ringan dan menyambut tangan beliau. Kerana selepasnya berpanjangan emak Elfion menjadi serba salah dalam tindakannya;

"Em, bolehkah kamu masuk rumah kami?"
"Minta maaf, boleh makcik," kami menjawab.

Sebuah altar patung Jesus yang besar memenuhi sebahagian ruang tamu. Tiada masalah.

Dukacitanya emak Elfion memaklumkan yang beliau tidak berada di rumah. Beliau telah keluar bersama ayah kerana telah lama menunggu kami sejak petang. Lebih menyedihkan, beliau keluar ke rumah nenek beliau yang baru meninggal dunia pada pagi tersebut. Salah timing. Kami terpinga-pinga sebentar dan meminta izin bermesyuarat mengatur perancangan alternatif. Solat mesti didahulukan.

"Surau kat depan jalan depan tu, dekat cabang. Macam tak pernah buka je, mungkin kamu kena pergi ambil kunci dengan kakek, orang Jawa yang tinggal kat hujung jalan tu."

Patut pun orang bukan Islam tak kenal Islam walaupun duduk sekampung dengan orang majoriti Islam. Surau pun tak hidup. Kami mencuba nasib. Alhamdulillah, surau tak berkunci. Cuma seolah-olah sudah bertahun ia tidak dikunjungi oleh makhluq selain jin. Tidak hairan emak Elfion tidak yakin ia masih digunakan. Selesai solat dan berbincang, kami mengambil keputusan menziarahi Elfion di rumah neneknya. Ziarah sekadar melepas rindu dan bertanya khabar. Emak Elfion meminta anaknya Stanley, abang kepada Elfion menemani kami menjadi penunjuk jalan, tetapi beliau terpaksa mengahdiri kelas komputer.

"Makcik boleh temankan kamu untuk tunjuk jalan, tapi.....takpe ke kalau makcik naik kereta dengan kamu?" tiba-tiba emak Elfion mencelah. Aduh, terkena lagi.

"Boleh makcik. Tiada masalah." Kami menjawab pantas.

"Nanti kami balik sini dengan suami makcik, sebab kampung nenek dekat jalan menghala ke KK," beliau menyambung.

"Em, macam mana kalau kami bawa makcik dan Elfion beli barang-barang keperluan dulu, baru kami hantar pulang ke rumah?" Terdetik idea di kepala saya setelah terbayang tiga beranak itu terhimpit menyabung nyawa menunggang sebiji motosikal. Kerana kami dimaklumkan tadi, itu sahaja kenderaan yang mereka ada. Beliau mengangguk. Kami lega.

20 minit kemudian, kami tiba ke destinasi dan kelihatan Elfion menunggu di tepi jalan. Alhamdulillah, wajah beliau sedikit berisi, dan beliau jelas kelihatan lebih sihat daripada sebelumnya, walaupun terpaksa menelan enam biji ubat berbeza setiap hari, yang tanpanya jantung beliau boleh tersumbat dan berhenti berfungsi. Beliau memilih untuk berhimpit dengan emaknya di depan, segan mahu duduk di belakang bersama kami. Tetapi di Giant, beliau lebih ramah, memilih itu dan ini untuk dibeli. Memang kehadiran kami dan sumbangan orang ramai tidak sia-sia. Nyata masih banyak keperluan sekolah beliau yang masih belum lengkap, daripada kasut sekolah sehinggalah ke alat geometri. Akhir sekali beliau membeli sebuah jam tangan, dan sebuah cap untuk abangnya. Beliau tersenyum puas.

Sebelum menghantar mereka pulang kami menyinggah di restoran untuk makan malam. Di situ ibunya merungkai satu-persatu permasalahan yang dihadapi mereka sekeluarga, dari perihal Elfion yang masih sakit dan lemah terpaksa berjalan kaki separuh perjalanan untuk sampai ke sekolah, anaknya yang ramai masih belajar dan kerjanya di sebuah kilang kayu. Itu yang paling menjengkelkan, kisahnya bagaimana kerja penat lelah seharian hanya dibayar RM16 sehari, beliau hanya dibenarkan bekerja 4 hari seminggu kerana 'kejatuhan ekonomi dunia', di mana salah satu daripada hari tersebut beliau terpaksa mengambil cuti untuk pemeriksaan mingguan Elfion di hospital. Bukan beliau sahaja, yang telah bekerja selama 10 tahun di kilang tersebut, malah ada segelintir pekerja yang telah berusia 60 tahun ke atas pun, mendapat gaji yang sama! Gaji mereka tidak boleh melebihi RM450 sebulan, belum ditolak barang dapur yang mereka ambil dari kilang, kos pengangkutan pergi-balik ke tempat kerja, bayaran sewa jika tinggal di kuarters kilang, dan potongan RM200 untuk memperbaharui permit pasport bagi pekerja asing! Lebih menjelikkan, mereka pernah diberitahu yang nilai satu kontena kayu yang diproses dan dieksport ke luar negara sahaja sudah cukup untuk membayar gaji mereka sebulan, dan sdalam sehari, kilang tersebut mampu menghasilkan sekurang-kurangnya LIMA kontena kayu untuk dieksport!

Awas, kami akan menyelidiki perkara ini dan mengesahkan kesahihannya. Dan kami bukan spesies menerima duit kopi seperti pegawai badan buruh dan lain-lain pegawai korup yang memantau di sana!

Sementara itu, Elfion dan keluarga, bersabarlah. Hidup mesti diteruskan!
p/s: Penulis meminta maaf kerana tidak dapat melampirkan koleksi penuh gambar, yang dipadam secara tidak sengaja. Penulis juga merakamkan jutaan penghargaan kepada PSS Cawangan Labuan yang mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan kakak Elfion dan anaknya yang berada di Labuan. Tahniah PSS Labuan!

Friday, March 6, 2009

Kempen Selamatkan Aqidah


Maksud firman Allah SWT:
“... dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” (Al-Baqarah:217)

Jumaat lepas kami menunaikan Solat Jumaat di Kampung Kobuni, Inanam. Kehadirannya seperti biasa tidak mencecah 35 orang. Apapun usaha Persatuan Siswazah Sabah (PSS) memohon dan memastikan Solat Jumaat dibenarkan untuk dilaksanakan di sini adalah usaha yang harus dipuji. Kalau di kampung sendiri pun Solat Jumaat tidak dapat pergi, masakan kalau dibuat di tempat lebih jauh lagi dapat dilaksanakan?

Minggu ini masuk minggu ketiga solat Jumaat dilaksanakan di kampung ini. Seusai solat, seperti biasa kami duduk berbincang isu-isu semasa bersama penduduk kampung. Dari isu kerajaan Perak, Elizabeth Wong, sampailah ke isu evergreen, khususnya di Sabah. Isu murtad. Pengislaman beramai-ramai zaman USNO di bawah Tun Datu Mustapha sekitar tahun 1975 untuk membolehkan Islam dijadikan agama rasmi negeri Sabah, tetapi tidak ada susulan pendidikan Islam kepada suadara baru menyebabkan banyak paksi Islam yang belum sempat ditanam kemas tercabut dari hati penganut.

Isu murtad bukan isu kecil. Ia melibatkan aqidah, penukaran terus akar dan pasak kepercayaan dan gugur keyakinan dari keimanan yang tunggal. Jangankan yang murtad, yang mengaku Islam pun kang kali kung. Tidak pernah solat, tidak menutup aurat, tidak kenal pun Islam. Anak-anak di sini, diajar solat, disuruh rukuk, mereka membuat gaya orang sedang menghisap rokok. Rokok je mereka pernah dengar. Rukuk? Tak pernah!

Paling menyedihkan, isu murtad bukan berlaku di tempat yang sayup-sayup, tak tercapai oleh mata telinga. Ia berlaku di laman rumah kita sendiri! Penduduk Kg. Kobuni menceritakan bagaimana di Kg. Kionsom Kecil, yang baru didiami oleh 8 buah keluarga, salah satu daripadanya telah murtad! Kes biasa-suami Islam, isteri ikut masuk Islam untuk kahwin, cerai, isteri murtad bersama anak-anak. Begitu juga dengan beberapa keluarga lain di situ, sedang keluarga-keluarga yang lain sentiasa terdedah kepada ancaman yang sama, ekoran banyaknya gereja dan hebatnya gerakan Kristianisasi di situ! Lapar? Kesian. Nah kami beri duit poket bulanan. Beras nak? Sardin perlu? Ish,ish..teruk juga kehidupan kamu ni. Orang Islam tak tolong? Kesian. Ramai macam kamu ni. Apa kata kita pergi jumpa kawan-kawan Ahad ni, bincang-bincang. Kat bawah tu je, dekat je. Ya, gereja tu. Penduduk bersungguh-sungguh mengharapkan supaya sekurang-kurangnya sebuah surau kecil dapat dibina di situ, selain kes murtad tersebut dirujuk kepada pihak sepatutnya. Bukan mereka tidak melakukan apa-apa, aduan telah dibuat kepada pihak JHEAINS, tetapi tidak ada tindakan diambil. Ah, orang-orang tua dari kaki gunung ini, abaikan sahaja..Bukan dia dapat menjejaskan apa-apa..

Sudahlah asyik melontarkan simpati berterusan kepada anak-anak Palestin yang kelaparan dalam peperangan, kerana mati mereka dalam keimanan. Usahlah sibuk membicarakan kemanusiaan dan kezaliman, kerana pergi mereka mendampingi Tuhan. Susukan dulu anak di halaman, sebelum menyusu kera di hutan, kerana tanpa susu, anak itu mungkin mati dalam kekufuran!

(PSS akan mengadakan ziarah ke Kampung Kionsom Kecil bertemu Ketua Kampung dan membincangkan masalah-masalah yang membelenggu penduduk di sana, menyampaikan tajaan Set Selamatkan Aqidah daripada anda, dan mengusulkan kepada JHEAINS supaya diberi peruntukan membina surau di sana dalam masa terdekat. Kami juga mengalukan sumbangan berbentuk kewangan atau bahan makanan.)

Maklumat lanjut di : nurilhakim.blogspot.com

Tuesday, February 24, 2009

Lagi PCP di SMK Badin!!!

20 Februari, Tuaran - Berikut adalah gambar sekitar Program Celik Palestin (PCP) yang dianjurkan oleh Skuad Celik Palestin PSS (SCPPSS) di SMK Badin, Tuaran...


Sumber ~ http://siswazabah.blogspot.com/

Saturday, February 21, 2009

PCP ke SMK Bandaraya...



16 Februari - Program Celik Palestin (PCP) yang dianjurkan oleh Skuad Celik Palestin PSS (SCPPSS) di SMK Bandaraya, Menggatal berjaya membuka mata pelajar-pelajar asrama tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku di Palestin, khususnya Semenanjung Gaza. Program ini, yang merupakan siri ke 5 setelah dilaksanakan di sekolah Maktab Sabah, SMK Tamparuli, Kg Kindu dan Kg Bangka-Bangka yang mengambil masa kira-kira 1 jam sahaja, dan diisi dengan tayangan dan penerangan oleh ahli SCPPSS.

SCPPSS, yang diketuai oleh Setiausaha PSS, Saudara Fairuz Bend dan dianggotai oleh Saudara Al-Amin Dato' Utoh Said, Saudara Renifezri Mohamed dan beberapa ahli lain, ditubuhkan sejak bermulanya siri serangan terbaru ke atas Palestin hujung tahun lepas. Skuad ini berharap agar dapat bergerak aktif dan memberi penerangan tentang isu Palestin yang merupakan isu aqidah dan isu manusia sejagat, selain melancarkan kempen boikot barang Israel dan promosi barangan alternatif.


PCP di SMK Tamparuli...



22 Januari - Program Celik Palestin (PCP) yang dianjurkan oleh Skuad Celik Palestin PSS (SCPPSS) di SMK Tamparuli, Tuaran berjaya membuka mata pelajar-pelajar asrama tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku di Palestin, khususnya Semenanjung Gaza. Program ini, yang merupakan siri ke 2 setelah dilaksanakan di sekolah Maktab Sabah mengambil masa kira-kira 1 jam sahaja, dan diisi dengan tayangan dan penerangan oleh ahli SCPPSS.


SCPPSS, yang diketuai oleh Setiausaha PSS, Saudara Fairuz Bend dan dianggotai oleh Saudara Al-Amin Dato' Utoh Said, Saudara Renifezri Mohamed dan beberapa ahli lain, ditubuhkan sejak bermulanya siri serangan terbaru ke atas Palestin hujung tahun lepas. Skuad ini berharap agar dapat bergerak aktif dan memberi penerangan tentang isu Palestin yang merupakan isu aqidah dan isu manusia sejagat, selain melancarkan kempen boikot barang Israel dan promosi barangan alternatif.

Sunday, February 15, 2009

Tahniah PSS Labuan!!!

Labuan – Tahniah diucapkan kepada Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Cawangan Labuan kerana telah berjaya menganjurkan ‘Kem Intelek Madani 09’ iaitu sebuah program yang dirangka khusus untuk pelajar sekolah menengah sekitar Labuan. Program selama 3 hari 2 malam ini telah diadakan pada 13 hingga 15 Febuari bertempat di SMK Lajau. Seramai 45 orang pelajar tingkatan 4 dari 9 buah sekolah sekitar Labuan telah hadir dalam kem ini.

Objektif utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran Islam kepada adik-adik peserta dalam menghadapi serangan akidah dan pemikiran yang semakin parah dalam kalangan muda-mudi hari ini. Selain itu, turut hadir dalam program ini juga ialah Setiausaha Persatuan Siswazah Sabah (PSS). Tahniah diucapkan sekali lagi kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Mudah-mudahan program ini mencapai objektifnya dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT...

Thursday, February 12, 2009

PCP Buka Mata Penduduk Kg. Kindu


9 Februari 2009 - Program Celik Palestin (PCP) yang dianjurkan oleh Skuad Celik Palestin PSS (SCPPSS) di Kampung Kindu, Tuaran, berjaya membuka mata penduduk tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku di Palestin, khususnya Semenanjung Gaza. Program ini, yang merupakan siri ke 4 setelah dilaksanakan di beberapa buah sekolah dan kampung lain, disasarkan kepada golongan remaja dan kanak-kanak, mengambil masa kira-kira 1 jam sahaja, dan diisi dengan tayangan dan penerangan oleh ahli SCPPSS. Seramai hampir 35 orang penduduk memeriahkan PCP Kg. Kindu melibatkan pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat. Program-program susulan KRU akan diadakan di sana setiap Isnin malam Selasa.

SCPPSS, yang diketuai oleh Setiausaha PSS, Saudara Fairuz Bend dan dianggotai oleh Saudara Al-Amin Dato' Utoh Said, Saudara Renifezri Mohamed dan beberapa ahli lain, ditubuhkan sejak bermulanya siri serangan terbaru ke atas Palestin hujung tahun lepas. Program ini bermula dengan siri I yang telah diadakan di Maktab Sabah, diikuti dengan SMK Tamparuli dan seterusnya Program Qiamullail Masjid Tuaran. Skuad ini bergerak aktif memberi penerangan tentang isu Palestin yang merupakan isu aqidah dan isu manusia sejagat, selain melancarkan kempen boikot barang Israel dan promosi barangan alternatif.

Mereka yang berminat untuk menganjurkan Program Celik Palestin di tempat masing-masing secara percuma, samada institusi pengajian tinggi dan rendah, kampung atau kelompok masyarakat tertentu, dialu-alukan menghubungi Saudara Fairuz di 0138742232. PCP seterusnya akan diadakan di Surau Kampung Bangka-Bangka, Kingfisher pada malam ini, selepas Isya'.

p/s : Terima kasih kepada Saudara Ali (gambar paling bawah) yang banyak membantu berkempen mengumpulkan orang kampung menghadiri PCP Kg. Kindu!

Thursday, January 29, 2009

Satu Lagi Ujian Buat Mujahidin PSS!!!

Kota Kinabalu, 28 Januari - Baru sahaja dikejutkan dengan kemalangan saudara Zulhusmie pada 11 Januari yang lepas, kini seorang ahli Persatuan Siswazah Sabah terlibat dalam satu kemalangan. Beliau yang dimaksudkan ialah saudara Kasman Karate yang berasal dari Tawau dan masih menuntut dalam tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Alhamdulillah, beliau tidak mengalami kecederaan yang serius. Namun difahamkan juga terdapat tulang yang patah pada jari tangan sebelah kiri dan beberapa jahitan di bahagian muka dan lutut beliau. Sekarang ini beliau di tempatkan di Sabah Medical Centre (SMC) tingkat 6 bilik 622. Justeru, kepada sesiapa yang masih belum melawat bolehlah berbuat demikian mudah-mudahan dengan kehadiran kalian dapat memberikan beliau semangat untuk menghadapi ujian yang sedang beliau tempuhi ini. Akhir kalam, marilah kita semua menadah tangan memohon kepada Allah semoga beliau cepat sembuh dan cekal serta tabah menghadapi ujian ini.

Wednesday, January 28, 2009

Program Memperkasa Aqidah 2009




Kota Kinabalu, 24 Januari - Lapan puluh pelajar sekolah menengah terdiri 37 perempuan dan 43 lelaki mengikuti program berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah dengan kerjasama Masjid Nurul Hikmah yang menjadi lokasi program. Pelajar-pelajar berkenaan terdiri dari SM La Salle, SMK Sanzac, SMK Kolombong, SMP Likas, SM Teknik, SM St Peter Telipok dan SMK Tebobon. Terdapat beberapa ceramah berkaitan dengan mukjizat al-Quran, sejarah bible, perbandingan agama Islam dan Kristian dan sebagainya. Selain itu diselitkan juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) untuk memahirkan peserta tentang tajuk yang diberikan.

Fasilitator dijemput khas dari UMS dan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) yang diketuai oleh Sdr Fairuz Bend dan mereka banyak membantu program ini sehingga berakhir dengan jayanya. Program akan ditutup oleh Ust Bungsu Aziz Jaafar selaku Timbalan Pengerusi PUM Negeri Sabah. Mudah-mudahan program seumpama ini akan memberi impak yang baik untuk melahirkan pelajar yang mantap aqidah Islamiyyahnya, kasihkan Allah dan RasulNya serta tidak mudah terpedaya dengan dakyah agama lain yang mengancam umat Islam akhir-akhir ini. Terima kasih kepada semua ahli PSS yang terlibat...

Sumber : http//abunuha.wordpress.com

Monday, January 19, 2009

Malam Bersamamu Palestin!!!


Tarikh : 24 Januari 2009 (Sabtu)
Masa : 8.00 Malam
Tempat : Dewan Saadah, Wisma MUIS

Persembahan istimewa Mu'adz, Tayangan Palestin,
Persembahan Pentomin, Gerai / Pameran
dan banyak lagi...


Anjuran :
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah
dan CONCERN

Dengan Kerjasama :
JAKIM Sabah dan JHEAINS

Semua dijemput hadir bagi menunjukkan rasa kemanusiaan kita
terhadap penderitaan rakyat Palestin

Sumber : www.islamreturn.blogspot.com

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons