PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Thursday, April 30, 2009

Aku Penagih Da....Dakwah!

"Kenapa kau datang program pun merokok?" Abang fasi yang marah bertanya kepada salah seorang peserta.

"Tak boleh tahan bang. Gula-gula habis." Peserta menjawab sambil tertunduk.

Abang fasi mengeluh. Penagih rokok. Nak dimarah hilang peluang mentarbiyyah. Nak dibiar takut makin parah. Akhirnya terpaksa mengalah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Bang, saya ada satu masalah. Saya tak boleh tunduk kalau tengok perempuan cun. Lagi-lagi kalau seksi, mesti nak pandang. Kalau limpas naik motor, konfem saya akan hon..Tak boleh buat apa bang, mesti nak buat jugak.." seorang lagi peserta mengadu. Zass..kes lain pula. Penagih perempuan cun.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Kenapa kau datang program qiam ni, tak bosan ke tiap-tiap bulan datang qiam? Pastu bulan depan pergi program Kem Remaja Islam pula, tiap-tiap malam ikut abang pergi bagi kuliah, tak pandai boring ke?" Abang lain pula mengacah madhu'unya.

"Tak pula bang. Seronok. Kalau tak pergi program-program ni rasa macam ada yang tak kena. Ni kan jihad bang!" Adik yang baru 3 bulan mengenali Islam menjawab lancar. Alhamdulillah. Penagih dakwah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hendak mencari orang untuk dibentuk tidak susah. Ramai yang ingin mengenali Islam. Ramai yang ingin menjadi baik. Ramai yang suka berprogram. Tetapi untuk mencari orang yang mampu istiqamah menjadi generasi penerus dakwah agak sukar. Kerana gilakan program sahaja tidak cukup. Mahukan perubahan sahaja tidak memadai. Hendakkan keseronokan semata-mata lebih jauh lagi. Tetapi sifat ini hanya boleh dipupuk dalam diri, generasi ini hanya boleh berterusan dibentuk dengan melahirkan ketagihan. Ketagih dakwah.

Kecenderungan untuk menjadi penagih memerlukan beberapa perkara, samada yang perlu diletakkan dalam diri atau yang diserap ke dalam mata rantai perjuangan;

1. Mempunyai matlamat yang benar
Generasi pendakwah perlu difahamkan yang perjuangan ini adalah atas dasar aqidah Islam, kerana itu ia tidak boleh ditidakkan. Ia mesti diteruskan sampai Islam kembali ke tempat asalnya, biar berdepan mehnah dan cabaran, di waktu sukar dan senang. Bentuk kefahaman melaui slogan yang biasa dilaungkan, Allah Matlamat Kami, Quran Panduan Kami, Rasulullah Ikutan Kami, Syahid Cita-Cita Tertinggi Kami.

Salah seorang dai'e projek PSS, Saudara Misran (berbaju biru). Bila difahamkan tentang perjuangan Islam, kesungguhan anak muda ini belajar menakjubkan. Daripada tidak kenal huruf, beliau mengambil masa tiga bulan dengan diajar sebanyak tiga kali sahaja, selebihnya beliau berusaha untuk belajar sendiri untuk menghabiskan kesemua Iqra' dan tamat 30 juzu' Al-Quran! Daripada seorang yang 'bisu', beliau kini boleh menjadi pengacara majlis sehebat murabbinya, Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS. Ini contoh potensi anak Sabah, yang tidak pernah diajar solat dan syahadah, malah hidup dalam persekitaran arak dan judi!

2. Mempunyai guru dan sahabat-sahabat yang baik
Penulis dikelilingi oleh ramai pendidik dakwah tempatan yang mengajar kaedah dan cara menagih di tempat orang secara berkesan dan agresif. Samada yang berbangsa Bugis 1 & 2, Bajau 1 & 2, dan Dusun, samada secara langsung atau telah membentuk rangka kerja dan emosi untuk bergerak di dalam masyarakat, membangunkan kecelikan agama dan ilmu. Sahabat-sahabat yang baik juga amatlah perlu, yang berfungsi sebagai teman sejati perjuangan, dan sekaligus memainkan peranan sebagai guru-guru jurudakwah. Selain itu, penagih perlu banyak belajar daripada alam dan pengalaman, melalui daya pemerhatian, penganalisaan dan penyerapan yang tinggi.

3. Mempunyai landasan atau platform untuk bergerak
Bergerak seorang diri mudah mematikan perjuangan, samada mengalami halangan kewangan, tenaga, masa atau motivasi. Justeru bergerak dalam gerakan Islam atau organisasi sangat penting, samada dalam persatuan bukan kerajaan seperti Persatuan Siswazah Sabah, JIM, ABIM dan sebagainya atau parti politik seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

4. Jadualkan gerakerja anda
Orang yang bersistem perlu mempunyai jadual. Jadual melahirkan rasa tanggungjawab dan membolehkan masa diurus dengan lebih baik. Buat jadual berkala mingguan, susun perancangan kuliah, tazkirah, program secara tetap dan masukkan aktiviti atau program khusus di selang masa yang ada. Nah, tak ikut dosa!

5. Letakkan diri anda dalam posisi penting
Menjadi ahli biasa dalam persatuan melahirkan 'mindset' ambil ringan dan tidak kisah. Kita tidak mengajar pejuang Islam mengejar jawatan, tetapi kita mahukan ahli yang 'segak macam Presiden, bekerja macam Setiausaha Agung dan bergaya macam Bendahari Kehormat.' Dan yang paling penting, berfikiran seperti wakil rakyat dan Perdana Menteri.


Di Masjid Kampung Likas, terdapat seorang pakcik Pakistan yang telah menjadikan kerja menyusun selipar ahli jamaah masjid dan 'memusingkan'nya supaya jamaah mudah menyarungkannya dan bergerak pulang sebagai agenda kecil yang dimasukkan ke dalam jadual hariannya, sekaligus melantik dirinya sebagai 'penyusun selipar rasmi masjid'. Agenda kecilnya pasti dipandang mulia oleh Allah dan dihitung sebagai pahala free yang diperolehi setiap hari.
Pakcik ini penagih pahala!


6. Wujudkan 'networking' yang baik
Rangkaian dan hubungan yang baik dengan banyak pihak di pelbagai lapangan dan status jawatan memberi banyak kelebihan. Antaranya ia dapat memudahkan gerakerja dan memudahkan pengurusan program, selain menjadi saluran dana yang baik. Selain itu, banyak gerakerja seperti pelaksanaan program, menguruskan kes-kes khidmat masyarakat dan sebagainya datang daripada rangkaian tersebut, justeru memastikan langkah dan pergerakan tidak terhenti.

Seberapa banyak pun panduan yang diberikan, yang paling penting pada seorang pejuang ialah rasa kebersamaan dan keterikatan dengan Allah melalui amalan rohani, keikhlasan dan niat yang suci murni, kerana dengan usaha apapun, akhirnya yang menentukan jatuh bangun dan penerusan ketagihan dakwah, ialah Allah Ta'ala.

Wednesday, April 22, 2009

Destinasi Cinta Yang Satu

Kalam ini ditujukan KHAS buat Abang, kakak dan sahabat-sahabatku dalam PSS.. Juga buat adik-adikku yang tercinta dalam oragnisasi KRU.. Bacalah..

Refleksi kisah BENAR:

Malam semakin larut..

Jus epal yang diminta sejak tadi tak tersentuh.. Dah hilang aura sejuknya dek kerana pemintanya terlalu khusyuk ber’perang’.. Entah apa yang terlalu penting sangat sehingga air sesedap itu tidak tersentuh. Ligat akal yang memikir membunuh nafsu minum seketika..

Saya masih tercongok.. Sekejap mengalih punggung ke kiri sekejap ke kanan mencari keselesaan.. Hmmm.. Bilalah meeting budak-budak nie nak habis??—mungkin Pakcik empunya restoran bermonolog seperti itu. Sabar ye Pakcik..

Dalam kesuraman malam dan cahaya limpah restoran pekan T**ran, saya amati wajah manis Abang Pai yang menahan kepenatan dan serangan mengantuk.. Pening barangkali dengan soalan-soalan Amin yang masih galak sejak tadi..

Menyoal supaya brainstorming yang dibuat betul-betul matang.. Agar rencana tidak lari dari matlamat asal!

Ana cadang.. Lepas KRIS nie kita tubuhkan satu skuad pelajar.. Biar adik-adik boleh bekerja ‘as a team’ dalam tue.. Then, kita pula senang nak atur dan bimbing.—Saya mencadang..

Iye?? Sejauh mana praktikalnya?—Amin memprotes. Amin memang macam nie.. Asyik-asyik jadi pembangklang dalam syura.. huuu.. Tapi memang perlu jadi pembangkang.. Check and balance!

Abang rasa.. Abang setuju denagan cadangan Zul tue.. Kita cuba dulu. Kalau tak cuba, mana mungkin nak tahu praktikal atau tidak. Kalau kita tengok PERPPIS, diorang ‘kuat’ sebab ada stand..—Yess.. Abang Pai bagi sokongan.

Haa Min.. Macam mana?? Dah 2-1 sekarang nie.. Kire enta kalah dah..—Sengaja saya memprovok Amin. Saya seronok “BERGADUH” dengan Amin..

Mana boleh.. Enta main ‘rasuah’ abang Pai.. Tak fair la..

Tapi. Ana setuju juga.. Cumanya kena fahamkan sahabat-sahabat lain.. Takut ramai yang membangkang.. So, automatik enta dan abang Pai kalah!—“BERGADUH” kerana mencari jalan yang terbaik dialu-alukan.. Bila dah jumpa jalan, terimalah.. Tiada kalah atau menang.. Macam Amin.. Dia tak rasa ‘kalah’.. Bahkan boleh terima cadangan dengan senang hati.

Itu “PERGADUHAN” yang sepatutnya.. Kita faham dan tahu kenapa perlu “bergaduh”.

Ok. Kalau semua orang dah setuju ‘jalan nie’.. Kita proceed ye.. So, ana cadangkan skuad pelajar tue kita panggil KELAB REMAJA UKHUWWAH (KRU)—Saya cuba menggulung supaya ketemu ending meeting.. Kalau tak, sampai pagi duduk sini. Kang Pakcik restoran halau guna penyapu, baru tahu..

KRU?? Macam apelah.. takde yang lebih sesuai ke?—Opss.. Sekali lagi Amin jadi pembangkang.. Kena “BERGADUH” lagi?

Ok.. Enta ada cadangan lain? Kalau ade yang lagi best.. Ana ok je.. Betul tak Abang Pai?—Kadang-kadang ada jalan untuk mengelak “bergaduh”.. So, pandai-pandailah faham.. Part mana yang perlu “bergaduh”.

Hehe.. Takdelah pula.. Ok je kot. KRU pun sedap ape..See.. Bila kita raikan orang.. Semuanya jadi OK.

“Demi Allah! Kami bersaksi atas nama Allah dan Rasulnya Muhammad, ikatan CINTA ini sentiasa dipelihara sehingga akhir hayat!”!.. Terkedu saya dengan bai’ah (akur janji) yang dilafaz pada malam itu..

Dahlah di depan jus epal!

Destinasi Cinta

Dalam ‘rumah tangga’ dakwah, tidak dinafikan kadang-kadang badai datang menerpa.. Apatah lagi bila badai itu menjelma dari wajah dan rupa sahabat sendiri.. Sahabat yang sebelum ini punyalah cinta dan sayang kepada kita tiba-tiba bermasam muka tanpa memberi sebab musababnya..

Itu natural dalam ‘rumah tangga’. Kata orang, hujan renyai-renyai di kala mentari terik atas kepala! Di kala suatu ‘family’ membesar, maka semakin banyaklah karenah dan karakter orang yang ada dalamnya.. It is a law of the nature..

Cumanya.. Bila orang-orang yang hadir dalam ‘rumah tangga’ tadi tidak cuba MEMAHAMI mengapa mereka ‘bercinta’ itu yang menjadi masalah..

Cinta dalam ‘rumah tangga’ dakwah sebenarnya lebih KOMPLEKS dari cinta rumah tangga sepasang suami isteri.. Iya.. Kira sahaja berapa orang yang terlibat.. Bukan dua orang.. Kalau rumah tangga biasa—Suami dan isteri, 2 makhluk je.. Paling ramai pun, 5 orang.. Suami yang kahwin empat!

Bang.. Saya rasa sahabat-sahabat lain macam takde ukhuwwah la..—Getus seorang junior dalam program.

Kenapa pula?—Saya cuba melayani seperti biasa.. Nie mesti badi selepas ‘DIHENTAM’ habis-habisan time meeting semalam oleh beberapa orang AJK lain.. Dahlah AJK muslimat pula tue yang hentam.. Siapa yang tak rasa down..

Abang tengoklah semalam.. Ana kan PIC program nie.. Tetiba diorang tak boleh follow cadangan ana.. lain kali takyah la lantik ana jadi PIC!—Dah agak dah.

Hmmm..—Saya tersenyum seketika sambil melihat wajahnya yang suci dan kudus itu. Adik ini harapan! Jangan perkara sekecil macam nie boleh ‘mematikan’ semangat dia.. Macam mana nak jawab ye.. Saya pun dah ketandusan idea..

Nielah masalahnya bila “bergaduh” tapi tak sedar bergaduh untuk apa..

Enta sayang sahabat-sahabat lain tak?—Soal saya perlahan..

Sayang.. Mesti sayang..

Sayang sebab apa? Kenapa beria-ia sangat nak sayang?

Eh bang.. kan sahabat tue teman berjuang.. kalau tiada sahabat, masakan kita mampu berjuang seorang-seorang.. Nabi pun ada sahabat berjuang.—Alhamdulillah.. Teori ASAS bersahabat sebenarnya ramai yang dah faham..

Tapi, sayang sahaja tak cukup. Sayang kerana ‘berjuang perlukan sahabat’, itu sayang kerana KEPERLUAN semata.. Bila perlu semua orang boleh sayang.. Bila suami perlu isterinya, jangan kata sayang.. mati pun dia sanggup!

Tak faham..

Maksud abang.. Dalam kita ‘berumah tangga’.. Upgrade lah level sayang sesama sahabat.. Jangan sayang bila perlu sahaja.. Bila kita nak buat program barulah kita nak sayang. Contohnya dalam kes enta.. Bila enta PERLUKAN sokongan sahabat-sahabat lain, kemudian bila mereka tidak memberikan ‘keperluan’ itu.. Enta rasa apa??

Kalau sayang enta berkurang.. maka, betullah.. Enta sayang kerana hanya memenuhi tuntutan ‘berjuang itu PERLU sahabat’. BERUKHUWWAH atas dasar memenuhi tuntutan KEPERLUAN sahaja..

Hmmm...—Panjang keluhan dia.. Mungkin tengah berfikir dalam.. Sedalam maksud yang saya cuba sampaikan. Saya pun sebenarnya ‘berumah tangga’ tak sebaik seperti kata-kata yang diungkapkan dari mulut. Masih dalam proses upgrading!

Macam mana nak upgrade?—Soal dia setelah lama termenung..

Faham akan destinasi kita.. Destinasi kenapa kita ‘bercinta’ pada jalan ini..—Mungkin ayat saya terlalu sastera barangkali.. Tapi, menguntum bunga kata itu sebenarnya perlu. “Tarikan seri kuntum bunga itulah yang menyebabkan orang datang mencium bunga.. Lantas barulah wanginya dapat dirasa!”

Kita BERJALAN BERSAMA menuju Pencipta.. Dia “destinasi cinta” kita.. Alangkah indahnya kita dapat berjalan ‘beramai-ramai’ ke arahNya sambil berpegangan tangan.. Pasti Dia pun sukakannya..

Bila kita berfikir seperti ini.. Ia bukan lagi atas sebab keperluan.. Bahkan berukhuwwah itu menjadi kelazatan walau macam mana pun keadaanya.. ‘Lazat’ bagi mereka yang bercinta dan yang menerima cinta.. Allahlah yang menilai cinta kita.. Cinta ini juga kerana Dia.. Betul tak?

Hmmm—Sekali lagi dia mengeluh.. Harapnya keluhan itu menjanjikan inti kefahaman dan bukannya bebanan fikir atas sebab jawapan saya yang terlalu deep. Harapnya begitu..

Kunang-Kunang malam..

Kerdipan cahaya oleh si kunang-kunang malam seolah seperti kerlipan nyala discas elektrik dari satu mesin yang ada ‘rosak’nya.. Nampak macam api yang kecil sahaja.. tapi..

Tapi bila ia dibiar, kata para Jurutera Elektrik ia akan menghasilkan flashover yang dinamakan sebagai breakdown phenomena. Kilatan yang besar sehingga meranapkan mesin yang jutaan harganya!

Mula-mula tadi nampak kecil sahaja bukan.. Macam besar kerlipan kunang-kunang sahaja.. Tapi, jika tidak diatasi cepat-cepat, jangan menyesal perencanaan dakwah yang sebegitu baik selama ini akan musnah dan berantakan.. Atas sebab tangan-tangan kita sendiri! Na’uzubillah..

Semua anggota ‘rumah tangga’ sepatutnya faham akan posisi dan batasan masing-masing.. Ada yang jadi cucu-cucu, anak-anak, bapa-mama, pakcik-makcik, nenek ataupun datuk.. maka hormatilah kedudukan setiap ahli ‘rumah tangga’..

Saya selalau mengingatkan kepada diri dan adik-adik.. Memadailah dengan anda tidak memanggil senior itu sebagai ABANG atau pun KAKAK, anda sebenarnya sudah mencemari sentosa ‘rumah tangga’ ini!.. Fikir-fikirkanlah... Bukan bermaksud untuk membuat seolah sistem kasta dalam rumah, tapi nilaian hormat dan kasih itu WAJIB disanjung.—Bukalah kitab Sirah, bagaimana sifat ‘merendah dirinya’ Saidina Umar ke atas ‘seniornya’ Saidina Abu Bakar. Dan bagaimana pula sifat ‘bangga sahabat’ akan Saidina Abu Bakar atas ‘juniornya’ Saidina Umar..Renunglah!

Mengapa dikala kita berjalan bersama menuju Destinasi Cinta yang sama, ada lagi dikalangan kita yang cuba bermasam muka.. Mempersoal hasil tangan orang lain tanpa usaha meraih tangan itu untuk dipimpin lalu diajar?

Mengapa juga dikala keseronokan bersama dan ‘kesukaan’ Tuhan melihat kita berjalan bergandingan menujuNya.. Masih lagi ada nada sombong dan ego dalam diri lantas melepaskan pegangan tangan sahabat yang ada disisi?

Mengapa juga bilamana kita berlari-lari keanak-anakan mengejar Destinasi Cinta yang semakin menghampir tiba-tiba masih lagi ada prasangka buruk dalam hati lantas tidak segan-segan membentes sahabat di sebelah sehingga ia rebah mencium tanah! Mengapa?

Maksud di sebalik Refleksi kisah BENAR:

Saya sengaja mengingatkan..

Mengingatkan para jundiyy akan ‘kisah dulu-dulu’.. Betapa KESULITAN dan KEPAYAHAN akan namanya sebuah PERMULAAN.. Agar kisah dulu tidak dilupa, dan pengajarannya diambil.. Mungkin juga imbauan kenangan lama seperti ini bisa menyentuh hati kita semula.. lalu ikatan kita terupgrade.. Siapa sangka?

Saya juga ingin mengingatkan diri dan jundiyy yang lain..

Betapa setiap “pergaduhan” yang dibuat mestilah atas dasar mencari jalan yang terbaik tika menuju destinasi Cinta yang satu. Faham kenapa kita “bergaduh”.. Bukan bergaduh—HATI, tapi bergaduh—AKAL! Ada beza tue..

Saya turut memperingat akan diri sebagai senior mewakili para junior..

Berikanlah ruang percaya kepada adik-adik untuk meneroka jalan.. Mereka sedang memimpin zaman ini maka tidak salah jika ada cetusan idea-idea yang baru.. Masakan proses itu boleh berkembang jika hanya satu jalan sahaja yang diguna pakai.. Yang penting jalan tadi tidak melanggar prinsip!

Dan saya juga sebagai tradisinya selaku senior memberi ingat kepada adik-adiknya..

Peliharalah ‘lazat’ rabitah ukhuwwah ini.. Jangan ada sesiapa yang cuba mencemarnya.. Walaupun saya berada di kejauhan, tapi hati dan telinga saya sentiasa berada di sana.. Peliharalah bukan kerana saya, senior-senior lain atau kerana makhluk.. peliharalah atas dasar KITA berada atas DESTINASI CINTA yang satu! Itulah yang sepatutnya.. Ameen..

Mohon izin untuk saya ulang sekali lagi refleksi tadi..

“Demi Allah! Kami bersaksi atas nama Allah dan Rasulnya Muhammad, ikatan CINTA ini sentiasa dipelihara sehingga akhir hayat!”!.. Terkedu saya dengan bai’ah (akur janji) yang dilafaz pada malam itu..

~Baarakallahufiik.~

myikhwanfiideen

Sang Perantau yang nun di Jauhan.

sumber : http://www.kembarasanghamba.blogspot.com/

Monday, April 20, 2009

7 Remaja Islam Sifar

Selesai Qiyamullail Mingguan KRU Tuaran, saya bergegas ke Darau. Beberapa hari lepas, selepas perbincangan menggunakan premis SAR milik Ustaz Arshad UITM untuk program kaunseling Adik-Adikku Sayang PSS, beliau menceritakan perihal sebuah rumah kebajikan Kristian yang terletak di Darau. Katanya, walaupun rumah tersebut didirikan hasil sumbangan harta warisan RM15 000 oleh seorang wanita Serani budiman dan menekankan kehidupan Kristian, ia turut dihuni oleh 7 orang remaja Islam. Remaja yang mencari tempat berlindung dan berteduh tanpa hasil akhirnya terpaksa menumpang kasih di bawah bumbung agama lain. Yang mengagumkan ialah pihak pengurusan sendiri yang menghantar surat kepada Ustaz Arshad meminta beliau melakukan sesuatu untuk membantu golongan minoriti tersebut.

Sekitar sejam melilau mencari rumah kebajikan tersebut tanpa hasil, akhirnya seorang penduduk tempatan memberi panduan. Motor terus dipecut laju menuju ke tempat yang dikhabarkan. Jam sudah menunjukkan angka 9.30 pagi, lewat sejam daripada masa yang dijanjikan untuk bertemu dengan Ustaz Arshad. Petunjuk yang diberi ternyata betul. Nama rumah kebajikan tertera di pagar masuk. Sekolah Tunas Bakti. Melepasi pondok sekuriti, saya menuju ke pejabat dan menghubungi Ustaz Arshad bertanyakan lokasinya. Jawapan beliau,

"Eh, bukan di situ. Kita di Rumah Kebajikan Bukit Harapan. Ustaz pun dah balik dah ni, lama tunggu kat tepi jalan tadi,"

Kalau anda sampai ke sini..nyata anda telah tersesat

Waduh. Salah tempat pula. Tetapi tidak pelik. Ustaz Arshad memberitahu yang beliau telah mencari, bertanya dan merayau selama dua minggu berterusan mencari rumah tersebut, baru bertemu.

Ustaz Arshad telah melakukan perbincangan dengan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Bukit Harapan, dan mereka mengalu-alukan supaya diadakan kelas untuk penghuni Islam sekali seminggu. Beliau juga sempat bertemu dengan 6 orang daripada remaja Islam tersebut, sementara seorang lagi yang dikatakan menghadapi 'krisis identiti' tidak mahu terlibat dengan pertemuan. Nyata golongan ini bukan sahaja tidak tahu solat, tidak tahu berapa waktu solat, jumlah rakaat dan sebagainya, bahkan tidak pandai mengucap. Sedangkan setiap hari mereka terdedah dengan budaya hidup Kristian. Kalau mereka murtad siapakah agaknya yang akan masuk neraka?

Ustaz Arshad akan menyusun jadual penggiliran pengajar untuk remaja-remaja ini. Pengajar terdiri daripada mahasiswa UITM dan ahli PSS. Islam para remaja ini di tahap sifar. Berapa lama lagikah yang anda perlukan untuk bersifir-sifir sebelum turun ke lapangan membantu mereka?


Ahli PSS Terajui Bidang Perniagaan


Sabtu lepas, premis Sabariah Tailor dengan rasminya mula beroperasi. Sebelum ini bergiat di rumah persendirian, Cik Sabariah telah berjaya membuka ruang sendiri. Anak kelahiran Sandakan ini telah lama menempa nama dalam bidang menjahit, dan berpengalaman menjahit bermacam bentuk baju untuk wanita dan lelaki, termasuk jubah, baju Melayu, Baju Punjabi sehinggalah ke Baju Dusun dan Bajau. Kelebihan businesswoman ini berbanding yang lainnya ialah, beliau akan sentiasa menginfakkan sebahagian hasil keuntungan bulanannya untuk program-program berbentuk Islam. Tentu sahaja pembeli atau penempah akan mendapat sebahagian saham akhirat daripada kebiasaannya tersebut..


Premis Sabariah Tailor terletak di Lot 60. Tingkat 1, Blok H Sulaman Sentral, di blok Pasaraya Lintas, dan di atas Restoran Jutarasa. Tempahan boleh dibuat dengan terus mengunjungi premis, atau dengan menghubungi Cik Sabariah sendiri di 0198310907.

Thursday, April 16, 2009

PSS : Tahniah Shafie Apdal!

Datuk Seri Shafie Apdal, anak kelahiran Semporna kebanggaan Sabah

Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengumumkan barisan kabinet barunya, yang dikatakan meletakkan pilihan rakyat di hadapan. Antara percaturan menarik yang dibuat ialah meletakkan Datuk Seri Shafie Apdal di kerusi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, daripada kerusi asal beliau di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW). Sementara Datuk Seri Dr Rais Yatim menggantikan beliau di kementerian yang makin pelik dan ajaib peranannya, Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan. PSS tidak melihat penggabungan peranan penerangan dan kesenian sebagai sesuatu yang ideal, memandangkan skopnya nyata berbeza dan seolah-olah meremehkan usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat. Mungkin percaturan yang lebih baik ialah penggabungan Kementerian Pertahanan dan Menteri Hal Ehwal Islam. Tetapi bukan ini yang menjadi topik perbincangan artikel ini.

PSS sebagai persatuan bukan kerajaan yang mempunyai matlamat membangunkan anak Sabah baik dari segi sosial, ekonomi, politik, agama dan seluruh aspek lainnya, memandang pelantikan Datuk Seri Shafie Apdal di kerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebagai sesuatu yang sangat baik dan bersifat semasa. Shafie Apdal ternyata pemimpin yang berkebolehan, dan dibuktikan oleh prestasi cemerlang beliau di dalam kementeriannya sebelum ini, misalnya mempromosi hasil kraf tangan tempatan seperti batik ke persada antarabangsa, 'meremajakan' Istana Budaya dan lain-lain. Namun nyata sekali tokoh dari Negeri Bawah Bayu ini punya tanggungjawab yang lebih besar daripada mengenengahkan identiti bangsa, lebih-lebih lagi apabila dikurniakan amanah memajukan kawasan luar bandar.

Masyarakat Sabah khususnya, yang kalau suatu masa dahulu boleh berbangga dengan beliau kerana mendukung identiti negeri Sabah sebagai 'negeri berjiwa seni budaya', kini telah lama celik dan mengharapkan perjuangan yang lebih ampuh dan bermanfaat bagi memastikan kemajuan daripada aspek yang lebih konkrit. Lebih-lebih lagi pengundi dari Semporna yang belum boleh dibanggakan sebagai sebuah daerah membangun di Sabah. Tentu sekali masyarakat tempatan mengharapkan supaya dapat bertentang mata dengan lebih kerap dengan beliau, kerana beliau kini tidak lagi sibuk memperaga batik di pentas dunia tetapi lebih sesuai dilihat bermain lumpur bersama masyarakat kampung, bertanyakan masalah dan membincangkan solusi.

Gerak langkah Datuk dan kesannya kepada pembangunan Sabah dan Malaysia, tentu akan dijadikan penilaian oleh masyarakat Semporna-Sabah, samada Datuk benar-benar pemimpin berjiwa rakyat yang menyelami jerih-perih kami, atau sekadar pemimpin chipsmore yang muncul tatkala gendang pilihanraya didendangkan!

Tahniah Datuk, dan selamat bertugas!

Tuesday, April 14, 2009

Krisis Kg Saab; JHEAINS Pitas Indah Rupa Daripada Khabar!

Muslimat PSS tidak kurang hebat bergerak kerja menangani isu umat

Selesai melaksanakan program selama 3 hari di SMK Pinggan-Pinggan, Pitas, bermula 10-12 April 2009, pasukan Persatuan Siswazah Sabah bergegas ke Kampung Saab yang terletak kira-kira 35 minit perjalanan daripada tapak program. Misi yang didukung cukup besar - memulakan kelas Fardhu Ain di Kampung Saab, Pitas, yang penduduk 'mualafnya' sekitar 18 keluarga dicabar krisis ketandusan ilmu Islam disebabkan tiada pengajar yang sudi berhempas-pulas mengajarkan Alif Ba Ta dan cara berwudhu' [Krisis Kg. Saab] .

Dari kampus ke lapangan umat

Rombongan pertama seramai 10 orang tiba sekitar jam 3.00 petang, lewat sejam daripada masa yang dijanjikan, dan disambut oleh Kak Regina, individu yang asalnya mengutarakan masalah penduduk kepada kami. Perjumpaan yang disangka kecil-kecilan rupanya dihadiri sekitar 30 orang penduduk, termasuk kanak-kanak, yang berhimpit dan berpanas di rumah Kak Regina yang menjadi tempat pertemuan pada petang itu. Kesanggupan penduduk bertahan menunggu di ruang sempit dan sesak menggambarkan betapa semangat meluap-luap mendalami agama yang mereka anuti sekian lama hanya menanti tempat ditumpahkan. Tidak sempat membuka majlis, rombongan kedua sekitar 10 orang, beserta Ustaz Kamal mewakili JHEAINS Pitas tiba di lokasi. Ucapan aluan Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS disusuli Ustaz Kamal, diteliti penuh khusyuk oleh penduduk, disusuli sesi soal jawab dan perkongsian dua hala oleh penduduk dan rombongan PSS.

Setiausaha PSS menjelaskan isu poligami dalam Islam

Setiausaha PSS menyampaikan sumbangan buku dan whiteboard kepada Encik Halim, wakil JKKK yang juga baru memeluk Islam

Pertemuan tersebut berjaya menatijahkan perancangan pelaksanaan Kelas Fardhu Ain berkala oleh pihak JHEAINS, selain penyerahan sumbangan buku dan whiteboard oleh PSS hasil derma orang ramai kepada penduduk. PSS mengagumi usaha pihak JHEAINS Pitas turun padang meneliti hasrat masyarakat setempat, walaupun difahamkan pihak mereka baru semalam menerima jemputan untuk bersama-sama dengan PSS menziarahi kampung tersebut. PSS menggesa JHEAINS di semua peringkat mencontohi sikap JHEAINS Pitas dan menjadikan tugas sebagai peluang dakwah dan bukan karier semata-mata. JHEAINS Pitas pada hari itu berjaya memadamkan sentimen yang wujud bahawa JHEAINS memandang enteng permasalahan dan kehendak masyarakat Islam di daerah masing-masing.

Ustaz Kamal (berbaju coklat dan berkopiah hitam putih) berjiwa rakyat

PSS seterusnya akan membantu penduduk Kampung Kionsom Kecil, Inanam [Krisis Kionsom Kecil] mendapatkan surau dan menghidupkan kelas pengajian agama di sana, dan meyakini bahawa perjuangan selama 5 tahun penduduk untuk mendapatkan surau terletak pada kesilapan prosedur atau lain-lain, bukan disebabkan JHEAINS memandang enteng isu aqidah yang berlaku di Kionsom Kecil atau kecuaian JHEAINS mengurus permohonan masyarakat Islam di sana. PSS terus mengharapkan sumbangan orang ramai dalam apa bentuk sekalipun buat membantu perjun

Tahniah JHEAINS Pitas! Satu isu selesai, 99 lagi menunggu!

Sumber : Persatuan Siswazah Sabah & nurilhakim.blogspot.com
Gambar ihsan : Saudara Azizul Julirin

PSS: Menunggu Sirih Pulang ke Gagang

Sebentar tadi sempat penulis menjengah blog beberapa orang aktivis mahasiswa. Penulis terbaca posting daripada seorang anak bumi Sipitang yang sedang menuntut di Semenanjung Malsysia [link]. Penulisannya berbunyi;

Pagi ini, saya sempat bersiar-siar di laman maya dan sempat singgah di blog Persatuan Siswazah Sabah juga Kelab Remaja Ukhuwah..

Subhanallah
, hanya itu sahaja yang dapat saya lafazkan. Seronok melihat pesatnya perkembangan dakwah mereka, juga sedih kerana tidak dapat bersama-sama dengan mereka.

Saya membayangkan, pasti hasil usaha mereka sehingga sekarang ini telah berjaya membentuk sedikit-sebanyak suasana kondusif berteraskan Islam di bumi Sabah. Kalau dinilai dari segi tenaga dan kekuatan, PSS sebenarnya terdiri daripada tenaga-tenaga muda yang masih dalam komitmen belajar walaupun ada senior-senior yang sudah berkerja sebagai pemantau dan ahli syura mungkin. Tetapi itulah uniknya pejuang-pejuang Islam yang ditarbiyah, sanggup berkorban harta, jiwa, masa bahkan apa sahaja untuk Agama Allah.

Saya teringat status Yahoo Messenger seorang sahabat yang mengatakan "Najib hanya layak jadi PM Sabah dan Sarawak". Aduh... rasanya seperti membara juga hati dalam kelucuan. Status YM tersebut sangat jelas memberi gambaran bahawa Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dari sudut pembangunan insan, maksud saya penyebar luasan fikrah Islam sebenar. Kita tidak menafikan Dia (Najib) seorang Perdana Menteri yang baik, kerana dia juga manusia sebenar hanya jika dia benar-benar mengamalkan Islam sebenar...

Hanya saya percaya dengan usaha gigih dari syabab-syabab yang tegar berjihad di Sabah, Allah akan kurniakan nikmat kemenangan itu tidak berapa lama sahaja lagi. Saya yakin itu. Kita tunggu dan lihat kerana kemenangan dan pertolongan Allah itu pasti.

Banyak perkara yang berlaku belakangan ini adakala menjadikan saya sedikit dilanda lemah. Mujur Allah masih sayang pada hambaNya yang satu ini (sebenarnya hamba-Mu ini yang mendamba kasih sayang-Mu, moga kasih sayang-Mu benar-benar sentiasa bersama hamba-Mu ini). Terdetik hati ini untuk membuka blog keduanya PSS dan KRU. Sangat membantu, melihat kegigihan mereka. Kalau mereka begitu teguh dan kuat malah thabat dalam ranjau perjuangan, tidak ada sebab untuk saya membuang masa lemah tidak bermaya. Bukan tidak boleh lemah, tetapi jangan berpanjangan. Kerana itu hanya membantutkan gerak kerja Islam. ..Alhamdulillah...

Ketika saya mendapat tahu seorang sahabat saya dianugerahkan dengan ujian penyakit demam, saya berfikir sendiri, "aik, manusia kebal macam tu pun boleh demam"..Tetapi itulah fitrah manusia. Adakala kita diuji untuk lebih menjadikan kita kuat. Adakala ujian itu mungkin kifarah dosa. Adakala ujian itu sebagai teguran supaya kita tidak terus lalai dan leka. Dan pastinya manusia itu tetap manusia biasa kerana kita adalah hamba,walaupun kita adalah sebaik-baik kejadian.

Apa yang pasti, sekembalinya saya ke tanah air beberapa kiraan hari sahaja lagi (walaupun belum beli tiket sebenarnya) saya sangat berharap untuk dapat sama-sama bersama sahabat-sahabat PSS berjuang di negeri sendiri. Dan apa yang pasti indah dan seronoknya nikmat berjuang di negeri sendiri itu lebih besar, walaupun kita sebagai pejuang tidak boleh memilih tempat untuk berjuang..tetapi saya tetap merasakan keindahan yang luar biasa berjuang di tempat sendiri...

Ya Allah permudahkanlah usaha juang sahabat-sahabatku di sana.. Semoga usaha gigih jihad mereka akan mendapat ganjaran Syurga dan Engkau lindungilah mereka sebagaimana engkau lindungi tentera-tentera Badr. Amin...

Penulis berbesar hati atas penghargaan yang diberikan. PSS bekerja bukan untuk dihargai tetapi kadangkala penghargaan boleh jadi melonjakkan semangat untuk terus berjuang. PSS menanti kepulangan anak bangsa Sabah untuk pulang menerus dan sama-sama mengusahakan dakwah di bumi Sabah. Justeru PSS menyampaikan sebuah pantun bertajuk, 'Menunggu Sirih Pulang Ke Gagang';

Menunggu sirih pulang ke gagang,
Setelah lama dalam perjalanan,
Menunggu pulang seorang pejuang,
Buat berkhidmat di tanah kelahiran.

Menunggu sirih pulang ke gagang,
Menyemai tanah yang kian gersang,
Menambah upaya sang peladang,
Menabur benih di bumi kontang.

Menunggu sirih pulang ke gagang,
Kerana meyakini tanpa secuit ragu,
Hujan emas di negeri orang,
Lebih rela berhujan batu.

Menunggu sirih pulang ke gagang,
Merenung masa depan Sabah gemilang
Mengharap saat Islam terbilang
Tak tercapai selagi,
Anak Sabah terus di bumi orang.

Tuesday, April 7, 2009

FFM di Sabah; Manfaat atau Laknat?


Masih ramai yang belum mengetahui bahawa bulan Ogos ini, tanggal 5-8 haribulan, Sabah dan UMS akan menjadi tuan rumah kepada Festival Filem Malaysia yang ke-22. Secara spontan, PSS tentu sahaja membantah penganjuran festival tersebut, lebih-lebih lagi jika ia diadakan di kampus UMS tercinta. Walaubagaimanapun, sebagai mahasiswa yang dilatih berfikir, PSS memilih alternatif membuat kajian berhubung isu ini guna mengambil kira pandangan semua pihak. Hasil daripada kajian akan kami gunakan untuk membawa isu ini menguasai segenap ruang media massa, agensi badan bukan kerajaan, badan politik dan semua saluran yang ada untuk membawa suara yang telah diresolusikan bersama. Justeru, yang kami harapkan dari pihak pembaca ialah respon dan pandangan berhubung penganjuran festival ini di Sabah dan UMS, bagi membantu kajian kami. Sokongan anda diharapkan, dan didahului dengan lafaz terima kasih.

p/s : Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung FFM, layari [link]

Mahasiswa Berbisa - Katak, Tebuan atau Umang-Umang?


Jumaat malam yang lepas saya berbesar hati dijemput sebagai salah seorang ahli panel Diskusi Ilmiah @ AB anjuran JAKMAS Kolej Kediaman Anugerah Bestari, UMS. Tajuk yang diberikan, 'Mahasiswa Kita Tidak Berbisa'. Duduk sepentas dengan saya ialah mantan YDP Kolej Kediaman AB, Saudara Yusuf [link], yang saya acah-acah sebagai bakal Sasterawan Negara, dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan aktivis mahasiswa, Saudara Hasraa, yang memegang portfolio sebagai Exco Kepimpinan dan Latihan. Pendebat Universiti, Saudara Jass mengemudi majlis pada malam tersebut.

Saya tidak berhajat mengulas satu-persatu persoalan yang dibincangkan, tetapi berhajat besar membawa mahasiswa meletakkan diri sendiri di dalam salah satu kelompok 'mahasiswa berbisa' yang saya definisikan dalam pusingan pertama forum tersebut. Bagi memudahkan pemahaman pendengar, saya menggunakan tiga spesies haiwan sebagai analogi.

1. Katak

Katak yang dikisahkan ini bukan sebarang katak. Tetapi katak ini ialah spesies yang menyerupai katak berbisa untuk menakutkan musuh, walaupun hakikatnya ia tidak berbisa. Katak ini juga kuat memekik dan berbunyi. Ramai mahasiswa tergolong di dalam kelompok ini; kuat berbunyi, tidak berbisa.

2. Penyengat


Penyengat tidak dinafikan sememangnya berbisa. Malangnya penyengat hanya menyengat bila diancam. Tanpa diganggu, ia tidak memberi kesan kepada makhluq lain yang berada di sekelilingnya. Saya mengkategorikan majoriti pimpinan mahasiswa di dalam kelompok ini.


3. Umang-umang
(terima kasih Rimbawan Beriman yang memberitahu saya nama makhluq ini di dalam BM)

Umang-umang adalah spesies hidupan air. Ia mempunyai tentakel yang beracun dan melambai-lambai menunggu pemangsa. Sebaik sahaja pemangsa melintas, tentakel yang berbisa akan melumpuhkannya dan dihadam sebagai makanan. Umang-umang, menyengat untuk makanannya, justeru untuk kemandirian spesiesnya.

Mahasiswa berbisa yang hendak kita bentuk ialah mahasiswa spesies umang-umang. Tidak cukup seseorang mahasiswa hanya bersuara bila diganggu atau bila kepentingannya sahaja terancam. Suara mahasiswa adalah suara rakyat. Tidak memadai mahasiswa hanya bersuara untuk dirinya sendiri. Amat malang jika pembentukan mahasiswa di kampus tidak lebih daripada pembentukan kanak-kanak tadika, yang hanya mampu mengadu pensil dicuri dan dikejar anjing kepada cikgu.

Mahasiswa mempunyai kuasa, dan fungsi pimpinan mahasiswa ialah mencari jalan memperkasakan mentaliti dan keupayaan mahasiswa menyedari dan menggunakan kuasanya untuk melakukan perubahan. Pimpinan mahasiswa bukan objek untuk ditunggangi oleh masyarakat kampus guna menyelesaikan maslah yang dihadapi. Mahasiswa dilatih di universiti menjadi wakil rakyat bukannya rakyat yang bergantung kepada wakil rakyat. Dilatih supaya apabila keluar ke tengah masyarakat dituruti bukan menuruti. Memimpin bukan dipimpin. Mempengaruhi bukan dipengaruhi. Maka peranan mereka yang bertanggungjawab harus diteliti supaya mampu menyengat di luar kampus.

Akhir sekali untuk mahasiswa yang dimomokkan oleh perasaan takut dek himpitan AUKU, sekatan kerajaan dan HEP, media dan kesempitan waktu sehingga menjadi alasan tidak dapat beraksi di lapangan umat, saya menghadiahkan kisah ketua kampung orang asli;

Ada sekali tu ketua kampung orang asli telah dihadiahkan jam dinding oleh pihak tentera kerana menolong mereka dalam operasi. Alangkah bangganya ketua orang asli tersebut bila jam tersebut di gantungkan di depan pintu rumahnya dan orang kampung sering datang melihat jam tersebut seolah-olah barang hiasan kerana mereka pada masa tu tak tahu bagaimana menggunakan jam untuk melihat waktu.

Suatu hari anak ketua kampung tersebut memberitahunya yang jarum jam tu telah berhenti bergerak. Masa tu punyalah ramai anak buah dia kat halaman rumah sedang melihat jam tersebut.

Maka ketua kampung tu pun konon nak tunjuk terrorlah lalu dia pun menurunkan jam tersebut dari tempat penggantungan dan membelek-belek jam tersebut depan belakang. Beliau ternampak tempat bateri jam tersebut dan telah dengan tidak sengaja terkuis bateri itu terkeluar dari tempatnya.

Entah macam mana ada pulak bangkai seekor lipas di celah-celah tempat bateri tu... beliau pun dengan bangganya memberitahu kepada anak-anak buahnya.

"OOOO... patutlah tak jalan drebarnya mati tersepittttt... .!!"

Yang membelenggu pemikiran ialah diri sendiri yang tak mahu belajar dan tak ingin mencuba. Tidak ada kuasa yang mampu menghalang jiwa dan hati yang celik dan kemahuan yang tinggi. Dan tidak ada kemahuan yang lebih hebat daripada kemahuan seorang mahasiswa yang ingin melihat perubahan dalam masyarakatnya.

Apapun, yang menguja saya ialah apabila saya mengakhiri dengan 'yang paling susah untuk berbisa ialah mengambil langkah pertama. Sekarang di bahu saya ada 5 buah kampung sedang menunggu anda, siapa yang bersedia berkhidmat sila berikan nama kepada pelaksana DIMAN', seramai 20 orang mahasiswa menawarkan diri merintis jalan menjadi umang-umang.


Dirgahayu Sabah, tanah juangku!


p/s: Terima kasih banyak juga pada sifu dakwah fardhiyyah yang menghidupkan semula nafas perjuangan saya di Sabah pada malam tersebut ;)

PSS Hadiri 'Merdeka Centre Opinion Group'

Persatuan Siswazah Sabah berbesar hati dijemput untuk bersama-sama menjayakan perbincangan tertutup mengumpul pendapat belia Sabah berhubung beberapa isu dalam dan luar negeri. Turut serta ialah ABIM Sabah, wakil daripada SIFE, St. John dan Pengakap cawangan Sabah (Majlis Belia Sabah). Perbincangan melibatkan 7 orang responden mewakili persatuan bukan kerajaan masing-masing dengan bimbingan seorang moderator dari Merdeka Centre dan seorang pencatat, membicarakan pelbagai aspek termasuk politik, sosial dan ekonomi. Hasil perbincangan amat menarik untuk dikongsi, kerana selain latar belakang organisasi yang berbeza, faktor demografi turut mempengaruhi respon yang diberikan. Apapun, di penghujung pertemuan, wakil dari PSS dapat menyimpulkan bahawa usaha penerangan dan pemahaman terhadap sistem politik negara, latar sosial, kemurnian Islam dan kepentingan anjakan mentaliti penduduk Sabah wajar diperhebatkan untuk melihat Negeri Di Bawah Bayu yang tercinta ini subur oleh kemajuan dunia dan akhirat.

Dari kiri, berdiri : Li King dan Lai Ming (Merdeka Centre), Najar dan Zurayus (ABIM), Jack dan Roy (St. John), Jumadil (MBS), Safwan dan Zoel (SIFE), Khairunnisa' (ABIM).
Wakil PSS - Jurugambar

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons