PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Monday, February 28, 2011

Dimana muslimin??


Alhamdulillah seperti yang direncanakan dalam takwim PSS, meeting MT bersama Exco dua bulan sekali berjalan seperti biasa. Kali ini derap tapak penggeraknya agak kurang kedengaran, mungkin masing-masing sibuk dengan urusan yang lebih besar dari ini.

Isu meeting kali ini agak luar biasa dari selalu. Laporan demi laporan disampaikan dari semua kawasan. Namun nampaknya Tuaran agak gusar dengan penurunan bilangan pemuda harakah yang membantu gerak kerja kawasan terutamanya usrah. Mana perginya pemuda harakah? Adakah muslimin semakin pupus?

Hakikatnya, bukanlah kawasan Tuaran saja mengalami masalah ini, namun, hampir semua kawasan, Muslimin kelihatan kian senyap dan membisu. Malah keadaan ini juga tidak hanya menimpa PSS malah dikampus-kampus mahupun diluar, aktivis dan badan dakwah semakin dipelopori oleh golongan muslimat. Tidak ramai lagi muslimin yang berminat hadir ke program-program Islamik. Ada yang kelihatan tetapi tenggelam timbul, ada juga ikut musim macam buah durian, ada juga yang dijaga tapi disambar helang.

Muslimin oh Muslimin, pemuda harakah, penggerak utama. Bukan muslimat tidak mampu kehadapan namun, perjuangan Islam yang didokong ini perlu diangkat bersama, digalas beban dakwahnya bersama, ditempuh susah senang bersama. Sakit bersama, menang bersama, InsyaAllah akhirat jua bersama.

Jesteru itu, semua tenaga kerja muslimin perlu lebih kuat dalam membawa lebih ramai pemuda turun bersama ke dalam lubuk dakwah ini. Lahirkan sebanyak mungkin pemuda harakah yang berkualiti. Pelbagai usaha yang direncanakan bagi membantu pertambahan Muslimin berkualiti.Semoga usaha-usaha yang dirancang dalam meeting kali ini, mendapat sambutan dari seluruh warga PSS.

Thursday, February 24, 2011

Alangkah....



















Sewaktu menuruni bukit pulang dari tapak program menuju ke Pekan Kundasang tempoh hari kami menyinggah seketika di suatu tempat yang menarik. Tempat tersebut seperti yang dipaparkan di atas. Cantik.

Sewaktu membeli sayur-sayuran sebagai ole-ole untuk dibawa balik.
"Beli cendawan....". Sapa mesra seorang peniaga.
"Dah beli, tapi cendawan yang kami beli lebih kecil". Pantas salah seorang dari kami menyahut.
"O...itu cendawan milik tauke Ah Ling, yang ini milik tauke Ah Chong". Balas peniaga sambil memerhati cendawan yang kami dah beli.
"Wah! Sampai boleh kenal pemilik-pemilik cendawan ni...". Seloroh seorang lagi ahli rombongan.
"Sebab ada tiga saja pembekal cendawan di sini. Ah Ling, Ah Chong dan Ah Moi (Tiga-tiga bukan nama sebenar, tidak ingat).
"Ooooo!!!!!!!!!!". Serentak. Pecah ketawa 'control'. Fikiran melayang.

Sewaktu menjamu selera sepanjang program menu utama, ayam. Walaupun cuma tiga hari, sudah cukup untuk menggamit rindu pada ikan di kolam/sungai/lautan.

Alangkah baiknya jika 'Tauke Ikan Bertakwa' menjadi satu realiti.

Alangkah baiknya jika 'Tauke Ikan Bertakwa' pun menjadi 'Tauke Cendawan Bertakwa'.

Alangkah baiknya jika 'Tauke Ikan Bertakwa' juga menjadi 'Tauke Bunga Bertakwa'.


Sunday, February 20, 2011

KRU Mengucapkan Salam Perjuangan Buat Saudara Arif

Tinggi-tinggi gunung Kinabalu,
Tinggi lagi sayang Sabah pada kamu,
Pemergianmu mengundang seribu rasa pilu,
Ada waktu, harap masih boleh bertemu.


Sunnatullah bila ada pertemuan pasti perlu mengharungi detik perpisahan. Tiada apa yang kekal melainkan Allah SWT yang mencipta seluruh alam.


Pada 19 Februari 2011, sebutir permata lagi telah kembali berlepas ke kampung halaman setelah sekian lama bertapak di bumi subur Sabah. Saudara Arif Ainuddin telah selamat berlepas semalam sekitar jam7.35 malam di Airport Air Asia Kota Kinabalu, Sabah diiringi beberapa orang sahabat taulan yang sentiasa menjadi peneman di saat suka dan duka.


Riangnya pasti dicari-cari, semangat juangnya pasti akan dirindui bukan saja dalam kalangan sahabat-sahabat seperjuangan tapi juga di dalam hati-hati penduduk Sabah khususnya adik-adik KRU yang pernah menerima sentuhan rohani dari beliau. Melalui kepetahan beliau dalam berbicara dan ayat yang berisi unsur ketuhanan sudah cukup memotivasikan sejumlah remaja Sabah untuk kembali menjalani hidup bersama Allah.


Perginya seorang senior PSS yang kerap memberikan dorongan dan bimbingan kepada adik-adik KRU sudah pasti mengundang seribu kepiluan di hati adik-adik yang telah lama bersama di medan dakwah. Apatah lagi pada sahabat-sahabat seperjuangan hinggakan air mata belum tentu dapat menzahirkan apa yang terbuku di dalam hati. Semoga Allah sentiasa menyatukan hati-hati para pejuang ini sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Sungguh, hanya Allah yang mampu membalas jasa baik, perkongsian idea dan pengorbanan dari pelbagai segi beliau sepanjang bermastautin di Sabah. Semoga dengan sekembalinya pejuang ini mampu membangkitkan semangat juang lebih ramai anak-anak Sabah dalam menegakkan Islam. Perjuangan tetap perlu diteruskan!

Adik-adik Kelab Remaja Ukhuwwah mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian saudara Arif Ainuddin dalam segenap tunjuk ajar dan segala motivasi yang diberikan. Semoga Allah sentiasa memurahkan rezeki dan memberikan kebaikan kepada abang Arif dunia dan akhirat. Amiin~


Patah tidak akan tumbuh lagi, hilang belum tentu dapat dicari ganti, kerana sifatmu yang tersendiri. Namun, nilai inspirasimu tetap di hati kami dalam mencapai cita-cita yang tertinggi. Salam perjuangan dari kami anak-anak jati Sabah. Semoga Allah masih pertemukan kita semua tidak di dunia, di akhirat Insya-Allah. Ma'assalamah.

Sirru a'la barakatillah wa mardhatillah.

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..

sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

Friday, February 18, 2011

Kampus oh Kampus

Dua hari lalu, maulid nabi telah berlalu, tiga hari lalu, Valentine's day pula. Alhamdulillah, banyak usaha-usaha dikalangan mereka yang faham, mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dilakukan dalam membasmi berleluasanya Valentine's day. Dari sekecil-kecil usaha sama ada melalui blog, sehingga ke pengedaran risalah dan tindakan dari pihak yang berkenaan turut dilakukan. Almaklum saja lah, 14 Februari ini sangat digemari oleh pasangan kekasih. Paling teruk sekali, hari cuti Maulid Nabi pun ramai juga yang mengambil kesempatan menyambut hari Valentine ini. Ada cutilah katakan. 14 kan hari bekerja. Isk!Isk!

Dunia oh dunia. Inilah yang menjadi kerisauan kekasih agung kita Nabi Muhammad SAW, bila hati takut mati dan cintakan dunia. Kecintaan yang menutup mata hati hingga yang lebih layak dicintai tidak lagi kelihatan. Tercurahlah sayang kepada sesama makhluk yang dizahirkan dengan cara-cara menyesatkan.

Sedikit pandangan dialihkan pula kepada Kampus, melupakan seketika kisah Valentine day, pasti ramai yang teringat-ingat cerita suka duka masing-masing. Zaman student la katakan. Seketika ini, kebanyakan Kampus telah memulakan gerak kerha pilihan raya Kampus PRK, macam-macam ragam, macam-macam susah dan senang, macam-macam ada pun ada juga. Si A disana dan si M disini bertungkus lumus dalam usaha merai kerusi MPP.

Walaupun kelihatannya PRK tidak sehebat PRK yang satu lagi, pasti ada juga cabaran yang kadang menguji kekuatan ahli, kadang terasa lemah, kadang teruji dengan pelajaran,walau apa pun jenis ujian yang datang, semoga usaha ke arah membawa kebenaran ini sentiasa didahulukan dengan niat kerana Allah, disandarkan pada garisan iman dan taqwa, InsyaAllah kemenangan milik kita, tidak dunia, akhirat pasti insyaAllah. Hidup2x Mahasiswa!!!

Saturday, February 12, 2011

Mesir bebas!!

Alhamdulillah hari ini masih diberi kesempatan untuk PSS kekal dan wujud. Segala syukur dipanjatkan pada Allah tuhan empunya segala kehidupan baik dunia mahupun akhirat, baik makhluk bernyawa mahupun yang mati. Segala puji juga bagi Allah, yang meletakkan yang HAQ sentiasa di atas. 18 hari!!! Bukan pendek, dalam payah dan lelah, perjuangan ini berbayar jua. Sedikit sebanyak nafas lega dilahirkan oleh penduduk Mesir.

Jutaan tahun, bumi Mesir tidak sunyi dari perjuangan, dari sekecil-kecil perjuangan sehinggalah sebesar-besar perjuangan. Malah bumi Anbiya ini merakamkan seribu satu kisah yang perlu diambil ikhtibar. Kebangkitan Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Imam Syahid Hasssan Al-Banna turut tercatat dalam sejarah. Kezaliman yang wujud dari zaman ke zaman dari Firaun, sehinggalah kepada pemerintahan Jamal Abd Naseer, diteruskan lagi “usaha” kezaliman itu dengan pemerintahan 30 tahun Hosni Mubarak.

Hari ini rakyat Mesir sudah mampu tersenyum dengan kejayaan menggulingkan pemerintahan sedia ada. Kebangkitannya membuka mata Dunia. Yakin dengan kemenangan walaupun terpaksa bersusah. Nilai inilah yang perlu diambil, keberanian bersuara dan bertindak agar hak yang patutnya menjadi milik rakyat ini terbela.

Walaupun, pemerintahan akan datang belum tentu corakknya, namun kejadian yang menimpa ini pasti menjadi coretan sejarah Dunia. Hari ini kita melihat kebangkitan Mesir menentang kezaliman yang bukan hanya hadir di Bumi Piramid ini, malah kezaliman ini terpamer diseluruh pelusuk dunia tentunya. Bagaimana bentuk dan corak kezaliman itu, semuanya amat mudah dilihat selagi mana Islam belum dizahirkan sepenuhnya di dalam sesebuah Negara. Jesteru itu, semua pendokong dan penyokong gerak kerja Islam perlu bangun dan bersiap sedia, kerana barangkali kebangkitan ini titik tolak kepada kebangkitan yang lain. WaAllahualam.

Thursday, February 10, 2011

Santai petang bersama PSS

Ya Allah menjelanglah kini malamMU, dan beredarlah sudah siangMU, inilah rintihan suara yang memohon kepadaMU, maka ampunkanlah daku. Selesai asar, ini antara doa yang sering kita persembahkan kepada ya Rabb, meminta seluas keampuanan pada dosa yang sering tercatat dalam kitab amalan.
Alhamdulillah, pentas petang mula mengorak langkah, masing-masing dengan aktiviti petang. Ada yang bersukan dan beriadah. Ada juga yang sempat "mengayam ketupat petang". Paling "best", sambung tidur. Inilah gejala-gejala penyakit malas yang mendepani umat Islam kini. Malas bersukan dan beriadah.
Pepatah arab ada menyebut, akal yang sihat bermula dari badan yang sihat. Malah Islam sebagai cara hidup tidak menolak kepentingan sukan. Bidang sukan jika digunakan dengan sebaiknya, boleh menjadi medan dakwah yang luas. Mutakhir ini, kita melihat kebanyakan sukan berprestij kurang dikuasai oleh orang Islam antaranya seperti berkuda, bermain pedang, memanah dan banyak lagi.Sedangkan sejarah membuktikan betapa ramainya sahabat yang handal bermain pedang seperti Khalid Al-Walid, tangkas berkuda seperti Saidina Umar Al-Khattab.
Tidak dinafikan masih wujud pemuda Muslim yang turut serta dalam bersukan, namun muslim sahaja tidak cukup gah untuk Islam mempamerkan lebih dari itu. Manakan tidak, bersukan dengan menampakkan aurat. Adakah aurat penghalang kejayaan dalam bersukan? Bukankah dunia telah membuktikan?Pelari pecut wanita Bahrain Ruqaya Al-Ghasara mencatat kemenangan indah di Doha, malah dalam temuramah beliau menyatakan pakaian yang dipakai menjadi pendorong kepada kemenangan. Itulah Islam perlu seiring dengan Iman dan Taqwa.

Jesteru itu, elemen-elemen bersukan dan berdakwah perlu lebih dipraktikkan dikalangan pemuda dan pemudi harakah bagi membimbing masyarakat. Islam indah bukan pada namanya tapi ia cantik pada amalnya.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons