PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

PERSATUAN SISWAZAH SABAH SESI 2015/2016

Tuesday, March 29, 2011

Ukhuwah :Siapa bertanggungjawab?

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW keatas segala usahanya yang tanpanya kita tidak akan menerima nikmat Islam dan Iman ini. Kesusahan para pejuang sehingga ada yang dipenjara, dibunuh dan difitnah kerana Islam. Sungguh Allah Maha adil kepada mahluknya, tidak dizalimi walau sedikit, insyaAllah segala susah dan sengsara berbayar di Akhirat kelak yang tidak ada tolok bandingnya dengan kebahagian sementara pihak kufur laknatullah di Dunia.

Imam Hassan Al-Banna dalam meletakkan sepuluh rukun Baiah antaranya ada menyebut dan menekan ukhuwah Islamiah. Apa dia yang didefinisikan dengan Ukhuwah Islamiyyah ini?Di awal kebangkitan Islam pada zaman Rasulullah, sahabat dan seluruh umat Islam memiliki tautan kasih sayang yang sangat hebat. keutuhan ukhuwah sahabat dan semua yang ada pada masa itu telah membuatkan mereka berjaya mengharungi pelbagai rintangan. Antaranya, dipaparkan kisah hijrah, memperlihatkan bagaimana golongan ansor yang sanggup berkorban untuk kaum muhajjirin.

Imam Hassan AlBanna dalam ucapannya kepada pengikut ikhwan Al-Muslimin mendefinisikan ukhuwah sebagai satu keterikatan antara hati dan rohani dengan ikatan aqidah kerana aqidah adalah sekukuh-kukuh dan semulia-mulia ikatan. ukhuwah merupakan saudara kepada keimaman, manakala perpecahan saudara kepada kekufuran. Kekuatan pertama adalah kekuatan persatuan iaitu jemaah. Tidak ada persatuan tanpa cinta dan kasih. Kayu ukur terendah kepada ukhuwah adalah kelapangan dada, dan kayu ukur tertingginya adalah itsar iaitu mementingkan orang lain dari diri sendiri.

Ukhuwah Islamiyyah melambangkan kuatnya sesuatu jemaah. Humara perlu menyemai kasih sayang bersama ahli dibawah, begitu juga dengan ahli perlu untuk mengenali pimpinan. Namun, ada sesetengah sikap kepimpinan yang tidak bergaul dengan ahli, pergaulannya hanya terbatas sekitar sahabat- sahabat pimpinan sebab itu tidak hairan ada dikalangan ahli yang mula berasa jauh dan tidak kenal siapa Amir aku?Siapa Amirah aku? Sombongnya pimpinan dan sebagainya.Begitu juga ahli, sikap bercakap belakang perlu dibuang, kerana sikap inilah yang menjadi onor dalam perjuangan. Pimpinan perlu peka kepada ahli kerana ahlilah yang menjadi penggerak kepada gerak kerja jemaah, begitu juga dengan ahli tanpa adanya pemimpin, mana mungkin akan terarah sesuatu jemaah secara sistematik.

Allah dalam kitabNya menyebut yang maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah kedua(jika berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat."
AlHujurat : 10

Melalui ayat diatas, sudah terang lagi bersuluh, bahawa orang-orang yang beriman itu merupakan saudara, mendamaikannya apabila berselisih merupakan suatu taqwa untuk medapat rahmat Allah. Jalan-jalan penyelesaian kepada ukhuwah perlu dibina sebagai menjamin kekuatan dan keberadaan sesuatu jemaah/persatuan untuk terus kekal dan wujud. Pencapaian maksimum(itsar) perlu dijadikan satu misi dalam jemaah, agar dari sikap itsar ini melahirkan ahli yang sanggup berkorban untuk jemaah dan Islam.

Kesimpulannya, ahli dan kepimpinan perlu sama-sama berganding bahu, untuk memastikan kesatuan jemaah untuk terus kekal. Pemimpin perlu lebih bersikap mesra rakyat dan mendekati ahli. Ahli juga perlu turut sama menyahut segala usaha jemaah dan keluar dari kepompong keegoan, jangan merajuk lama, jangan suka tuduh-menuduh sesama ahli. Langkah permurnian perlu diambil sekiranya berlaku salah faham yang besar sesama antara ahli, mahupun pimpinan. WaAllahualam

Monday, March 21, 2011

TARBIYAHLAH DIRI DENGAN TAQWA


Kita sering mendengar perkataan taqwa. Hampir tiap minggu para khatib di mimbar-mimbar masjid memperingatkan jamaah yang bersolat juma'at agar selalu bertaqwa. Perkataan taqwa ini kerap difahami sebagai takut atau khasyyah. Kadangkala ia difahami sebagai suruhan melakukan segala jenis kebaikan. Pada waktu yang lain ia difahami sebagai perbuatan menghindari kemurkaan Allah. Demikianlah, berbagai pengertian dan makna yang difahami oleh kita mengenai perkataan taqwa. Dalam pengertian yang mudah difahami taqwa bolehlah kita ertikan sebagai melindungi diri dari maksiat dan menghindarkannya dari dosa.

Taqwa merupakan suatu bekalan yang sangat berguna kepada kita untuk mengemudi kehidupan di dunia ini agar tidak karam dalam lautan jahiliyyah. Tidak kira siapa kita, apa pangkat, apa jawatan ataupun status yang kita miliki. Taqwa perlu ada dalam kehidupan kerana taqwa adalah sebaik-baik bekal untuk berjaya sebagai hamba Allah.

Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam”.

(Ali Imran : 102)

Pada peringkat permulaan dakwah, Nabi saw telah mentarbiyah sahabatnya dengan konsep takwa yang sebenar sehingga mereka menjadi suatu generasi yang unik dan telah berjaya menempah sejarah yang sangat gemilang buat tamadun Islam. Hasil dari tarbiyah inilah lahir individu-individu yang hebat seperti Saidina Abu Bakar as Siddiq, Saidina Umar al Khattab, Saidina Usman bin Affan, Saidina Ali bin abi Thalib dan sahabat-sahabat yang lain.

Baginda telah mengajar kepada umat ini bahawa pembinaan individu perlulah bermula dari dalam diri. Hasilnya akan terjelma dalam bentuk luaran yang kita kenal sebagai akhlak dan tingkah laku. Konsep ini disebut sebagai “inside to outside”. Pembinaan seperti inilah yang akan membentuk manusia itu menjadi seorang yang kuat dan cekal dalam menempuh halangan dan rintangan perjuangan. Semua halangan dan rintangan yang mereka hadapi dipandang kecil kerana mereka yakin bahawa Allah yang Maha Berkuasa terhadap segala-galanya.

Nabi SAW telah bersabda :

“Taqwa itu di sini...”

Baginda mengulangi ayat ini sebanyak tiga kali seraya menunjuk ke arah dadanya. Taqwa itu letaknya di hati manusia. Sudah menjadi lumrah kalau dalamnya itu baik insya-Allah luarnya pun akan baik sama. Adalah menjadi satu pembohongan yang besar sekiranya kita berpendapat sebaliknya.

Taqwa tidak dinilai dengan melihat pada kopiah, serban dan juga jubah. Atau pada labuhnya tudung dan purdah yang dipakai muslimat. Ataupun makan dengan menggunakan tiga jari...Kadang kala kita terserempak dengan manusia yang mempunyai ciri-ciri penampilan seperti ini tetapi malangnya akhlak dan tingkah laku mereka sangat keji.

Pembinaan yang bermula daripada penampilan luaran semata-mata bukanlah jaminan kepada taqwa atau tidak seseorang itu. Penampilan akan berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Akan tetapi sekiranya taqwa itu disemai dari dalam diri insya-Allah taqwa akan berkekalan.

Sebagai seorang da’ie perlulah difahami bahwa taqwa tidak dapat dicapai dengan hanya mengubah penampilan luaran mad’u semata-mata tanpa mengubah hati yang berada di dalam diri mereka.

“Dalam diri manusia hati merupakan raja manakala anggota yang lain itu merupakan rakyat. Sekiranya raja itu baik maka baiklah keseluruhan rakyatnya”.

Dalam mentarbiyah, kita mesti memberikan kefahaman yang benar kepada mad’u agar pembinaan mereka benar-benar menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Rasulullah saw iaitu dengan “membangunkan konsep iman dan taqwa yang kuat dalam diri” .

Wahai da’ie...Kita perlu musahabah cara kita mentarbiyah mad’u. Mungkin berlaku kesilapan dalam kita mentarbiyah mereka. Kesilapan dalam mentarbiyah inilah yang akan melahirkan individu muslim yang belum benar-benar “solid” dan tidak menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan.

Firman Allah SWT :

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

(Al Hasyar : 18)

Hasil dari kesilapan ini kita akan menemui orang-orang yang konsisten menghadiri usrah mingguan tetapi masih belum berupaya meninggalkan tabiat “merokok” dan melakukan perkara-perkara yang “lagha”. Kadang kala kita terserempak dengan orang-orang yang baik penampilan luarannya, mereka memakai kopiah dan bertudung labuh tetapi tidak segan-segan mengaku yang mereka itu sedang “bercouple”. Kata mereka; kami “couple Islamic”...

Di antara kesilapan besar yang telah kita lakukan dalam mentarbiyah ialah :

Kita menyuruh mad’u “mengaji al Quran”, tetapi kita lupa menekankan bahawa mereka juga perlu “mengkaji ayat-ayat al Quran” yang telah mereka baca. Hasilnya lahir individu yang hanya pandai membaca Quran tetapi mereka gagal untuk memahami ajaran Islam yang sebenar. Mereka buta Islam!

Kita mewajibkan mad’u untuk menghadiri usrah mingguan tetapi kita lupa untuk memahamkan mereka tentang kepentingan usrah dalam kehidupan berjamaah. Hasilnya kita ada mad’u yang hanya istiqamah menghadiri usrah tetapi gagal dalam melakukan gerak kerja dakwah. Mereka sangat pasif dan hanya tunggu arahan baru mahu buat kerja.

Kita menyuruh mad’u “mendirikan solat” tetapi kita lupa untuk menekankan kepada mereka agar “memelihara solat” tersebut. Mendirikan solat bermaksud, solat bilamana kita mendengar azan atau telah masuk waktu manakala memelihara solat itu bermaksud melakukan solat diawal waktu, berusaha bersungguh-sungguh untuk khyusuk dan memelihara diri daripada perkara yang boleh membatalkan solat. Hasilnya kita dapati ramai mad’u yang istiqamah solat lima waktu tetapi malangnya solat itu gagal mencegah mereka dari perkara yang keji dan mungkar.

Itulah serba sedikit kesalahan kita dalam mentarbiyah. Sebenarnya banyak lagi yang perlu kita muhasabah dan rasanya tidak mampu untuk kita bentangkan kesemuanya dalam keterbatasan ruang dan waktu ini.

Akhirnya...

Segala permasalahan yang berlaku di dunia ini adalah berpunca daripada manusia. Untuk mengubah dunia ini kita perlu mengubah manusia itu terlebih dahulu dan untuk mengubah manusia itu kita perlu mengubah hati mereka. Untuk mengubah hati manusia tiada cara lain yang boleh digunakan melainkan kita menyemai rasa taqwa dalam diri agar timbul rasa cinta dan harap pada Sang Pencipta iaitu Allah Azza Wajalla...

Marilah kita sama-sama menilai sejauh mana tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Adakah diri kita telah benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT atau kita hanya pura-pura bertaqwa dengan menjaga penampilan luaran semata-mata. Ingatlah sahabat sekelian, bahawa Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha mendalam Ilmu-Nya...

Qiamulail : Rela atau paksa?

Salam Qiamulail buat semua pejuang dan pendokong perjuangan.

"Wahai orang-orang yang berselimut!.Bangunlah untuk solat pada malam hari, kecuali sebahagian kecil.Atau lebih dari seperduaitu, dan bacalah AlQuran dengan perlahan-lahan.Sungguh Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepada mu. Sungguh bangun malam itu lebih kuat(mengisi jiwa); dan bacaan diwaktu itu lebih berkesan.Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang.Dan sebutlah nama TuhanMU, dan beribadahlah kepadanNya dengan sepenuh hati"
Surah Al-Muzzamil 1-8

Qiamulail bukan satu bebanan, bukan satu paksaan bukan juga penderaan. Sepertimana kata Allah memperingatkan seluruh umat manusia, bahawa bangun malam itu lebih kuat mengisi jiwa. Sebab itu, tidak hairan bagaimana sultan Al-Fateh berjaya menawan kota Constatinopel. Bukan dirinya sahaja sangat dekat kepada Allah malah tentera yang dipilihnya juga turut sama dekat dengan Allah.

Lalu, mengapa masih berlengah lagi wahai pejuang muda? Ini masa untuk mentarbiyyah dan mengikat diri dengan perjuangan dan tarbiyyah, lantaran jalan yang bakal ditempuh penuh duri dan berliku. 

JOM QiAM!!

Tuesday, March 15, 2011

Tsunami:Kenapa kau digeruni



Tsunami 2004 belum habis digeruni kini datang lagi Tsunnami yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011 masih lagi berlarutan kesannya hingga ke hari ini. Jika dulu, bumi Indonesia menjadi paparan utama, negara mundur dari sudut sistem teknologi dan ekonomi, memiliki kepadatan penduduk yang sangat ramai, kini, kita beralih kepada Negara Jepun, negara kecil yang pernah menjadi padang jarak padang tekukur dalam peristiwa pengeboman Hiroshima. Tsunami yang berlaku kali ini di Jepun, merupakan antara Tsunami terbesar pernah berlaku selepas hampir 1400 Tahun dahulu di negara itu.

Orang politik kata, Jepun mengabaikan pembangunan teknologi hijau. Lalu bagaimana dengan Indonesia suatu ketika dahulu yang agak ketinggalan dari sudut teknologi jika dibandingkan dengan Jepun?. Orang sains kata : Ia bencana alam, biasalah perubahan bentuk muka bumi, lalu bukti apa yang Allah tunjukkan dengan berdiri teguhnya masjid-masjid di Indonesia?

Benarlah firman Allah didalam kitabnya :
"Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataan-Nya di waktu Dia mengatakan: "Jadilah, lalu terjadilah", dan di tangan-Nyalah segala kekuasaan di waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"
Al An'aam:73

Sungguh Tsunami makhluk Allah yang didatangkan khas sebagai peringatan kepada umat manusia,merasakan sedikit azab Allah didunia lantaran sikap dan tindakan manusia yang melampaui batas.

Firman Allah s.w.t: “ Telah timbul pebagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Ruum: 41)




Tuesday, March 8, 2011

Wanita kerana kau Istimewa




"Dunia adalah perhiasan, dan seindah-indah perhiasan adalah wanita solehah."

Salam Muslimat Power.
Pada setiap tanggal 8 Mac setiap tahun, telah dinobatkan sebagai hari wanita sedunia. Dalam beberapa siri bacaan, tarikh ini dipilih berdasarkan peristiwa 8 Mac 140-an telah melakukan mogok besar-besaran wanita di New York bagi menyatakan rasa tidak puas hati kepada kezaliman majikan dan kerahan tenaga kerja dengan gaji yang rendah. Motif hari wanita ditubuhkan adalah salah satu penghargaan kepada wanita.


Alhamdulillah, sungguh wanita sangat istimewa di dalam Islam. Hawa istimewa dihati Nabi Adam. Hajar itimewa dihati Nabi Ibrahim kerana ketaatannya, Siti Zulaikha istimewa kepada Nabi Yusuf kerana ketaqwaannya, Khadijah istimewa kepada Nabi Muhammad SAW kerana pengorbanannya. Sungguh wanita memang istimewa. Lantaran itu pengikhtirafan kepada wanita Allah titipkan dlaam surah Al-ahzab yang mafhumnya:

"Sungguh kaum lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap didalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatanya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar."
~Surah Al-Ahzab :35~

Pengikhtirafan yang Allah berikan ini sangat besar maksud dan nilainya. Tidak cukup disembahkan kepada Allah hanya "ic" wanita muslim sahaja, jika rekod amalan yang ingin dipertontonkan kelak tidak seberat mana. Tidak cukup perjuangan wanita yang berjuang mati-matian mengangkat martabat waniat jika tiada nilai taqwa yang mengindahkan perjuangannya.

Ayuh sekalian wanita, mari kita sama-sama menilai, adakah kita wanita yang diikhtiraf Allah?Telah menjadi istimewa seperti Balqis?Istimewa seperti Aisyah?Jom, kita lihat bagaimana hakikat wanita hari ini telah dizalimi dan menzalimi diri sendiri.

Tidak dinafikan, wanita hari ini mampu menembusi gerbang kemajuan, malah buktinya bukan sedikit wanita yang telah menembusi gelanggang-gelanggang kemajuan yang dibentengi oleh kaum lelaki. Namun disebalik kemajuan intelektual, berlaku kemunduran akhlak, lihat saja,betapa ramainya pemimpin wanita, business woman, mahasiswa, pekerja pejabat, eksekutif yang "ic" wanita muslim, tetapi tidak menutup aurat? Padahal jika ditanya, bukan main lagaknya mengaku anak orang melayu beragama Islam, keluaran luar negara. Tidak percaya lagi?Buka, tekan dan tengok mana-mana channel, bagaimana dunia hiburan mengeksplotasi kecantikan wanita?Dunia modelling, pengacara, pelakon, penyanyi pemberita dan banyak lagi semuanya wanita. Isk..isk..Hilang istimewanya..

Wanita, jangan biar diri dizalimi. Mari sama-sama "mengistimewakan" diri dengan Islam. Mencantikkan akhlak diri. Menjadi anak, kakak, isteri, ibu, nenek, pekerja dan hamba Allah yang solehah. Wanita kerana dirimu begitu istimewa yang menjadi penyeri disisi suami, bahu untuk si anak bercerita, pejuang untuk agama tercinta. Mari kita sama-sama berdoa bersungguh-sungguh meminta dengan Allah, agar kita menjadi wanita Istimewa mendiami syurga-syurga Allah SWT.Amin..

Dari "Abdullah bin 'Abbas r.a : Rasulullah SAW bersabda, "Maukah ku beritahukan kepada kalian tentang isteri-isteri kalian yang termasuk penghuni syurga? Iaitu perempuan yang mencintai suaminya, mempunyai banyak anak dan selalu meminta maaf kepada suaminya. Jika ia menyakiti dan disakiti suaminya dan memegang tangannya, lalu ia berkata demi Allah aku tidak akan tidur sebelum engkau redha kepadaku" (Hadis riwayat Al-Nasa'i)

Monday, March 7, 2011

Allah "popular"??


Salam perjuangan buat semua penyokong dan pendokong perjuangan. Alhamdulillah, siang berganti malam, malam berganti siang, hari berganti bulan, bulan berganti tahun, semuanya berada pada paksi ketetapan Allah Tuhan pencipta sekalian alam. Usia pun makin berkurang muda meningkat tua. Hari ini, adakah ia lebih baik dari semalam?Bagaimana pula khabar hari esok?


Masa yang singkat sempat "merayau-rayau" seketika melihat perkembangan sahabat dalam blog masing-masing. Dari Syria, ke Johor, singgah kejap di KL, then “balik” Sabah pula untuk meneruskan “urusan” PSS yang tertangguh beberapa hari. Waktu "merayau-rayau" tadi terjumpa satu ayat "mempopularkan Allah". Erm bagaimana tu ya?


Ya betul! Hari ini ramainya umat Islam hanya kenal Allah dalam urusan ibadah khusus, tapi lupa apa Allah dalam kehidupan harian. Allah "tidak popular" sewaktu belajar, Allah "tidak popular" waktu bersahabat, Allah "tidak popular" bila bergaul dan bekerja. Allah “tidak popular” dalam mentadbir dan memimpin.Habis tu bila Allah "popular”?

"Ya Allah!!Nakalnya budak ni"~Bila marah?

"Ya Allah!! Kenapa jadi begini?Kenapa aku di uji begini"~bila diuji?

"Ya Allah..aku sakit..."~bila sakit?

Waktu ini Allah "popular". Alangkah rugi jika dalam sehari, sekali marah. Alangkah rugi jika sebulan sekali sahaja diuji, alangkah rugi jika dalam setahun sekali sahaja jatuh sakit?Kenapa? Sebab masa ini sahaja ingat Allah..Betul?


Bukankah bahagia bila Allah “popular” bermula dari bangun tidur sehingga tidur kembali? Bukankah aman jika Allah “popular” dari sekecil mentadbir urusan rumahtangga sehingga mentadbir Negara? Bukankah berkat mendahului Allah dalam semua urusan?


Maka inilah tanggungjawab kita sebagai muslim. Meyahut seruan Allah didalam kitabNya dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang mafhumnya:

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKU.”

Maha suci Allah, segala puji bagiNya. Jom “popular”kan segala urusan dengan Allah.

Dengan namaMu ya Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang..semoga kami semua sentiasa meletakkan MU dihadapan dalam mendepani semua urusan. Amin

Program Kampung Angkat PSS&KRU cawangan Kota Kinabalu


Aktiviti: Program Kampung Angkat
Tempat: Kampung Padas Baru, Tebobon
Tarikh: 5-6 Mac 2011

Persatuan Siswazah Sabah(PSS) cawangan Kota Kinabalu dibantu oleh ahli Kelab Remaja Ukhuwwah(KRU) cawangan Kota Kinabalu buat julung kalinya telah melangkah setapak maju lagi ke hadapan dengan merealisasikan program kampung angkat setelah sekian lama dirancang. Sekitar 25 ahli PSS dan KRUKK telah diambil menjadi anak angkat bagi sebanyak 7 buah keluarga di kampung berkenaan.

5 Mac 2011
Ketibaan PSS dan KRU di Kampung Padas Baru pada jam 8.30 bersama-sama dengan kehadiran penduduk di sekitar kampung. Selesai pendaftaran, majlis perasmian bermula dengan bacaan doa serta ucapan alu-aluan dari pengerusi JKK Kampung Padas iaitu Ust Marasin dan juga sdr Mohd Al-Amin selaku pengarah program. Dalam pada itu, penduduk kampung juga sempat diberi penerangan ringkas berkenaan program bagi melancarkan lagi perjalanan program 2 hari 1 malam ini.

Bacaan doa oleh sdr. Sarip Wahab

Penyerahan cenderahati kepada perasmi

Berakhirnya majlis perasmian, ahli PSS dan KRU dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum diserahkan kepada keluarga angkat. Masing-masing teruja untuk menerima ahli keluarga baru. Walaupun hidup dalam keadaan serba kurang dari segi kemudahan, namun ianya tidak menjadi penghalang kepada penduduk kampung untuk menerima kedatangan 'anak baru' mereka. Bahkan ada yang sudah bersedia mahu mengambil seramai 10 orang peserta untuk dijadikan anak angkat.

Usai menunaikan solat zohor dirumah keluarga angkat, aktiviti membaikpulih surau pula dilakukan. Surau yang usang itu diberi nafas baru dengan proses mengecat semula, pembersihan di dalam dan luar surau. Aktiviti gotong-royong ini berterusan sehingga menjelangnya waktu asar.



Pada sebelah petang, sukaneka pula dijalankan bagi mengeratkan lagi hubungan yang baru terjalin di antara wakil PSS dan penduduk kampung. Acara seperti meniup tepung, isi air dalam botol dan mengikat kaki secara berkumpulan ternyata berjaya mengukir senyuman di bibir setiap yang terlibat.




Pada sebelah malam pula, perjalanan program lebih tertumpu kepada pengisian masing-masing bersama ahli keluarga angkat selain kuliah maghrib.

6 Mac 2011
Seawal 4 pagi, ahli PSS dan KRU ditugaskan membimbing keluarga angkat untuk berqiamullail di rumah masing-masing. Di sini ahli PSS dan KRU banyak belajar kaedah pendekatan yang sesuai dalam mendedahkan dan menerapkan pengamalan Islam kepada keluarga masing-masing. Kemudiannya menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Pada jam 8 pagi, penduduk kampung sekali lagi dijemput untuk bersama-sama mendengar pengisian bertajuk "Rumahku syurgaku". Pengisian ini diadakan di tanah lapang berhadapan dengan rumah pengerusi kampung.

Pada jam 9, majlis penutupan pula dilangsungkan. Wakil PSS (sdr. Al-Amin), ketua kampung (En. Hassan) dan pengerusi kampung (Ust Marasin) telah menyampaikan ucapan penutupan sebagai tanda penghargaan di atas kesudian semua pihak yang melibatkan diri. Selain cenderahati yang diberikan setiap keluarga angkat, pemeriksaan kesihatan juga turut dijalankan secara percuma. Sebelum berangkat pulang, aktiviti memasak beramai-ramai juga sempat diadakan.


Sekiranya tiada aral melintang insya-Allah, susulan umpama aktiviti ziarah akan diadakan secara berkala bagi mengeratkan lagi jalinan silaturrahim di antara 2 komuniti ini. Syukran jazilan buat semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Jazakallahu Khayran



lebih banyak gambar di sini

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons